Skip to content

Selamat Datang Ke Blog Catatan Abu Umair

Hukum Pembedahan Blepharoplasty Pada Kelopak Mata

28/10/2013

ISU: Hukum Pembedahan Blepharoplasty Pada Kelopak Mata

Saya ingin tahu, apakah seorang beragama Islam boleh melakukan pembedahan tersebut di atas. Untuk pengetahuan, Lower Eyelid Blepharoplasty ini adalah sejenis penyakit yang boleh menyebabkan bahagian kelopak mata bawah ada “eye-bag” dan akan memberikan kesan yang buruk kepada sesiapa yang menghadapinya. Kesan yang buruk dari segi kesihatan ialah kegatalan mata yang berterusan, mata berair dan mata akan selalu mengeluarkan tahi mata,di samping itu juga sesiapa yang menghadapi masaalah ini akan membuatkan orang itu nampak letih dan tua daripada usianya yang sebenar. Pembedahan akan dibuat untuk membuang lemak yang ada di bahagian bawah kelopak mata untuk tujuan kesihatan dan juga penampilan diri.

PENJELASAN:

Pembedahan blepharoplasty adalah pembedahan terhadap kelopak mata sama ada kelopak mata atas (upper eyelid) atau kelopak mata bawah (lower eyelid) bagi membuang lemak, tisu, dan kulit yang berlebihan di sekitar kelopak mata. Pembedahan blepharoplasty dilakukan sama ada untuk tujuan kosmetik bagi mengubah penampilan muka supaya kelihatan lebih muda dan cantik, atau dilakukan sebagai prosedur rawatan bagi mereka yang mengalami masalah tertentu pada kelopak mata. Daripada perspektif fiqah, hukum dua kategori tersebut adalah berbeza sebagaimana berikut.

Read more…

Urus Niaga Online Dengan Menjadi Reseller

26/10/2013

ISU: Apakah hukum jual beli sekiranya saya menjual barangan bukan milik saya dengan menjadi ajen atau reseller secara online. Adakah ini haram? Cara yang saya lakukan ialah mempromosikan produk melalui gambar dan sesiapa yang berminat akan memasukkan duit kepada saya. Kemudian saya akan memasukkan duit kepada pengeluar. Dan pengeluar akan menghantar terus produk kepada orang yang memesan produk itu.

PENJELASAN: Antara bentuk perniagaan dalam talian (online) yang diminati pada hari ini ialah dengan cara menjadi reseller bagi sesetengah produk. Modus operandinya ialah reseller mempromosikan secara online produk daripada pembekal atau pengeluar melalui gambar dan perincian berserta harga. Pelanggan yang berminat dan bersetuju untuk membeli akan membayar harga yang dipersetujui kepada reseller dengan cara memindahkan wang ke dalam akaun reseller. Reseller seterusnya membuat pesanan kepada pembekal/pengeluar dan membuat pembayaran. Pembekal/pengeluar membuat penghantaran terus produk yang kepada pelanggan. Keuntungan reseller ialah perbezaan harga antara harga jualannya kepada pelanggan dan harga beliannya daripada pembekal/pengeluar.

Read more…

Bekerja Sebagai Juruwang di Premis Menjual Arak

26/10/2013
tags: ,

ISU:

Saya ingin membuat beberapa pertanyaan berkenaan dengan penjualan arak, kerana terdapat beberapa kekeliruan:

1. Apakah hukum seorang muslim yang bekerja dengan sebuah kedai runcit yang turut menjual arak?

2. Apakah hukum seorang muslim yang menjual arak kepada orang yang bukan muslim, kerana itu termasuk bidang tugasnya di kedai tersebut?

3. Apakah hukum muslim tersebut jika dia tidak menjual arak kepada sesiapa juga, tetapi hanya menjual barang-barang lain? Penjualan arak diserahkan kepada orang yang bukan muslim.

PENJELASAN:

Seorang Muslim tidak dibenarkan untuk bekerja dalam sektor yang melibatkan dirinya dalam hal-hal berkaitan dengan arak, seperti penjualan arak, pemprosesan arak, pengangkutan arak, penyimpanan arak dan seumpamanya. Larangan ini dinyatakan oleh Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis:

Read more…

Penggunaan Alkohol Sebagai Bahan Sanitasi

22/10/2013
ethyl-alcoholISU: Adakah ethyl alcohol @ ethanol dari fermentation of sugar cane@tebu halal untuk digunakan sebagai bahan sanitasi?

PENJELASAN: Ethanol atau etil alkohol (ethyl alcohol) adalah sejenis alkohol yang biasa digunakan di dalam pembuatan minuman keras (arak). Selain untuk tujuan tersebut, ia juga digunakan sebagai bahan api, bahan pembersihan (sanitasi) dan lain-lain.

Dalam menjawab isu yang dikemukakan, keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 adalah dirujuk. Muzakarah memutuskan:

Read more…

Pelaburan Future Barrel

22/10/2013

ISU: Adakah pelaburan futurebarrel halal atau sebaliknya.

PENJELASAAN: Merujuk kepada senarai laman web/produk pelaburan/ syarikat yang tidak diiktiraf Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, didapati bahawa syarikat yang menawarkan pelaburan futurebarrel adalah termasuk dalam senarai tersebut. Lihat: http://www.sc.com.my/list-of-unauthorised-websites-investment-products-companies-individuals/

Oleh itu, pelabur dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pelaburan melalui syarikat yang tidak dilesenkan atau yang tidak diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Manakala dari sudut syariah pula, skim pelaburan futurebarrel mempunyai beberapa keraguan seperti berikut: Read more…

Status Kisah Tsa’labah Enggan Bayar Zakat

20/10/2013

ISU: Benarkah Riwayat Yang Mengatakan Bahawa Tsa’labah Enggan Membayar Zakat?

PENJELASAN: Kisah Tsa’labah yang dikatakan enggan mengeluarkan zakat adalah satu kisah masyhur yang disebut oleh sebahagian ahli tafsir dalam menafsirkan ayat berikut:

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”. (Al-Tawbah: ayat 75).

Antara yang meriwayatkan kisah ini ialah Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam al-Kabir (8/218 Hadis No: 7873).

Namun sekalipun kisah ini agak masyhur, tetapi sebenarnya ia adalah kisah yang tidak sahih dan tidak layak dinisbahkan kepada Tsa’labah r.a. yang merupakan seorang sahabat Nabi S.A.W.

Read more…

Hajar Aswad Super Conductor?

28/06/2013

Beberapa hari lepas saya terbaca satu ‘fakta ajaib’ berkenaan dengan Kaabah dan Hajar Aswad. Ia tersebar dengan agak meluas melalui media-media sosial seperti Facebook, WhatsApp, blog-blog, dan lain-lain. Sebaran tersebut adalah seperti berikut:

NY Times menulis:

“Sekiranya orang-orang Islam berhenti melaksanakan tawaf ataupun solat di muka bumi ini, nescaya akan berhentilah putaran bumi kita ini”

Ini adalah kerana pusingan dari Super Konduktor yang berpusat di Hajar Aswad, tidak lagi memancarkan gelombang elektromagnetik.”

Menurut hasil penelitian dari 15 University:

Hajar Aswad adalah batu meteor yang mempunyai kadar logam yang sangat tinggi, iaitu 23,000 kali dari baja yang ada.

Beberapa astronout yang berada di angkasa melihat suatu sinar yang teramat terang memancar dari bumi dan setelah diteliti ternyata ia bersumber dari Bait Allah atau Kaa’bah, Mekah.

Super konduktor itu adalah Hajar Aswad, yang berfungsi umpama mikrofon yang sedang menyiarkan gemanya dan dimana jarak yang dilontarkan mencapai ribuan million jangkauan siarannya.

Prof Lawrence E Yoseph – Fl Whiple menulis:

“Sungguh kita berhutang besar kepada orang Islam.
Solat, tawaf dan dilakukan mengikut ketepatan waktu telah menjaga Super Konduktor itu.”

Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Illahaillallah, Allahu Akbar. Betapa bergetar hati kita melihat dahsyatnya gerakan Tawaf Haji dan Umrah.

Sekarang anda mempunyai 2 pilihan.

i) Biarkan superb info berada di page ini supaya orang lain tidak membaca.

ii) menyebarkan ke Teman yang lain dengan klik ‘fowardkan’ supaya orang lain dapat ikut terinpirasi “Subhanallah“

Komentar saya tentang ‘fakta’ tersebut adalah seperti berikut:

1) Adalah suatu yang disepakati oleh sekalian orang Islam bahawa peredaran langit dan bumi adalah sepenuhnya di bawah kekuasaan Allah Taala. Dialah yang menciptakan bumi dan Dialah yang mengkehendaki ia beredar dan berputar menurut hukum alam.

Firman Allah Taala:

إِنَّ اللَّهَ يُمْسِكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ أَنْ تَزُولَا وَلَئِنْ زَالَتَا إِنْ أَمْسَكَهُمَا مِنْ أَحَدٍ مِنْ بَعْدِهِ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Fatir: 41).

2) Mengaitkan faktor atau sebab tertentu dalam peredaran bumi memerlukan kepada pembuktian hujah. Sesiapa yang mendakwa bahawa bumi ini beredar dan berputar selagi mana Kaabah yang terletak padanya Hajar Aswad ditawaf, dan ia akan berhenti berputar jika Kaabah tidak ditawaf, hendaklah membuktikan kata-katanya dengan hujah. Kerana dalam disiplin ilmu syarak, mengaitkan suatu faktor atau sebab perlulah dibuktikan melalui ilmu.

Kaedah dalam mengaitkan faktor atau sebab adalah, “Tidak harus mempercayai bahawa sesuatu perkara adalah sebab kepada sesuatu kecuali dengan berdasarkan ilmu. Sesiapa yang menetapkan suatu sebab tanpa berdasarkan ilmu atau secara menyalahi syarak, maka dia melakukan kebatilan”. (Majmu’ Fatawa: 1/104).

3) Dari sudut syarak, tidak ada nas -setakat pengetahuan saya- yang mengaitkan peredaran bumi dengan perlakuan tawaf di Kaabah dan kewujudan Hajar Aswad di sana.

Malah terdapat hadis yang mengkhabarkan bahawa pada akhir zaman Kaabah akan dirobohkan dan selepas itu ia tidak lagi diimarahkan. Tidak kedapatan pula sebarang isyarat bahawa ketika itu bumi akan berhenti berputar seperti kebiasaan.

4) Dari sudut sejarah, yang dapat dipastikan ialah Kaabah mula-mula dibina oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam. Bererti sebelum baginda bersama-sama dengan puteranya Ismail membina Kaabah, manusia belum lagi mengenal di mana Kaabah apatah lagi mengimarahkan Kaabah dengan solat dan tawaf.

Jika mengambil pandangan sesetengah ahli riwayat bahawa Kaabah mula dibina oleh Adam Alaihissalam, kewujudan bangunan Kaabah adalah untuk satu tempoh tertentu sahaja kerana ia lenyap daripada muka bumi ketika berlakunya taufan besar pada zaman Nabi Nuh Alaihissalam. Kemudian ia tidak diimarahkan sehinggalah Allah menunjukkan kepada Nabi Ibrahim tapak Kaabah untuk ia dibina semula.

Ketiadaan manusia yang mengimarahkan Kaabah dengan tawaf dalam tempoh yang panjang tersebut, sepatutnya membawa kepada terhentinya putaran bumi, menurut ‘fakta’ di atas. Tetapi ia tidak berlaku.

5) Mengaitkan Hajar Aswad dengan ‘keajaiban’ yang didakwa juga amat melucukan. Memang benar Hajar Aswad adalah batu yang mulia, yang mempunyai kisah dan sejarah yang tersendiri dalam Islam. Namun, sejarah mencatatkan bahawa Hajar Aswad pernah dicuri dan dilarikan daripada Kaabah oleh kaum Qaramitah ke negara mereka selama 22 tahun iaitu dari tahun 317H – 339H.

Dalam tempoh yang lama tersebut, tidak ada Hajar Aswad di Kaabah kerana ia dilarikan oleh Qaramitah ke tempat mereka, dan pernah dibawa ke Kufah serta digantung di sana.

Dalam tempoh 22 tahun tersebut, pernahkah kita mendengar cerita bumi ini berhenti berputar kerana Super Konduktor yang berpusat di Hajar Aswad, tidak lagi memancarkan gelombang elektromagnetik, kerana tidak ada manusia yang mengelilinginya?

Jelas sekali bahawa dakwaan di atas adalah rekaan semata-mata, tidak bersandarkan kepada syarak, sejarah, akal dan kenyataan. Orang Islam tidak sepatutnya mudah percaya dengan fakta karut marut seperti yang di atas. Saya mengesyaki bahawa ia ditulis dengan tujuan memperbodohkan pemikiran orang Islam.

Wallahu A’lam.

Abu Umair.

28 Jun 2013.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 161 other followers