Skip to content

Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?

01/02/2009

“Tidak boleh ingkar masalah khilaf”. Inilah ungkapan yang kadangkala membantut sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan satu-satu pendapat sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat.

Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu kaedah dalam feqah dan memasukkannya dalam karangan-karangan tentang qawaed feqah. Tetapi sebahagian kita memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Kesilapfahaman terhadap kaedah ini berpunca daripada kekaburan antara masalah khilaf yang harus diperselisihkan dan masalah khilaf yang tidak harus diperselisihkan. Atau dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.

Al-Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam memperincikan perbezaan antara dua jenis khilaf ini. Beliau menyebut:

“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan, terdapat dua situasi.

Pertama: Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata…

Kedua: Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Al-Qawaed Al-Kubra 2/371).

Daripada kenyataan Al-Imam Al-Izz, kita mendapati ada pembahagian masalah khilaf kepada khilaf yang tidak harus, dan khilaf yang harus. Jadi, sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita terlebih dahulu mesti dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Kemudian, perlu mengkaji pula adakah sesuatu masalah itu termasuk dalam jenis yang pertama atau kedua. Selepas itu barulah boleh diaplikasikan kaedah ‘Tidak Boleh Diingkari Masalah Khilaf” secara betul.

Khilaf Yang Tidak Muktabar

Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.

Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dalam kitabnya Al-Risalah:

“Aku (Al-Syafie) berkata: Khilaf terdapat dua jenis. Pertama: Khilaf yang haram. Dan aku tidak mengatakannya (haram) dalam jenis yang satu lagi”.

Imam Syafie juga memperincikan apakah maksud khilaf yang haram, dengan kata-katanya:

“Setiap perkara yang telah Allah dirikan hujah dengannya di dalam kitabNya, atau di atas lidah NabiNya secara nas yang jelas, maka tidak halal berselisih pendapat padanya bagi orang yang mengetahuinya”. (Al-Risalah: 1/560).

Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.

Khilaf Yang Muktabar

Setelah kita mengenali khilaf yang tidak muktabar, kita dapat mengenali khilaf yang muktabar. Iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.

Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan Al-Tsaury berkata, “Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).

Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmuk Fatawa 20/207).

Jadi, kita boleh simpulkan bahawa bukan semua permasalahan khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh malahan mesti diingkari, dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu masalah-masalah ijtihadiyyah.

Di samping itu, mengingkari masalah-masalah khilaf yang tidak muktabar bukan bermaksud mencerca dan mencaci pendapat dhaif tersebut. Bukan juga dengan cara merendah-rendahkan martabat ulama yang mengeluarkan pendapat tersebut. Tindakan seperti ini bukan disiplin yang diajar oleh agama dalam mengingkari sesuatu yang salah.

Maksud mengingkari pendapat yang tidak muktabar ialah menerangkan kedhaifan dan keganjilan pendapat tersebut, disamping menyatakan pendapat yang sahih beserta hujah-hujahnya. Dan ia mestilah dilakukan secara beradab dan ilmiyyah.

Wallahu A’lam.

About these ads
11 Comments leave one →
  1. shahrir permalink
    03/02/2009 3:31 am

    Askum tuan…masalah yang tuan kemukakan ini memang saya amat tunggu-tunggukan dan cari penjelasannya. minta tuan senaraikan nama-nama kitab yang tersebut di atas dan selainnya utk saya buat rujukkan mengenainya…dengan lebih terperinci tq…barakallah fikum…

  2. 04/02/2009 5:22 am

    Waalaikumussalam

    saudara shahrir,

    Kaedah ‘Tidak boleh ingkar masalah khilaf’ boleh dirujuk dalam Al-Asybah Wa al-Nazhair oleh Suyuti. (Kaedah ke-53 dalam Kitab Kedua).

    Pembahagian khilaf pula boleh dilihat dalam kitab:
    - Al-Risalah oleh Imam Syafie (Bab: Al-Ikhtilaf), dan AL-Muwafaqat oleh Syatibi.

    Selain itu, boleh dirujuki fatwa-fatwa ulama seperti: Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah.

    Dan karangan-karangan khas tentang masalah ini, seperti dalam kitab: Ikhtilaf al-Mufteen.

    Wallahu A’lam.

  3. nsi permalink
    07/02/2009 11:14 am

    kaedah: اتفقنا فيما اتفقنا وافترقنا فيما افترقنا pun sama juga.

    RAmai orang nak membenarkan sesuatu khilaf dengan kaedah ini. Contohnya taqrib syiah dan sunnah.

    Bagaimana ustaz?

    Saya pernah baca satu pandangan daripada seorang ulama. Katanya” Yang sepatutnya dalam kaedah ini اتفقنا فيما اتفقنا وافترقنا فيما افترقنا في الفروع بعد الانكار

    bagaimana pandangan ustaz? Kalau ditambah qayyid في الفروع المعتبرة ?

    ustaz,
    bagaimana nak belajar hadis? ada cara atau tertib tak?

  4. 07/02/2009 2:35 pm

    saudara nsi,

    Kaedah yang saudara sebutkan itu, saya tidak pernah menemuinya. Lagipun, kaedah itu tidak memberi apa-apa makna, kerana ia sekadar tahsil al-hasil. Iaitu: bersepakat dalam perkara yang disepakati. Dan berselisih dalam perkara yang diperselisihkan.

    Mungkin maksud saudara ialah kaedah:
    نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه

    Iaitu: Bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati, dan memaafkan satu sama lain dalam perkara yang kita perselisihkan.

    Kaedah inilah yang biasa diguna untuk mentaqribkan antara ahli sunnah dan syiah.

    Kaedah ini juga ada pertikaiannya. Kerana, apakah had perselisihan yang kita boleh memaafkannya?

    Yang sahihnya ialah kaedah: Bekerjasana dalam kebaikan dan ketaqwaan, dan tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan.

    Firman Allah Taala:

    وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الاثم والعدوان

    Wallahu A’lam

  5. abu naufal permalink
    02/03/2009 7:52 am

    assalamualaikum

    ana teringat satu bait syair

    ليس كل خلاف جاء معتبرا ولكن خلاف له حظ من النظر

  6. iskandar izz permalink
    17/03/2009 7:28 am

    Salam,

    Boleh kita guna dalil ini ustaz;
    “Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul(Nya)dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.”[Al-Maidah: 92]

    Saya faham begini ayat di atas tu;
    Taat Allah (Al-Quran) dan taat Rasul(Sunnnah), wajib.
    Yang lain-lain tu (termasuk perkara khilaf), berhati-hatilah kita, dalam mentaatinya.
    Berbuat dengan ilmu. (Al-Isra’:36)
    Sekadar perkongsian.

  7. hambaNya permalink
    17/05/2009 12:54 pm

    salam ustaz
    saya nak tanya ustaz tentang hukum 2 marhalah dalam islam.
    ada 2 pendapat tentang dibolehkan qasar iaitu pendapat yang mengatakan 2 marhalah dan satu lagi yang tidak menetapkan jarak tertentu.

    secara umumnya imam mazhab yang 4 menerima pendapat pertama benarkah?

    bagaimana untuk menentukan pendapat yang rajih?

    dan untuk situasi begini adakah khilaf ini boleh diingkari?

    syukran

  8. syed permalink
    13/02/2010 6:27 pm

    السلام عليكم
    Ustaz, ana ada persoalan untuk ustaz rungkaikan berkenaan dengan kalam Imam As-Syafi’e.

    “Setiap perkara yang telah Allah dirikan hujah dengannya di dalam kitabNya, atau di atas lidah NabiNya secara nas yang jelas, maka tidak halal berselisih pendapat padanya bagi orang yang mengetahuinya”. (Al-Risalah: 1/560).

    Dalam penelitian ana, kalam al-Imam tidak merujuk kepada khilaf yang tidak muktabar kerana masalah khilaf hanya dibolehkan berlaku pada perkara ijtihadiyyah sedangkan jika perkara itu sudah thabit melalui nas-nas yang jelas, maka ianya tidak boleh masuk dalam perkara ijtihad.

    Betulkan pemahaman ana ustaz, kerana apa yang ana faham dari kalam al-Imam adalah menunjukkan bahawa yang dimaksudkan adalah haram berlaku khilaf terhadap perkara yang sudah thabit dengan qath’ie. Maka al-Imam rhm menamakannya dengan الاختلاف المحرم .

    Manakala yang dikatakan khilaf muktabar dan tidak muktabar hanya berlaku dalam masalah hukum yang tidak dinyatakan secara jelas iaitu bersifat zhonni. Ana cuba nak membezakan antara keduanya :

    1) Hukum Thabit – dilarang khilaf

    2) Hukum tidak thabit – boleh berlaku khilaf dan khilaf yang berlaku boleh jadi muktabar atau tidak muktabar.

    Minta ustaz tolong tunjuk ajar pada ana, mungkin ana tidak faham dan berlaku kekeliruan. Jazakallah

  9. ayatul husna permalink
    03/10/2010 7:43 pm

    salam ustaz…

  10. ayatul husna permalink
    03/10/2010 7:44 pm

    salam ustaz…
    kaedah fekah yang mana boleh kita hujah??
    ana memerlukan jwpn

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 161 other followers

%d bloggers like this: