Skip to content

17 Ramadhan: Sambutan Nuzul Quran?

08/09/2009

Orang Islam Nusantara termasuk di Malaysia benar-benar ambil cakna tentang tarikh peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Tidak hairan apabila tiba tarikh-tarikh tertentu, pelbagai upacara persis perayaan disambut di pelbagai peringkat. Siapa kalangan kita tidak pernah mendengar tentang sambutan Maal Hijrah, Maulid Nabi, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Nuzul Quran, dan macam-macam perayaan lagi.

Dari satu sudut, sikap ambil peduli orang kita terhadap sejarah Islam, apatah lagi sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam patut dipuji malah disemai dalam masyarakat. Kerana ia secara langsung akan membenihkan rasa cinta dan kasih kepada baginda.

Cuma dalam keghairahan menyambut sambutan-sambutan bersejarah, wajar diperjelaskan kepada masyarakat dua perkara penting. Ia bagi memastikan perbuatan kita yang bersangkutan agama berasaskan fakta yang benar dan berpayung di bawah petunjuk agama.

Pertama, ialah memastikan kesahihan tarikh sesuatu peristiwa. Kita tidak boleh bergantung hanya kepada kepercayaan masyarakat semata-mata. Kerana kajian-kajian ilmiah masakini sudah membuktikan bahawa banyak tarikh-tarikh yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu, sebenarnya tidak berasas kepada bukti dan fakta yang berwibawa.

Untuk ini, kita hendaklah membuat kajian terperinci dan meluas terhadap sumber-sumber sejarah berpandukan metod yang diiktiraf dalam dunia akademik. Ataupun merujuk kepada ilmuan yang pakar dalam bidang sejarah dan riwayat.

Kedua, selepas ditemui dan dipastikan secara yakin tarikh yang tepat terhadap sesuatu peristiwa sejarah, perlu pula kepada persoalan adakah di sana syarak menganjurkan diadakan apa-apa sambutan terhadap peristiwa tersebut. Jika ada anjuran daripada syarak, maka kita hendaklah meraikannya sepertimana yang dianjurkan. Sebaliknya, jika syarak tidak menganjurkan apa-apa sambutan, janganlah kita terpedaya dengan amalan yang diada-adakan oleh orang terkemudian. Kerana amalan rekaan seperti ini pasti ditolak oleh Allah Taala.

Berpandukan kepada dua asas yang disebutkan, mari kita selusuri perayaan Nuzul Quran yang disambut pada 17 Ramadhan. Adakah terdapat sokongan daripada fakta sejarah atau tidak?

1) Tarikh Nuzul Quran

Selepas mengambil kira beberapa pandangan sejarawan Islam, serta bandingan hujah dan fakta setiap pendapat, memang ada kalangan mereka menyebut 17 Ramadhan sebagai tarikh permulaan turunnya Al-Quran. Tetapi tidak ada dalil sahih yang menyokong tarikh ini.

Yang ada hanyalah atsar daripada Abu Jaafar al-Baqir yang menyebut, “Permulaan turunnya wahyu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah pada hari Isnin, pada tujuh belas Ramadhan”. Atsar ini diriwayatkan oleh Al-Waqidi dengan rantaian sanadnya. (Al-Bidayah Wa Al-Nihayah 3/11).

Dari sudut ilmu kajian hadis, atsar seperti ini tidak diterima sebagai hujah. Selain ia tidak bersambungan sehingga Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, ia juga adalah riwayat Al-Waqidi yang dipertikaikan kewibawaannya dalam ilmu periwayatan.

Maka, jelas bahawa sandaran kepada sambutan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan tidak berasaskan kepada hujah yang dipercayai.

Di sana terdapat pendapat yang lebih kuat iaitu Nuzul Quran berlaku pada 24 Ramadhan (yakni: pada malam 25). Ia berdasarkan satu hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

“Diturunkan Suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama Ramadhan. Diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan. Dan (diturunkan) Injil pada 13 Ramadhan. Dan diturunkan Al-Furqan (Al-Quran) pada 24 Ramadhan”.
Direkod dalam Musnad Ahmad (no: 16984), dan Mukjam Kabir Oleh Tabarani (no: 18036). Al-Albani menilainya sebagai hasan. (Silsilah Sahihah 4/104)

Antara dua tarikh iaitu 17 Ramadhan dan 24 Ramadhan, ternyata tarikh 24 Ramadhan lebih kukuh dari sudut fakta dan riwayat.

2) Adakah terdapat anjuran sambutan Nuzul Quran?

Samada kita berpegang kepada tarikh 17 atau 24, mahupun tarikh-tarikh lain, persoalan kedua ialah adakah syarak menganjurkan mengadakan sambutan apabila tibanya tarikh ini?

Wujudkah dalam dewan sunnah walau satu hadis yang bermaksud hendaklah dianjurkan apa-apa perayaan apabila tiba tarikh Nuzul Quran ini? Jawapan yang pasti ialah: Tiada!!

Beberapa dekad yang lalu pada tahun 1966, Kerajaan Pakistan melalui keduatannya di Arab Saudi mengutusi Kerajaan Arab Saudi meminta supaya dipastikan tarikh yang tepat terhadap Nuzul Quran. Ketika itu Pakistan bercadang membuat sambutan perayaan 1400 tahun Nuzul Quran. Oleh kerana banyak pendapat tentang tarikhnya di kalangan ulama Pakistan, kerajaan Pakistan meminta ketetapan tarikh daripada Kerajaan Arab Saudi.

Antara kandungan surat jawapan daripada Mufti Besar Arab Saudi ketika itu, Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali al-Syeikh ialah:

“Manakala perbahasan tentang keharusan menjadikan hari Nuzul Quran sebagai perayaan yang disambut saban tahun, maka sungguhpun tujuan penganjurnya baik, tetapi oleh kerana ia tidak dianjurkan syarak, tidak warid daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, juga tidak dinukilkan dari seorang pun khulafa rasyidin, dan seluruh sahabat dan tabien, tidak juga dinukilkan daripada empat Imam mazhab, Abu Hanifah, Malik, Syafie, dan Ahmad, dan tidak juga daripada imam-imam lain yang dituruti dari kalangan salaf dan khalaf, maka hendaklah diambil perhatian bahawa perbuatan seumpama ini adalah tidak harus dari segi syarak.”

Ini bererti perayaan Nuzul Quran yang disambut oleh masyarakat hari ini rupa-rupanya tidak ada langsung anjurannya daripada syarak. Ditambah pula dengan kedhaifan dalil yang menjadi hujah bagi tarikh 17 Ramadhan.

Yang paling saya ingin tekankan di sini, ialah dua elemen penting yang patut menjadi dasar dalam apa-apa sambutan perayaan dalam Islam. Pertama: Menilai kesahihan tarikh peristiwa. Kedua: Memastikan wujudkah anjuran syarak untuk diadakan perayaan sempenanya.

Dengan menyelesaikan dua jawapan secara akademik dan berfakta, In Sya Allah tindakan kita tidak akan terpesong daripada dasar-dasar Islam.

Wallahu A’lam.

28 Comments leave one →
  1. Anonymous permalink
    08/09/2009 7:48 am

    Syeikh Umair…

    Rata2 penagamatan ana dlm masyarakat Melayu Islam di M’sia…orang kita hanya menganjurkan ceramah Nuzul Quran di pelbagai peringkat surau, masjid, jabatan k’rjaan dll.Selepas itu menjadi adat kebiasaan diadakan jamuan ringan..Tak dpt dipastikan barangkali ada tempat lain ada perayaan khusus seumpama yg nak dibuat di Pakistan tu.

    perkara yang difokuskan berkaitan memastikan kesahihan tarikh, riwayat dll..saya sangat setuju krn al-bahtsu anid dalil min da’bi rijal.

    Syabas dan salam Ramadhan.

    • 08/09/2009 8:18 am

      Alhamdulillah, setakat ini sambutan Nuzul Quran di Malaysia tidaklah berbentuk perayaan sangat. Kebanyakannya hanya ceramah.

      Tetapi akhir-akhir ini sudah ada orang berkempen untuk menjadikan perayaan Nuzul Quran sebagai raya ketiga umat Islam. Niatnya baik, tetapi caranya salah.

      Satu perkara yang perlu kita faham, biasanya bidaah besar ia bermula daripada yang kecil, tetapi dibiarkan sehingga ia membarah akhirnya.

  2. 08/09/2009 2:08 pm

    assalamualaikum…..

    en.abu umair…

    saya ingin meminta pendapat tuan ttg mengurut batin dgn minyak2 daripada binatang yang haram dimakan….contohnya…zakar harimau…buaya dan sebagainya…

    semenjak kini semakin ramai anak muda yang gemar mengurut bagi tujuan yang tidak pasti…

    yang kedua…

    saya kurang jelas dgn tafsiran surah al ankabut…mengenai sarang labah-labah…

    boleh x kiranya en. ulaskan…

    sekian terima kasih…

    • 11/09/2009 6:15 pm

      Waalaikumussalam..

      Minyak-minyak daripada zakar harimau, buaya adalah najis. Dan mengikut prinsip asas perubatan dalam Islam, tidak boleh berubat dengan benda-benda najis kecuali dalam keadaan darurat dan tidak ada bahan suci yang boleh mengubati.

      Cuma untuk kegunaan luar, ada khilaf juga.

      وامنع دواء باطن الأجساد **** بنجس واختلفوا في البادي

      Tetapi sebaik-baiknya meninggalkan bahan2 najis jika boleh diganti dengan bahan lain yang suci.

  3. 11/09/2009 12:56 pm

    Bagaimana dengan hujah ini….

    http://asqalani.blogspot.com/

    “Bila Nuzul Quran…”

    Setiap datangnya Ramadhan, tarikh bersejarah diangkatnya Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah pastinya diingati oleh sebahagian Umat Islam. Namun penulisan disini ingin mengajak para pembaca yang kritis dan berlapang dada untuk mengkoreksi kembali tarikh Nuzul Quran yang begitu mahsyur di negara kita iaitu 17 Ramadhan.

    Penulisan ini adalah rentetan dari beberapa kuliah Asqalani di Pulau Pinang berpandukan kajian secara ilmiah yang telah dijalankan oleh Pakar Sirah Nabi SAW iaitu Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya yang mahsyur iaitu Raheeq al-Makhtum.

    Kitab tersebut telah dipilih sebagai kitab terbaik oleh sebuah pertubuhan Islam yang berpusat di Makkah al-Mukarramah iaitu Rabitah Alam al-Islami. Kitab tersebut mengungguli beratus-ratus karangan Sirah yang lain yang telah dipertandingkan.

    Analisis tarikh Nuzul Quran.

    1 ) Bilakah Lailatul Qadar?

    2 ) Bilakah negara kita menyambut Nuzul Quran?

    3 ) Bagaimana dengan ayat dari Surah al-Qadr? ( Inna anzalna hu fi lailatil qadr ) yang

    bermaksud “Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadr” ( Surah al-Qadr : 1 )

    4 ) Adakah ayat ini bermaksud malam lailatul qadr jatuh pada 17 Ramadhan?

    Apa Kata Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri…..

    “Setelah diteliti dengan berbagai dalil dan perbandingan lain, maka kesimpulannya ditetapkan bahawa hari itu ( Nuzul Quran ) jatuh pada hari Isnin malam 21 dari bulan Ramadhan bersamaan dengan 10 Ogos 610M.” ( rujuk Safiyurrahman al-Mubarakfuri, (2004), Raheeq al-Makhtum, Bab Jibril yanzilu bilwahy, Riyadh : Dar al-Salam, cet. 6, m.s 80 )

    Sebenarnya dalam isu ini terdapat banyak perbezaan pendapat dikalangan ulama’. Ada yang menetapkan hari Nuzul Quran adalah pada bulan Ramadhan, Rejab dan Ramadhan. Namun Syeikh mentarjihkan pendapat ianya berlaku dalam bulan Ramadhan. Hujah beliau didasari dengan alasan berikut :

    1 ) Firman Allah Swt :

    “Bulan ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan ( permulaan ) al-Quran.” ( Surah al-Baqarah : 185 )

    2 ) Firman Allah Swt :

    “Sesungguhnya Kami menurunkannya ( al-Quran ) pada Lailatul Qadr.” ( Surah al-Qadr : 1 )

    Kemudian, berlaku sekali lagi perbezaan pendapat berkenaan tarikh hari sebenar nuzul Quran. Ada yang berpendapat pada hari ke-7, ke- 17 dan ke-18. Bagaimanapun Syeikh mentarjihkan pendapat bahawa tarikh sebenar adalah pada 21 Ramadhan. Hujjahnya :

    1 ) Pakar sejarah atau biografi secara sepakat mengatakan Nuzul Quran berlaku pada hari Isnin berdasarkan kepada hadis Sahih dari Abu Qatadah ra.

    “Rasulullah apabila ditanya berkenaan puasa hari hari Isnin. Maka Baginda menjawab, “Itulah hari aku dilahirkan dan pada hari itu aku diutus sebagai Rasul atau diturunkan kepadaku wahyu” ( Lihat Sahih Muslim, 1/368, Ahmad : 5/299, al-Baihaqi : 4/286 )

    2 ) Menurut kajian terperinci, hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun itu telah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28 haribulan.

    3 ) Pendapat yang paling kuat, terjadinya malam Lailatul Qadar itu pada malam terakhir bulan Ramadhan berdasarkan hadits Aisyah Radhiyallahu ‘anha, dia berkata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf di sepuluh hari terkahir bulan Ramadhan dan beliau bersabda.
    “Ertinya : Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan” ( Hadits Riwayat Bukhari 4/225 dan Muslim 1169)

    Kesimpulannya, berdasarkan kepada dalil bahawa lailatul qadar berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan pada malam yang ganjil, maka Syeikh Safiyurrahman mentarjihkan Nuzul Quran berlaku pada 21 Ramadhan. wallahua’lam.

    • 11/09/2009 2:17 pm

      Pentarjihan Syeikh Al-Mubarkfuri -rahimahullah- berasaskan kepada 3 muqaddimah utama:

      1) Turunnya Al-Quran berlaku pada Lailatul Qadr, bulan Ramadhan, hari Isnin.
      2) Hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun itu telah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28 haribulan.
      3) Lailatul Qadr berlaku pada malam ganjil pada sepuluh terakhir.

      = Natijahnya: sudah pasti pada 21 Ramadhan.

      Mungkin ada beberapa persoalan kepada hujah ini:

      1) Turunnya al-Quran pada Lailatul Qadr ialah turunnya sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah. Manakala turunnya Quran pada hari Isnin merujuk kepada permulaan turunnya kepada Nabi SAW.

      Jadi, tidak semestinya permulaan turun kepada Nabi ialah pada Lailatul Qadr.

      2) Ada hadis supaya mencari Lailatul Qadr pada malam ganjil, sepuluh terakhir. Tetapi tidak semestinya pada zaman permulaan turunnya Quran, pada awal kenabian, sebelum disyariatkan apa2 fardhu, lailatul Qadr juga pada 10 terakhir.

      Wallahu A’lam.

      Apapun, kajian Syeikh Mubarakfuri -rahimahullah- terhadap tarikh peristiwa-peristiwa seperti ini adalah cukup mendalam dan menakjubkan..

  4. Abu Muslim permalink
    14/09/2009 12:22 pm

    Salam …mungkin yang dimaksudkan nuzul al-quran oleh Syeikh Al-Mubarkfuri -rahimahullah yang pertama di dunia bukan di baitul izzah
    Wallahu a’lam

  5. Abu Muslim permalink
    14/09/2009 12:37 pm

    Ader persoalan kat sini….Ada yang mendakwa bahawa beramal zikir ma’thurat pagi dan petang adalah bidaah….alasan nyer Nabi tak berzikir secara mengumpul zikir2 serentak….Sebab ada yang menganggap
    Nabi baca Zikir itu…Sedangkan Hasan Al-banna yang mengumpul zikir2 itu dari hadis2 dan dijadikan satu amalan pagi dan petang….cam mana pandangan ustaz?

    • 14/09/2009 2:54 pm

      Al-Maatsurat susunan Hasan Al-Banna dikumpulkan daripada hadis-hadis juga. Walaupun ada yang mempertikaikan sesetengah hadisnya, tetapi -In Sya Allah- dalam bab lafaz-lafaz doa tidak mengapa mengamalkannya. (rujuk masalah: berdoa dengan hadis dhaif)

      Cuma penganjuran zikir ini secara jamaie dengan satu suara, itu yang menyalahi sunnah, jika dijadikan sebagai kelaziman.

      Wallahu A’lam.

      • Abu Muslim permalink
        14/09/2009 5:29 pm

        Salam masih dalam perbincangan ttg maathurat.Boleh tak kita anggap kepada orang yg mengatakan bahawa nabi beramal zikir itu(mengikut susunan maathurat)pagi dan petang adalah i’tikad yang bidaah(mendakwa nabi buat sama sebijik sedangkan nabi sebut zikir itu secara berasingan)?Dari sudut amalan tak jadi masaalah selagi masih dibawah dalil yg umum….yang musykil tanggapan amalan nabi sedangkan nabi tak zikir secara kumpul begitu.
        Boleh tak kalau kita kata cam nie….sebagai contoh wirid kuat lepas maghrib….1)dia anggap(iktikad) itu perkara nabi buat,maka dia telah melakukan bidaah i’tikad(tanggapan) 2)dia baca kuat wirid,tapi dia tak anggap itu perbuatan nabi(baca kuat)tapi isi bacaan daripada nabi yg masih di bawah dalil umum supaya berzikir banyak. Kesimpulan nya boleh tak kita kata 2 jenis bidaah i’tikad dan bidaah amal?

      • 14/09/2009 6:03 pm

        Salam…

        Berkenaan dengan dua contoh yang akhie bawakan, iaitu zikir kuat secara jamaie selepas setiap kali solat fardhu. Orang yang lakukan mungkin dua jenis (spt yang akhie katakan):

        1- Iktiqad bahawa ia sunnah.
        Ya, ia adalah satu kesilapan. Tetapi saya kurang bersetuju manamakan ia sebagai bidaah i’tiqad. Kerana ia sebenarnya adalah jahil tentang sunnah. Ia adalah bidaah amal juga, yang berpunca dari kejahilan atau syubhah.

        Kerana bidaah i’tiqad biasa digunakan dalam perkara usul aqidah seperti bidaah qadar dll.

        2- Melakukan tanpa iktiqad bahawa ia sunnah. Ia juga adalah jenis bidaah amalan.

        Berbalik kepada bacaan maatsurat susunan Hasan al-Banna, memang susunan tersebut tidak berdasarkan dalil. Tidak boleh iktiqad ia Nabi SAW baca dengan susunan seperti itu.

        Sebab itulah, kalangan Ikhwan Muslimin dahulu pun ada yang membaca Ma’tsurat ini dengan tidak mengikut susunannya. Kerana bimbang termasuk dalam bidaah dalam amalan. (sebagaimana diceritakan oleh Qardhawi dalam satu makalahnya).

  6. Abu Umar permalink
    15/09/2009 11:20 am

    Bismillahir Rahmanir Rahim. Hanya dengan namaNya dan keranaNya kita mencari kebenaran.

    Saya bukan seorang yang mendalam ilmu agama saya. Cuma, saya terpanggil untuk memberi sedikit komen berkenaan bidaah ini.

    Nabi pernah diriwayatkan bahawa Baginda ada berzikir selepas solat fardu, walaupun dalam keadaan ‘sirr’. Saya menganggapkan ini sebagai satu indikator tentang amalan ini oleh Baginda Rasulullah saw.

    Justeru, saya tidak bersetuju seandainya kita menghukum mereka yg berzikir selepas solat secara berjamaah seabgai suatu bid’ah yg perlu diperbesarkan, kerana Nabi turut melakukannya, walau secara ‘sirr’.

    Pada pendapat saya, bid’ah sebagaimana yg disabdakan oleh Baginda dlm hadisnya yg masyhur itu, yg membawa ke neraka, adalah pabila kita menambah atau mengurang ibadat yg telah khusu cara melakukannya. Sbgi contoh, solat subuh 3 rakaat dan sebagainya atau waktu berbuka pada waktu asar ketika berpuasa.

    Selain dr itu, ia bukan suatu yg sepatutnya boleh menyebabkan kita berpecah, berbalah. Ini kerana semua pihak mempunyai hujah dan pendapat masing-masing berdasarkan dalil yg boleh diterima.

    Jika masyarakat menganggap ia adalah suatu yg baik dan membawa manfaat, tidak menyalahi syariat, kenapa kita bertungkus lumus menentangnya. Bukankah Qawaid Fiqhiyyah ada menukilkan “al-Adatu Muhakkamah”.

    Salam kepada semua. Wa Allahu a’lam.

    • 15/09/2009 3:20 pm

      Wsalam..

      Terima kasih atas komentar..

      Jawapan ringkas saya:

      – Pengertian bidah dan contohnya, saya suka merujuk kepada Imam Syatibiy dalam kitabnya ‘Al-I’tisham’.

      – Tentang bidaahnya zikir berjemaah (dengan satu suara, diketuai seorang imam sebagai tekong dan amalan ini dijadikan wirid secara berterusan), saya berpegang kepada atsar Ibn Mas’us r.a. ketika melihat orang melakukan amalan seperti ini, beliau mengingkari dan berkata (maksudnya): Adakah kamu lebih alim daripada para sahabat, atau kamu membuka pintu kesesatan?

      – Adapaun tuan menganggap perkara ini kecil, maka saya mengatakan memang ia kecil. Tetapi bagi mereka yang mengkaji sejarah bidaah akan tahu bidaah2 besar ia bermula dari kecil. Kata Ibn Taimiah (lebih kurang): Bidaah pada awalnya sejengkal, kemudian sehasta, kemudian, sehingga sebatu dan sefarsakh.

      – Tentang berpecah dan berbalah tentang isu ini, ia hanya akan berlaku jika ada mana-mana pihak tidak berhikmah dalam dakwah atau sombong untuk menerima kebenaran.

      – Tentang apa yang saudara/ustaz sebutkan ‘Al-Adatu Muhakkamah’, kaedah ini diaplikasikan dalam perkara adat dan urf.

      Sekian Wallahu A’lam.

  7. Penjejak Badai permalink
    16/09/2009 12:09 pm

    Salam.

    Ust ABu Umair,jazakallah atas artikel ini. Beberapa persoalan dari saya:

    1. Tidakkah sebahagian hujah2 dan jawapan ainaljawab,insankeliru,insanbiasa dan yg sewaktu dengannya boleh menjadi hujjah yg merbahaya dalam menjustifikasikan amalan2 atau perayaan2 lain yg tiada asal dlm islam?

    2. Bagaimanakah utk kita mencari jalan tengah bagi menyelesaikan perselisihan ini?

    • 16/09/2009 10:57 pm

      Salam, Saudara Penjejak Badai,

      Alhamdulillah, saya mengambil jalan unapprove semua lebih kurang 20 komen seorang pembaca yang menggunakan banyak nickname tersebut dalam post ini, kerana terlalu gopoh dalam memberi pandangan dan persoalan. Kemudian, minta saya menjawab dengan segera.

      Saya terbuka untuk dikritik. Tetapi jangan gopoh sampai puluhan soalan dalam satu masa.

      Kepada saudara berkenaan, sekali lagi saya minta maaf.

      • Anonymous permalink
        02/12/2012 6:16 pm

        jangan terlalu ghairah dalam membahas masalah furu’,sehingga umat ini hanya celek bagian furu’ sahaja….ajak mereka untukmengenal Allah,untuk dekat kepada Allah…itu lebih baik dalam dalam penulisan tuan menurut saya..afwan.

  8. Penjejak Badai permalink
    16/09/2009 12:28 pm

    Saya melihat dalam membincangkan sesetengah amalan2 bida’ah ini,terdapat dua golongan. Yang mempertahankan amalan tersebut dgn sebahagian besar alasan mereka adalah ia memberi manfaat kepada umat islam dr segi pengisian. Dan golongan yg menentang dan mengingatkan peri bahayanya amalan2 bida’ah dengan niat agar umat islam tidak terjerumus dlm perkara2 yg tidak ada asal dlm islam dan agar bida’ah kecil tidak menjadi besar.

    Persoalannya,yang manakah lebih utama? Umat mendapat pengisian dan manfaat dr amalan tersebut atau,umat terselamat dr sesuatu yg tidak ada asal salaf dlm perkara amalan/perayaan?

    Hmm..

  9. cericau permalink
    16/09/2009 7:40 pm

    terima kasih~

    lama dah baca blog ust, hari baru nak komen…. heheh

    ustaz… sya sikit musykil la! kalo bidaah betul2 tak boleh walau dalam perkara ada relevan dan baiknya. bagaimana pula dengan hadis2 yg tidak menunjukkan ke arah itu?

    antaranya hadis sorang sahabat baca surah as-somad setiap kali sebelum rukuk. jelas perbuatannya itu bidaah tak dibuat org. apabila diadukan kpd Rasulullah s.a.w. nyata Baginda tidak pula menghalang disebabkan bidaahnya itu tidak lain datang dari rasa asyiknya terhadap surah itu dan tidak lansung ada percanggahan dengan mana2 perkara agama. dan beberapa lg hadis lain.

    lalu mengapa sekarang perkara2 molek yang diadakan dan jauh dari unsur2 keterlampauan tuntas dianggap salah dan terpesong? kalau ia terbit dari rasa kasih dan cinta pada agama serta tiada lain semata-mata untuk dijadikan pengisian dan peringatan( spt nuzul quran dsb.) apa salahnya tolak ansur?….agar penghayatan itu terus subur.

    dari sudut ilmiah… takkan tak boleh kot?

    • 16/09/2009 10:49 pm

      Saudara cericau…

      Terima kasih atas komentar.

      Berkenaan dengan kisah sahabat membaca surah sebelum rukuk, jawapan mudahnya ia tidak boleh dikatakan sebagai bidaah.

      – Kerana ia diikrarkan oleh Nabi Sallallahu ALaihi Wasallam dan baginda tidak melarang. Jadi, perbuatan tersebut termasuk dalam Sunnah Taqririyyah.

      – Ada beberapa lagi kes seperti ini berlaku pada zaman baginda. Kes-kes seperti ini kadang-kadang baginda ingkar, dan kadang-kadang baginda iqrar (benarkan). Apabila baginda iqrarkan, maka ia dikira sebagai harus.

      – Kes-kes seperti ini berlaku ketika penysyariatan belum sempurna. Adapun selepas turunnya ayat yg mengatakan Islam sudah sempurna, dan selepas wafatnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, maka tidak ada lagi sahabat melakukannya.

      – Kerana sewaktu baginda hidup, baginda boleh mengesahkan atau menafikan sesuatu amalan yang dibuat oleh sahabat. Selepas wafat, tidak ada lagi Rasul dan Nabi yang boleh mengiqrarkan atau menafikan.

  10. cericau permalink
    20/09/2009 6:57 pm

    ohooo…sori, terima kasih~
    saja buat kecoh sya ni.. :D

  11. anas bin shaleh permalink
    23/09/2009 12:39 am

    salam..ustaz di sini ada beberapa persoalan nk di tanya:-
    adakah salah di sisi syarak klau kita smbut sambutan nuzul quran pada 17 ramadhan…klau salah tolong bwa mai dalil yg kata salah tu…adakah ini satu perbuatan bid”ah yg sesat….di malaysia selalu di anjurKAN SAMBUTAN NUZUL QURAN.adakah semua perbuatan ini bid”ah….

  12. Abu Muslim permalink
    23/09/2009 5:51 pm

    Bidaah diisi-isi imam Syatibi tertumpu kepada ibadat….Bagi saya pandangan Imam Izzuddin Abdul Salam lebih umum pengertiannya berbanding dengan Syatibi….kerana bidaah ader juga dalam muaamalat,munakahat(talak bidi’),perundangan(seperti negara kita tidak laksana hukum hudud,itu bidaah yang sangat besar)
    sebab pengertian Bidaah di sisi Imam Izzuddin Abdul Salam perkara2 yang menyalahi syariat dan kaedah2 usul yang menjadi sepakat ulama’.
    Oleh sebab itu beliau bahagikan bidaah 5….mengikut hukum taklifi…

  13. mohd apis permalink
    16/08/2010 11:01 am

    semakin lama membaca semakin terkeliru berkaitan nuzul Al-Quran

  14. abduh permalink
    26/08/2010 8:36 am

    Assalamualaikum ustaz…

    Saya bukanlah alim sgt mengenai soal agama ni. kalau salah,tolong perbetulkan.Berkenaan dengan bidaah..ustaz ada mengatakan “Kerana sewaktu baginda hidup, baginda boleh mengesahkan atau menafikan sesuatu amalan yang dibuat oleh sahabat. Selepas wafat, tidak ada lagi Rasul dan Nabi yang boleh mengiqrarkan atau menafikan.”

    Persoalannya:

    1) tindakan saidina Umar r.a menyeru umat Islam agar mendirikan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat. adakah dikira bidaah??

    2) tindakan saidina Umar r.a. menjadikan azan hari jumaat & khutbah jumaat menjadi dua bahagian.Adakah perkara itu dikira bidaah??

    3) Tindakan pengumpulan al-Quran oleh saidina Abu Bakar r.a dan sempurna dizaman khalifah Uthman r.a. Aadakah dikira bidaah??

    4) Pengumpulan hadis yg di lakukan oleh saidina umar bin abdul aziz, sehingga sekarang kita dpt membaca dan mempelajarinya. sedangkan Rasulullah s.a.w. pernah melarang sahabat r.a. untuk menghafalnya selainkan al-Quran..

    saya harap ustaz dpt menjelaskannya.

    • 26/08/2010 12:34 pm

      Waalaikumussalam.

      Jawapan ringkas saya:

      1. Ia bukan bidaah. Kerana mendirikan tarawih secara berjemaah adalah sunnah yang pernah dilakukan Nabi SAW beberapa hari, sebagaiamana sabit dalam hadis sahih. Apa yg disebut oleh Umar bahawa ia adalah sebaik-baik bidaah, ialah dari sudut Bahasa. Kerana dia orang yang memulakannya balik setelah ia ditinggalkan.

      2. Azan kedua mula-mula dilakukan oleh Uthman. Maka ia tidak menjadi Bidaah, kerana ia adalah Sunnah. Iaitu Sunnah Khulafa al-Rasyidin. Sebagaimana hadis yang memerintahkan supaya berpegang kepada Sunnah baginda, dan sunnah khulafa Rasyidin. Dan ia berkait rapat dengan maslahah mursalah, kerana penduduk yang semakin ramai.

      3. Ia bukan bidaah, kerana ia adalah maslahah mursalah.

      4. Ia juga bukan bidaah, kerana ia adalah maslahah mursalah.

  15. weiwei permalink
    30/01/2013 11:35 pm

    salam. pengertian bidaah adalah perkara yang tidak dilakukan oleh nabi atau perkara yang tidak ada asol dari nabi?

  16. Pencari Tuhan permalink
    24/07/2013 7:10 pm

    assalamu’alaikum Wr. Wb
    saya bukan orang yang panjang ilmu agama sepertu puan semua. akan tetapi saya ada ketemu beberapa ringkasan buku yg membagi ibadah kepada 2 perkara
    1. ibadah maghdah
    2. ibadah gairumahgdah
    terlepas dari benarnya sumber ini

    ibadah maghdah adalah ibadah yang dilakukan karena allah dan sesuai ketentuan syari’at, dimana mempunyai empat syarat supaya bisa diamalkan
    1. ada dalil dalam al-quran
    2. ada diperbuat nabi/disunnahkan nabi
    3. dianya bersifat superrasional (tidak dapat diakalkan oleh manusia)
    4. azaznya sami’na wa atha’na (kami dengar kami kerjakan)
    dalam contoh yg ditemukan seperti sholat fardhu, zakat, haji, puasa, wudhu, tayammum, azan, iqamah, zikir2 yang telah di sunnahkan nabi

    Ibadah ghairumahgdah ada lah ibadah yang dilakukan untuk berbuat baik karena allah tidak menyalahi syari’at, dimana mempunyai 4 syarat juga dala pengamaannya
    1. tidak ada dalil yang melarang dalam al-quran
    2. tidak harus bercontoh kepada perbuatan rasulullah
    3. bersifat rasional
    4. azaznya manfaat
    dalam contohnya termasuk kedalamnya nuzul quran, perayaan isra dan mi’raj, maulid nabi, mencetak alquran, memberi baris alquran, menghias masjid, rapat RT, membangun universitas, adanya tasawuf, nahwu syaraf dll
    dimana semuanya itu belum bertemu pada masa raslullah SAW

    jika ibadah maghdah yang dilanggar oleh kaum muslimin maka itulah yang disebut dengan bid’ah dalalah (sesat)
    jika itu ibadah gairumaghdah maka jatuhlah dia kepada bid’ah hasanah

    maaf bila terlalu dangkal

Trackbacks

  1. 17 Ramadhan: Sambutan Nuzul Quran? « Cahaya Yang Menyuluh Jalan…

What are you thinking?