Skip to content

Gempa di Padang: Kaitan Waktu Dengan Ayat Al-Quran

14/10/2009

Baru-baru ini pada 30 September 2009, berlaku kejadian gempa bumi besar di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Ia berlaku tepat jam 17:16 (Waktu Indonesia). Kemudian disusuli dengan gempa kedua pada jam 17:58. Pada keesokan pula, berlaku satu lagi gegaran di Jambi pada jam 8:52.

Gempa bumi yang malanda Indonesia kali ini cukup besar dengan saiz yang direkodkan ialah 7.6 skala Richter. Hingga kini, angka korban yang dicatatkan menghampiri 1000 orang, dan beberapa buah kampung sudah diisytiharkan sebagai tanah perkuburan besar selepas operasi mencari mangsa yang tertimbus dihentikan.

Beberapa hari selepas tragedi gempa tersebut, tersebar melalui email dan SMS satu andaian mengaitkan waktu-waktu gempa dengan beberapa ayat Al-Quran. Berikut adalah contoh tulisan yang tersebar: 

Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).

Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya.

Persoalannya, bolehkah mengaitkan secara langsung tiga ayat Al-Quran di atas dengan tiga gegaran gempa bumi baru-baru ini berdasarkan persamaan antara waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran?

Saya cuba membawakan beberapa fakta yang mempertikaikan kebenaran teori mengaitkan waktu kejadian dengan nombor surah dan ayat Al-Quran.

1- Waktu-waktu gempa tersebut (17:16, 17:58, dan 08:52) adalah mengikut standard Waktu Min Greenwich (Greenwich Mean Time) ataupun ringkasnya GMT. Untuk pengetahuan, sistem waktu GMT hanya mula diperkenalkan sekitar tahun 1884 dan Kota Greenwich yang terletak di Britain dipilih sebagai pusat.

Ini bermakna teori mengaitkan waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran hanya relevan selepas diperkenalkan sistem waktu GMT iaitu pada tahun 1884. Maka jelas bahawa ini adalah teori yang baru, yang tidak pernah diketahui oleh ulama terdahulu, apatah lagi pada zaman Kenabian.

2- Teori mengaitkan waktu peristiwa dengan nombor dan ayat Al-Quran hanya terhad kepada 24 surah pertama sahaja, iaitu daripada Surah Al-Fatihah hingga Surah Al-Nuur. Ia juga terhad kepada 59 ayat pertama sahaja daripada 24 surah berkenaan. Kerana, sistem waktu ini hanya mempunyai 24 jam, dan setiap jam mempunyai 60 minit.

Jumlah keseluruhan surah dalam Al-Quran ialah 114 buah. Bererti terdapat 90 surah lagi dalam Al-Quran yang langsung tidak boleh diaplikasikan kaedah penafsiran ini. Manakala 24 surah pertama pula, hanya 59 ayat pertama sahaja yang berkaitan dengan kaedah ini.

3- Mengikut teori ini, angka jam dipadankan dengan nombor surah, dan angka minit dipadankan dengan nombor ayat. Contohnya pukul 17:16 boleh dipadankan dengan surah ke-17 iaitu Al-Isra’ dan ayat yang ke-16 daripada surah tersebut.

Soalnya, dari manakah kaedah padanan ini diambil? Adakah dari seorang rasul yang diutuskan, atau dari akal yang keterlampauan?

4- Jika teori ini benar dan bukannya kebetulan, sudah pasti setiap peristiwa besar seperti gempa dan tsunami boleh dirujuk terus kepada ayat Al-Quran dengan melihat kepada waktunya yang dipadankan kepada ayat Al-Quran.

Atau sekurang-kurangnya dengan mengatakan bahawa sejak diperkenalkan sistem waktu GMT pada 1884, maka setiap peristiwa besar yang berlaku boleh dirujuk ayat Al-Quran dengan memadankan antara waktu dengan nombor surah dan ayat.

Tetapi selepas membuat beberapa padanan terhadap beberapa kejadian gempa sebelum ini, didapati bukan semua kejadian gempa bumi sesuai dipadankan dengan nombor surah dan ayat. Hasil yang diperolehi kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang kaitan antara ayat berkenaan dengan kejadian.

5- Kaedah-kaedah memadankan angka samada waktu atau tarikh dengan ayat Al-Quran adalah satu bentuk mempermain-mainkan ayat Al-Quran. Sebelum ini terdapat kajian berdasarkan angka Al-Quran mengatakan bahawa peristiwa 11 September sudah pun diisyaratkan di dalam Al-Quran. Dan kajian-kajian angka seperti ini juga menghasilkan satu ramalan bahawa Qiamat akan berlaku pada 2012 akan datang. Lihatlah kesesatan manusia apabila memahami Al-Quran dengan kaedah yang direka-reka.

Perlu difahami, ini bukan bermakna dilarang mengambil iktibar sesuatu peristiwa daripada ayat Al-Quran. Malahan, kita dituntut supaya merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam apa jua pertikaian dan permasalahan dalam kehidupan.

Contohnya, peristiwa gempa seperti ini boleh dikaitkan dengan ayat 22-23 surah Al-Hadid yang bermaksud:

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.

Jika diikutkan teori mereka, sampai bila-bila pun sebarang peristiwa bencana tidak dapat dikaitkan dengan ayat ini kerana kedudukannya ialah pada 57:22, sedangkan sistem waktu hanya mempunyai 24 jam sahaja.

Kesimpulannya, ambil lah iktibar daripada Al-Quran berdasarkan padanan antara peristiwa dengan makna dan tafsiran satu-satu ayat Al-Quran. Bukan berdasarkan padanan antara waktu dan nombor ayat Al-Quran.

Sekian.

About these ads
33 Comments leave one →
  1. 14/10/2009 4:36 pm

    Terima kasih atas pencerahan ini ustaz,

    Ini adalah contoh-contoh yang paling digemari oleh orang melayu. Saya juga banyak menerima emel-emel bertaraf sampah seperti contoh-contoh di atas.
    Gejala memadankan ayat-ayat atau bahagian-bahagian tertentu dengan fenomena alam atau yang digelar ‘sains’ oleh golongan ini dikenali sebagai Bucailisme (merujuk kepada Dr Maurice Buccaile yang menulis buku The Bible, The Quran and Science) seperti yang pernah ditulis oleh Prof Shaharir M Zain. (bekas presiden ASASI Sains). Namun ramai juga cerdik pandai kita yang terpengaruh dengan gejala ini.

    Saya akan memuatkan rencana berjudul Sains Islam Bukan berasal dari Bucailisme dalam artikel seterusnya di http://www.majalahsains.com tulisan Prof Shaharir (pakar matematik).

    • 15/10/2009 5:05 pm

      Assalamualaikum. Saya tertarik dengan penggunaan istilah Buccailisme. Ia mungkin merujuk kepada mereka yang gemar memadankan ayat al-Quran dan sains. Dan saya beranggap tuan Faizal sepertinya tidak gemar kepada golongan ini. Mengenai artikel yang tuan maksudkan hasil tulisan Prof. Shaharir itu saya harap diberi link yang sebenar agar mudah saya membacanya.

      Tuan Faizal. Saya lebih cenderung kepada membenarkan adanya sumbangan Dr. Maurice Buccaile dalam ilmu sains al-Quran. Menurut Syeikh al-Zindani, beliau telah diberikan penghormatan oleh kerajaan Mesir untuk membedah mayat firaun. Apa yang menakjubkan adalah beliau mendapati terdapat kandungan garam yang tinggi dalam badan firaun dan tulang belulang firaun remuk dah hancur seaakan menerima tekanan yang tinggi. Dari hasil pembedahan beliau, ia membuktikan bahawa cerita firaun yang Allah datangkan dalam al-Quran 1400 tahun dahulu adalah benar dan ia dapat dibuktikan secafra saintifik pada masa sekarang. Apa yang menguntungkan, penemuan ini dieksplorasi oleh saintis barat yang tidak beriman dengan Allah. Apabila mereka berdepan dengan fakta sains dan ayat al-Quran, mereka menjadi dungu dan kebingungan umpama ahli sihir firaun tatkala melihat mukjizat Musa a.s.

      Sekiranya penemuan sebegini dijumpai oleh saintis Islam, sudah tentu mereka akan dituduh bias kepada agama Islam. Namun begitu ia adalah janji Allah kepada golongan kuffar untuk memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan Allah di segenap penjuru alam dan dalam diri manusia itu sendiri, sehinggalah mereka terpaksa mengakui bahawa al-Quran itu adalah Haq.

      Maka ada pun yang diutarakan oleh Syeikh Loqman pada artikel kali ini adalah berkaitan dengan dakwaan sesetengah pihak yang menyangka ia adalah suatu mukjizat al-Quran atau lebih dikenali sebagai I’jaz ‘Adadi. Syeikh Zindani telah menyatakan bahawa, ia tidak termasuk dalam ilmu I’jaz kerana ia adalah batil.

      Ilmu sebegini dihidupkan oleh Rasyad Khalifa dan dipopularkan oleh kuncu-kuncunya walhal ilmu sebegini adalah warisan ilmu yahudi yang amat gemar meramal sesuatu perkara berdasarkan perkiraan nombor.

      Wallahu A’lam, wassalam.

      • 15/10/2009 5:51 pm

        Salam tuan,

        Untuk makluman, saya sama sekali tidak menyatakan ‘tidak bersetuju’ dengan Maurice Bucailime, bahkan memuji usahanya mengkaji dan menulis sebuah buku yang terkenal. Apa yang dikesalkan ialah budaya umat islam yang gemar mengiyakan setiap apa yang datangnya dari barat tanpa gigih berusaha untuk mengkritik dengan kritis/ilmiah apa yang datangnya dari barat.

        Contoh yang mudah ialah fenomena ‘Big Bang’ dalam bidang kosmologi (asal usul alam semesta). Teori Big Bang diutarakan secara saintifik oleh ilmuan barat yang atheis abad ke-20 (Stephen Hawking, Rogers Penrose dan lain-lain). Saintis ini jelas anti kewujudan Tuhan sedangkan kejadian alam telah dinyatakan dalam Surah Ad-Dukhan serta ayat-ayat lain yang menyuruh manusia berfikir dan mengkaji (secara saintifik).Dan beratus-ratus kertas kerja ilmiah saintifik dan buku-buku diterbitkan tentang Big Bang datangnya dari barat.

        Bagaimana pula dengan umat islam?..hampir tiada yang menulis secara saintifik tentang perkara ini kecuali beberapa individu yang insaf akan keperluan sains islam. Yang menjadi kegemaran umat islam ialah menulis ‘secara popular’ mengenai asal usul kejadian alam tanpa menulis kertas ilmiah. Bahkan golongan ini bukan ahli sains pun.

        Inilah yang dikatakan Bucailisme seperti yang diungkapkan oleh Prof Shaharir M Zain, iaitu mengiyakan atau menjadi pak turut saintis barat, sedangkan tidak menyumbang apa-apa mengenai sains dalam dunia islam seperti yang dilakukan saintis islam terdahulu.

        Banyak lagi yang dibincangkan dalam wacana sains islam yang dilakukan oleh kumpulan ASASI Sains (http://www.kesturi.net/).

        Berkenaan dengan artikel Bucailisme yang akan dimuatkan dalam MajalahSains, diharap tuan bersabar kerana artikel tersebut sedang menunggu giliran. Insyaallah ia akan muncul pada 19/10/09 nanti.

        Sekian terima kasih

        p/s: mohon maaf kepada Ustaz Lokman, kerana banyak menggunakan ruang ini.

        • 15/10/2009 6:30 pm

          Saudara faizal,

          Tak mengapa.. Amat dialu-alukan untuk menyumbangkan sebarang komen, idea, di sini.. Terima kasih atas komentar.

          Juga pada Ust Nubli (nick Budak Gemok), terima kasih atas catatan komen.

        • 16/10/2009 2:05 am

          Assalamualaikum. Terima kasih kepada Syeikh Lokman dan Tuan Faizal.

          Tuan Faizal. Saya ingin sekali mengetahu apakah difinisi sains Islam. Adakah sains Islam ini:

          1. teknologi atau penemuan baru yang dihasilkan oleh umat Islam melalui kajian saintifik berdasarkan metodologi yang dirangka oleh saintis muslim?

          2. berkaitan dengan kosmologi, metafizik dan falsafah?

          3. hasil pembuktian sains yang menambahkan keimanan mukmin kepada Allah?

          Sekiranya takrifan itu pada yang pertama, maka saya melihat ia suatu boleh dilihat dalam dimensi pelbagai. Tidak dinafikan umat Islam sekarang hanya menggunakan teknologi serta “menumpang” penemuan saintis barat. Namun begitu, kedatangan Rasulullah yang membawa Islam ke dunia ini tidak terlalu mementingkan kemajuan material serta penemuan baru bagi keselesaan hidup di dunia. Sekiranya ia merupakan salah satu agenda Rasulullah ke dunia ini, sudah pasti Rasulullah akan menghasilkan baka tamar yang bermutu tinggi yang dapat dinikmati oleh umatnya. Atau baka kuda berkualiti yang dapat digunakan dalam peperangan. Saya tidak anti kemajuan, tetapi janganlah kita terasa kecewa bila mana tiada umat Islam yang dapat menghasilkan teknologi yang bersifat material. Kita sering di war-warkan akan zaman kegemilangan Islam adalah di Andalus ketika ledakan ilmu sains memuncak. Sedangkan zaman kegemilangan Islam yang sebenar ialah pada zaman Rasulullah, sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin.

          Manakala penemuan baru dalam bidang sains diterokai oleh barat, ia patut dilihat dari sudut positif. Sekiranya ia bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah, maka ia merupakan kemenangan bagi umat Islam. Sudah tentu hasil usaha mereka, tidak akan dinafikan oleh mereka sendiri. Benarlah firman Allah dalam surah Fussilat ayat 53:

          Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

          Sekiranya definisi sains Islam pada yang kedua, maka ia hanya dapat dinikmati oleh minoriti sahaja.

          Jika definisi sains Islam pada yang ketiga, maka itulah yang diperjuangkan oleh ramai ulama dan inteligensia muslim.

          Walaupun dunia melihat saintis Islam hanya sebagai pengguna sains barat, namun terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh saintis Islam. Sebagai contoh, saintis Islam di Republik Yaman telah membuat ujikaji terhadap ‘ajbuzzanab (Coccyx) dan rasionalnya arahan Rasulullah agar menyelam lalat bila mana ia jatuh ke dalam minuman. Saintis UM sendiri membuat kajian berkenaan hikmah solat. Saya amat merindui kajian ilmiah seperti ini dan bukannya sains metafizik yang boleh mengelirukan umat Islam. Saya beranggapan kajian dari UM inilah yang satu-satunya dapat dibanggakan oleh umat Islam kerana ia membenarkan kebenaran Islam. Saya amat-amat mengharap saintis muslim Malaysia akan lebih banyak menjalankan kajian berdasarkan al-Quran dan Sunnah agar sains itu menjadi alat untuk menambahkan keyakinan kita kepada Allah dan Rasul.

  2. albaruhiyy permalink
    14/10/2009 4:55 pm

    Salam…
    Dibimbangi tafsiran terhadap ayat-ayat tersebut membawa kepada maksud yang disebut dalam hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi
    “من قال في كتاب الله عز وجل برأيه فأصاب فقد أخطأ ”
    maksudnya : ‘barangsiapa yang berkata (menafsir) tentang kitab Allah (al-Qur’an) dengan pemikirannya, lalu ia betul, maka sesungguhnya ia adalah salah’

    Adapun yang disebutkan tentang kaitan gempa bumi dengan nombor2 ayat tadi, jelas-jelas lagi salah.
    wallahualam

    • yasir permalink
      29/10/2009 9:53 pm

      salam. sheikh albaruhiyy, adakah hadis tersebut sahih? saya macam pernah terbaca tentang kedhaifannya, tapi dah lupa kesimpulan tulisan tersebut. mohon pencerahan. jazakumullahu khaira.

  3. 14/10/2009 10:15 pm

    Syukran lak syeikh abu umair dengan penjelasan yang insyaallah akan menghilangkan kekeliruan orang ramai…nastifid minka jami3an.

  4. lina yatim permalink
    15/10/2009 3:05 am

    Mohon kebenaran untuk ‘copy paste’ artikel ustaz ni untuk saya sebarkan kepada kawan2.

    Terimakasih.

  5. wan khairuddin permalink
    15/10/2009 3:18 am

    izinkan saya copy paste dlm blog saya..tq

  6. abu fatih zubaralhadid permalink
    15/10/2009 4:19 am

    Assalamualaikum,

    Masya Allah…Mulahazah Qayyimah…Mabruk ya Syaikhana…Allahumma Yassir Umurakum…Tahniah atas kewujudan blog yang mufid lil Ummah Insya Allah…

  7. 15/10/2009 5:11 am

    Waalaikumussalam, semua..

    Terima kasih atas singgahan dan komentar kalian… bagi yang meminta izin untuk copy & paste, tidak ada halangan dari saya..

    • 15/10/2009 7:44 pm

      Assaalamualikum..

      Izinkan saya copy-paste dalam Face-book saya. Saya juga akan Link kan Teman2 saya ke Blog ini… Terima Kasih

  8. ACai-MeDina permalink
    15/10/2009 6:39 am

    Terima kasih ustaz atas output yg memberangsangkan..Terima kasih juga pada Faizal Aziz. Majalah sains.com, majalah digest yang patut menggantikan digest2 rapu seperti mastika yg di penuhi dgn tahyul dan sampah…Baraka Allahufikum jami`ean…

    p/s: peja, comel Canada weh..

  9. yusz permalink
    15/10/2009 11:17 am

    Alhamdulillah. Al-Quran itu adalah sebagai panduan hidup. Pada pendapat saya yang lemah ini, segala kefahaman Al-Quran adalah bergantung kepada Hidayah & PenagAMALan Al-Quran tersebut. Tanpa itu, syaitan sentiasa menipu daya manusia…

    Fikir2kanlah

    Wallahualam

  10. Muhammad Khairul Razikin b Abdul Razak permalink
    15/10/2009 6:10 pm

    Tahniah Shaikh Abu Umair…teruskan…

  11. 15/10/2009 9:17 pm

    Terima kasih atas artikel ini. mohon izin salin yea…

  12. 16/10/2009 12:01 am

    huhu..
    saya dah post kat facebook aritue dengan forward mail kat semua rakan2..
    saya ambil dari http://tazkirahs.blogspot.com/
    ader gak dapat dari group taman2 syurga(yahoo)
    lepas ni kena kaji dulu la kalo nak sebarkan pasal benda2 camnie..
    bahaya..boleh rosakkan iman..
    syukran ustaz..

  13. AisyaHumaira' permalink
    17/10/2009 11:21 am

    assalamualaikum..
    izinkan ana utk copy & paste utk berkongsi kpd kawan2…
    jzkk…

  14. 18/10/2009 5:49 pm

    Salam Tuan Wan Nubli,

    Seperti yang dijanjikan, saya telah memuatkan artikel tentang ‘Sains Islam Bukan Hasil Bucaillisme’ bahagian 1-3 tulisan Profesor Dr Shaharir M Zain, pakar Matematik-Fizik di laman MajalahSains.Com.

    Semoga menjawab sedikit persoalan yang diutarakan.

    Terima kasih!

  15. 19/10/2009 8:00 am

    ustaz, salahkah membuat padanan-padanan seperti di atas kalau sekadar berniat memberi iktibar.

    maksud saya di atas tidak termasuk langsung di dalam ramalan, dsb.

    padanan yang sya maksud kan hanya SELEPAS terjadinya peristiwa2 terbabit.

    pada saya, kebetulan tersebut mungkin menyuruh manusia supaya berfikir dan mengkaji supaya mendapat iktibar. tidak ada kaitan dengan dakyah atau niat yahudi berkaitan dengan ramalan, dsb.

    silakan.

  16. 20/10/2009 8:48 pm

    mohon izin jg untuk saya salin ,,,,,,,,,,,,,,,jazakumullah,,,,,,,,,,,

  17. 20/10/2009 9:00 pm

    jazakumullah,,,,,,,,,,,,,,

  18. 25/10/2009 3:30 pm

    Assalamualaikum. Salam perkenalan. Pertama kali membaca posting ini sangat teruja tentang isinya. Pada saya mungkin ada kebenaran dan mungkin juga teori tersebut tidak benar. Tetapi andai penelitian seseorang hanya sekadar untuk mengingati diri tentang kebesaran Allah tiada salahnya. Asalkan jangan mempercayai sepenuhnya tentang teori tersebut. Waallahu a’lam.

  19. teropong permalink
    04/11/2009 8:49 am

    apa2 yang berlaku bergantung kepada nawaitu seseorang. Kalau mereka temui sesuatu spt ayat quran dipadankan dengan sesuatu peristiwa yang berlaku, boleh mendatangkan keinsafan dan merasai kebesaran Allah itu lebih baik daripada mengkaji dan menyelidik hingga hilang rasa takut Allah.

    Kerana Tuhan berkuasa mengadakan dan mentiadakan. Takutilah Tuhan. Jangan bertuhankan akal. Bahaya!

  20. Wan permalink
    05/11/2009 7:38 am

    Sheikh,

    perbuatan ini sama jugak dengan sikap orang kristian dan yahudi. Diorang guna susunan ayat2 kitab mereka untuk menentukan peristiwa2 yg telah terjadi dan akan terjadi untuk membuktikan kebenaran kitab mereka. Saya rasa kita orang islam tak perlu sebab semua pengajaran berguna sudah pun dalam al-quran. padahal semua tarikh dan waktu tersebut rasanya macam statistical probability… tapi kalau benar pun rasanya al-quran dan sunnah yang nabi bawa sudah cukup untuk kita buat panduan dan untuk bersedia menghadapi masa depan. Kalau tak kena pulak nanti salahkan al-quran macam rashad khalifa yg akhirnya menolak al-quran setelah satu surah tak kena dengan teori 19 nya.

  21. Syahid permalink
    10/11/2009 12:31 pm

    Bukankah Al Quran ialah petunjuk , maka saya tidak menolak , kejadian gempa ini merupakan petunjuk dan ingatan kepada umat manusia .

  22. 03/01/2010 5:41 pm

    Assalamualaikum…..

    Kata Imam AlGhazali: belumlah layak seseorang mengatakan ia bersyukur kepada Allah, selagimana ia tidak melihat segala apa yang berlaku disekelilingnya tidak dikaitkannya sebagai tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Azza Wajalla….

    Jangan kita anggap teori gempa dan ayat Quran itu mutlak dan paling betul, tetapi sekadar nak melihat signal yg Allah berikan kepada orang yang beriman, eloklah ia melihat isi kandungan AlQuran, melihat keajaibannya dan keotentiikannya…jadikan sebagai pedoman.Setiap sesuatu yang berlaku, hatta daun yg gugur dari rantingnya semuanya dari perancangan Allah taala yg paling sempurna……Tidak sia-sia. Hanya org2 yg beriman dan bertaqwa sahaja yang bijak memetik hikmahnya…

    Sekian, itulah pandangan….

    • SBM permalink
      16/01/2011 9:11 pm

      nak buat macamane kan…
      saya bole nmpk zaman skrg zaman suka relate…
      so long yang di relate tu memberi pedoman..
      insyaAllah takde masalah kan?
      contoh terbaik:sms berantai dimana penerima perlu fwd sms kepada 10 org misalnye….kalau tak 10 hari papa kedana la…etc….tapi sebelum itu dinyatakan ttg surah yg sebegini dan sebegitu…yg biasanya dar Al-Quran…dimana yg saya nmpk…menyebarkan ayat & mengingatkan tu da betul la kan..tapi tiba² ade pulak phrase nak menakutkan yg secara tidak langsung mengundang khurafat..ish ish ish.. lain jadiknye..
      wallahulam

  23. JUN JR permalink
    17/03/2010 3:30 pm

    Izinkan saya copy artikel ini…
    Terima kasih, dan syukur terjumpa ruangan ini..

  24. AZHAR ABD HAMID permalink
    23/06/2010 7:45 am

    Assalamualaikum…..
    Saya pernah mendengar amalan tawassul al fatihah dan al ikhlas…boleh tak terangkan mengenainya amalan tawassul ini, bagaimana dan macam mana ia di lakukan?

  25. SBM permalink
    16/01/2011 9:05 pm

    assalamualaikum…

    perasaan nak tahu meluap-luap…
    lumrah manusia dan tiada yg pelik….
    cuma sekadar yg terlintas di minda…
    petikan ni:

    *******************************************************************
    Waktu-waktu gempa tersebut (17:16, 17:58, dan 08:52) adalah mengikut standard Waktu Min Greenwich (Greenwich Mean Time) ataupun ringkasnya GMT. Untuk pengetahuan, sistem waktu GMT hanya mula diperkenalkan sekitar tahun 1884 dan Kota Greenwich yang terletak di Britain dipilih sebagai pusat.

    Ini bermakna teori mengaitkan waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran hanya relevan selepas diperkenalkan sistem waktu GMT iaitu pada tahun 1884. Maka jelas bahawa ini adalah teori yang baru, yang tidak pernah diketahui oleh ulama terdahulu, apatah lagi pada zaman Kenabian.
    *********************************************************************
    phrase ni mmg bagus tapi yg ada dalam kepala ni…
    bukan ke Allah tu Maha Mengetahui ape yang akan berlaku kan?
    masa depan tak kira lagi berapa juta tahun…dan that’s whyla Al-Quran tu kan jadi pegangan….saye bukannye bijak pandai agama cuma yg terlintas dlm otak jek…

    So, Al-Quran yg turunkan pd Rasulullah tu tak kira la zaman bila pun…..kalau nak dikira-kira hari la..tarikh la…rumit benar kesimpulannya tu kan….bukan ke kita menidakkan apa yg diturunkannya?sedangkan kita tahu kita hanya mampu merancang dan kerja Allah macamana perginya nanti..dan kene ingat…yang baik datangnya dari Allah dan yang kurang tu….kita kene la belajar darinya…
    Allah tu dah tahu apa yang akan berlaku…
    waalahualam

    tapi tu la…kesimpulannye jgn bagi confuse…amik yg basic sudah…kan?kalau yg basic tu pun takd kat situ..how?

    tapi kalau ade pendapat yg bole di kongsi, saya bersedia nak tahu….
    sharing is caring kan….

    minta maaf sekiranya diatas tatabahasa yg bercelaru menyulitkan utk memahami…

    thank you

  26. tokan permalink
    24/03/2011 5:08 pm

    Agree with SBM…..ramai yg berbalah mengenai bab nih….Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana….mana mungkin Allah tidak tahu sistem GMT yg mula diperkenalkan pd tahun 1884 akan digunakan oleh manusia zaman kini….sedikit demi sedikit rahsia Al-Quran mula Allah bongkarkan……tanda2x dunia sudah hampir berakhir…sama2x kita kembali ke pangkal jalan….amin…

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 161 other followers

%d bloggers like this: