Skip to content

Ijmak Dan Kepentingannya

02/06/2008

Dalam pembacaan kitab-kitab feqah, kita biasa menjumpai kenyataan seperti: “Ulama bersepakat…” atau “hukumnya adalah wajib atau haram dengan ijmak” atau “tidak ada khilaf di kalangan ulama tentang hukum ini” dan seumpamanya. Pernyataan-pernyataan tersebut adalah nukilan ijmak di dalam sesuatu masalah feqah. Apakah maksud ijmak?

Ijmak ialah kesepakatan seluruh umat Nabi Muhammad SAW dalam satu-satu zaman, selepas kewafatan baginda, terhadap suatu hukum masalah. Ertinya, apabila seluruh ulama dalam satu zaman yang layak berijtihad mengeluarkan satu hukum yang sama dalam satu-satu masalah, tanpa ada seorang mujtahid pun yang menyalahi hukum tersebut, maka hukum itu dikatakan sabit secara ijmak.

Ada sebahagian ulama yang menghadkan ijmak hanya boleh berlaku pada zaman sahabat. Tidak mungkin ijmak berlaku pada zaman selepas mereka. Kerana selepas berlalu zaman sahabat, para mujtahid umat Islam sudah bertebaran di merata dunia, timur dan barat, utara dan selatan. Maka, amat sukar untuk dipastikan keseluruhan ulama umat Islam bersepakat di dalam sesuatu hukum masalah. Pendapat ini dipelopori oleh Ibn Hazm, pendokong mazhab Zahiri.

Tetapi majoriti ulama Usul Feqah berpandangan ijmak tetap boleh berlaku pada mana-mana zaman. Cuma, pada zaman-zaman terkemudian nukilan ijmak terhadap suatu masalah lebih sukar untuk didapati. Kerana kesukaran ini, Imam Ahmad menyatakan, “Sesiapa yang mendakwa ijmak, maka dia telah berdusta”. Maksud kata-kata beliau ialah sesiapa yang mendakwa ijmak selepas kurun ketiga, maka dia telah berdusta, kerana beliau berpandangan sangat sukar untuk diyakini seluruh ulama bersepakat terhadap satu-satu masalah. Berbeza dengan zaman awal Islam, para mujtahid masih tinggal berkelompok terutama di bumi Haramain, Iraq dan Syam.

Ijmak adalah salah satu dalil yang disepakati. Kedudukannya di tempat ketiga selepas al-Quran dan Sunnah. Kewajipan patuh kepada ijmak sama seperti kewajipan patuh kepada Quran dan Sunnah. Al-Quran telah memberi amaran keras terhadap orang yang menyalahi ijmak. Firman Allah Taala: “Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasinya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”. (Al-Nisa: 115).

Kepentingan Ilmu Tentang Ijmak
Kedudukan ijmak sebagai dalil ketiga selepas Quran dan Sunnah sudah cukup membuktikan pentingnya seseorang Islam terutama penuntut ilmu mengetahui tentang ijmak. Tidak patut seseorang penuntut menceburi ilmu khilaf dalam feqah, jika dia masih belum menguasai permasalahan-permasalahan ijmak. Apatah lagi, jika masih kabur tentang apa itu ijmak dan keperluannya. Sekurang-kurangnya, dapatkan satu kitab kecil yang mengumpulkan ijmak-ijmak ulama, dan bacalah secara berterusan sebanyak berapa kali pun.

Antara kitab yang dicadangkan ialah kitab ‘Al-Ijmak’ yang dinisbahkan kepada Ibnul Munzir, seorang tokoh ulama mazhab Syafie. Kitab beliau itu hanya mengumpulkan masalah-masalah yang disepakati oleh ulama. Kitabnya ringkas dan bahasanya mudah. Jauh lebih mudah daripada kitab-kitab feqah mazhab. Selain kitab Ibnul Munzir, boleh juga dibaca kitab karangan Ibn Hazm bertajuk ‘Maratib al-Ijmak’. Ia juga mengumpulkan masalah-masalah ijmak. Bagi sesiapa yang bercadang merujuk permasalahan ijmak secara lebih meluas, boleh mendapatkan kitab bertajuk ‘Al-Iqna’ Fi Masail al-Ijmak’ karya Ibn al-Qattan.

Penguasaan seseorang faqih terhadap permasalahan ijmak akan menjamin dirinya tidak tersilap mengeluarkan satu hukum yang bersalahan dengan ijmak. Ia juga dapat mengawal dirinya daripada tersilap memahami nas Quran dan Sunnah. Antara kegelinciran sebahagian ahli ilmu ialah apabila memahami nas syarak secara silap, menyalahi kefahaman seluruh salaf. Maka ilmu tentang ijmak sekurang-kurangnya menjaga diri seseorang supaya tidak menyalahi kefahaman seluruh salaf.

Kesimpulan, seorang yang ingin meletakkan dirinya sebagai penuntut ilmu atau ahli ilmu mestilah memahami ijmak, dan menguasai permasalahan-permasalahannya. Wallahu A’lam.

About these ads
15 Comments leave one →
  1. sahabat madinah permalink
    29/07/2008 3:13 pm

    Ustaz… artikel anta tu amat baik, tapi alangkah baniknya kalau ustaz berikan cadangan2 untuk merealisasikan ijma’ pada zaman sekarang, kerana dengan kecanggihan alat komunikasi modern akan lebih memudahkan urusan pengumpulan data ijma’.

    Maaf, tq.

  2. abuumair1 permalink*
    29/07/2008 10:27 pm

    Barakallah Fiik Ya Syeikh sahabat madinah..

    - Dimaklumi nukilan ijmak selepas zaman sahabat dan tabieen, menjadi sukar kerana para mujtahid bertebaran. Sebab itu Imam Ahmad berkata: Sesiapa mendakwa ijmak, maka dia berdusta.

    - Adapun pada zaman sekarang, sepatutnya nukilan ijmak menjadi makin mudah kerana kemudahan komunikasi walaupun jarak yang jauh. Kata-kata ulama dapat dikumpul dalam masa yang lebih singkat.

    - Mungkin kongres2 Islam boleh berperanan dalam mengumpulkan ijmak dalam masalah2 moden. Contohnya Majmak Feqah.

    - Cuma untuk lebih warak, nukilan ijmak boleh dibuat dengan sighah yang lebih lemah seperti ‘kami tidak menjumpai khilaf..’.

  3. aisyah permalink
    25/12/2008 4:35 am

    nukilan ijmak anda sangat bagus tetapi alangkah bagus kalau di buat secara detail contohnya ditambah dengan peranan ijmak pada masa kini,jenis-jenis ijmak dan sebagainya untuk lebih mudah pengexplore mendapat maklumat dan mudah di fahami.

  4. 25/12/2008 5:56 am

    saudari aisyah,

    cadangan menulis secara detail amat baik. Cuma buat masa ini, tulisan-tulisan saya di blog ini hanya secara ringkas. Mohon kemaafan atas kekurangan. Sekian.

  5. yasir permalink
    12/05/2009 11:40 pm

    assalamu ‘alaikum ustaz.
    ustaz, dlm al-ijmak, ibn munzir ada kata org yg murtad dan diminta taubat, dan dia tak bertaubat, maka dibunuh, dan kata beliau takda khilaf yg diketahuinya dlm masalah ini.

    tapi saya pernah dengar, ia adalah khilaf. ada yg kata bukan kena hukum bunuh. antara yg kata demikian ialah Dr Azzam At-tamimi, seingat saya ketika dia disoal di malaysia dulu.

    adakah hukum bunuh itu ada ijamak padanya?

    • 13/05/2009 10:26 am

      Waalaikumussalam,

      - Benar, Ibn al-Munzir menukilkan ijmak dalam masalah tersebut, begitu juga Ibn Qudamah dalam al-Mughni dan Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijmak menukilkan kesepakatan.

      - Apatah lagi Ibn Qudamah menukilkan ijmak kalangan sahabat. Kritikan terhadap ijmak ini boleh diterima jika boleh dibuktikan adanya khilaf dari kalangan sahabat. Khilaf selepas sahabat berijmak tidak diterima kerana dianggap khilaf selepas ijmak.

      - Cuma Ibn Hazm mengisyaratkan kepada khilaf daripada Umar r.a, Sufyan dan Ibrahim al-Nakhaie. Tetapi riwayat daripada Umar r.a. tersebut bercanggahan dengan nukilan Ibn Qudamah dalam Mughni, Ibn Abdil Barr dalam Tamhid dan Istizkar.

      - Begitu juga riwayat daripada Ibrahim al-Nakhaie tidak dibunuh. Tetapi ada juga riwayat daripadanya bahawa hukumannya ialah bunuh. Malah Ibn Hajar mengatakan riwayat daripada Ibrahim Nakhae tentang dibunuh orang murtad lebih kuat daripada riwayat tidak dibunuh. Riwayat tidak dibunuh adalah dhaif. (Fathul Bari 12/268).

      - Jadi, jika ada riwayat sahih daripada sahabat atau tabien bahawa muslim yang murtad tidak dibunuh, barulah ia boleh membangkang nukilan ijmak Ibn al-Munzir, Ibn Qudamah dan lain-lain.

      - Itupun, hanya sekadar membangkang nukilan ijmak. Bukan bererti pendapat segelintir itu sahih. Ia mesti dirujuk pula kepada dalil-dalil Al-Quran dan Sunnah.

      Wallahu A’lam

  6. yasir permalink
    13/05/2009 9:22 pm

    oh, begitu. barakallahu fiik.

  7. ahmad permalink
    25/05/2009 8:39 pm

    assalamualaikum ustaz
    ustaz, adakah menutup rambut bagi wanita termasuk dalam ijma’?
    sbb akhir2 ni sy ada terbaca beberapa artikel yg sebut bahawa rambut wanita bukan aurat disertakan dengan dalil2 dan hujjah, mungkin ustaz bleh tulis artikel ttg perkara ni utk menolak kekeliruan yg dibuat oleh penulis tersebut.
    maaf, jazakallah khairan.

  8. 08/04/2010 7:31 am

    ape peranan ijmak

  9. siti permalink
    05/02/2011 10:23 pm

    ustaz,apakah faedah kita menggunakan ijma’ walaupun kita sudah ada sumber al-quran dan sunnah.sekian.barakallahu fiik.

  10. 22/12/2012 12:13 pm

    ustaz,pendapat mazhab imam maliki,berkahwin memerlukan saksi 2 sahaja,adakah itu benar???

Trackbacks

  1. Mencipta Pendapat Ketiga « Catatan Abu Umair
  2. pening dengan khilaf ulamak? « the wall

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 163 other followers

%d bloggers like this: