Skip to content

Prinsip Dharurah, Jangan Disalahguna

24/03/2011

Akhir-akhir ini ramai orang bergantung pada alasan ‘dharurah’ (kemudaratan) kerana mahu membebaskan diri dari hukum syarak. Beralaskan beberapa kaedah dalam prinsip dharurah, ada orang menghalalkan membuat pinjaman dari bank-bank konvensional yang jelas-jelas berasaskan riba sedangkan di sana sudah wujud banyak institusi perbankan Islam atau bank-bank konvensional yang menawarkan produk patuh syariah.

Beralaskan hujah kemudaratan juga, pihak bank mengenakan riba nasiiah ke atas penghutang yang lewat melunaskan hutangnya, dengan menamakannya ‘kos dana pembiayaan’ (Cost of Fund). Dakwa mereka, kalau tidak dikenakan caj ini, tutup dan lingkuplah semua bank-bank Islam di Malaysia.

Tidak dinafikan, prinsip ‘dharurah’ diiktiraf oleh Islam. Kerana agama ini adalah agama haq yang sempurna dan hukum-hakamnya mencakupi semua keadaan manusia, samada ketika senang mahupun susah. Bagi orang yang senang dan mampu, ada hukumnya. Dan bagi orang yang susah dan tidak berupaya pula, ada hukumnya. Terlalu banyak dalil-dalil yang menunjukkan bahawa syariat ini mengambil perhatian dan meraikan keadaan dharurah yang menimpa manusia.

Umpamanya, di dalam al-Quran terdapat lima ayat yang mengecualikan keadaan dharurah daripada hukum haram memakan makanan yang paling haram dalam syariat, iaitu bangkai, daging babi, darah dan haiwan yang disembelih bukan dengan nama Allah. Di samping terdapat banyak hadis-hadis yang menunjukkan secara praktikal bagaimana keadaan dharurah mengubah hukum asal kepada hukum yang lebih ringan. Dengan dalil-dalil ini, seluruh ulama bahkan seluruh ummah berijmak bahawa syariat Islam mengiktiraf keadaan dharurah.

Namun amat mendukacitakan apabila melihat prinsip keringanan ketika dharurah ini disalahgunakan oleh orang yang berkepentingan dunia. Tidak merasa bersalah membuat perbuatan-perbuatan haram, sambil melaung-laungkan kaedah ‘Dharurah menghalalkan yang haram’. Meletakkan kaedah bukan pada tempatnya, dan berhujah dengan kaedah bukan pada furuknya. Akhirnya perkataan ‘dharurah’ menjadi laluan untuk membuat mungkar, dan berfungsi sebagai tabir yang menyembunyikan hawa nafsu dan kepentingan di sebaliknya.

Agar kita tidak terjebak dalam senario seperti ini, maka menjadi kewajipan sebelum mengamalkan prinsip dharurah, dan sebelum berhujah dengan kaedah-kaedahnya, hendaklah memahami apakah itu dharurah dan apakah dhawabit dan parameter untuk beramal dengannya.

Apakah itu dharurah?

Bagi ulama syariah, antara definisi dharurah ialah ‘keperluan yang sangat kuat dan memaksa untuk membuat suatu yang diharamkan oleh syarak’.  Daripada takrifan ini, suatu yang dikatakan dharurah mestilah mencapai tahap yang sangat kuat dan tidak dapat dielakkan daripada berlaku, dan jika ia berlaku ia akan mendedahkan seseorang kepada bahaya terhadap agama, nyawa, harta, akal, dan nasabnya.

Contohnya orang yang sangat kelaparan dan tidak menjumpai sebarang makanan kecuali yang haram, dan jika tidak memakannya dia akan mati. Ketika situasi dharurah seperti itu, dibenarkan memakan makanan haram bagi menjaga nyawanya.

Garis panduan beramal dengan dharurah.

Mengetahui apakah itu dharurah belum mencukupi untuk kita terus beramal dengan kaedah dharurah. Di sana terdapat garis panduan yang perlu diikuti ketika mengambil hukum rukhsah, antaranya:

1.       Kewujudan mudarat hendaklah dipastikan secara yakin atau secara sangkaan yang kuat (ghalabah al-zann). Tidak dinamakan dharurah jika sesuatu itu hanya bersifat waham, sangsi atau kemungkinan-kemungkinan yang tidak berasas.

2.       Ketiadaan alternatif  lain untuk menghilangkan dharurah. Jika sekiranya terdapat cara lain yang halal untuk menghilangkan dharurah, wajib menggunakan cara tersebut. Jika sudah kebuntuan cara kecuali yang haram, ketika itu barulah diberikan keringanan.

3.       Mudarat hendaklah dihadkan setakat kemudaratannya, tanpa dilangkaui sempadan keperluannya.

4.       Melihat kepada implikasi perbuatan, iaitu tindakan melakukan perbuatan dharurah tidak boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar atau sama dengannya.

Dengan mengerti hakikat dharurah, dan memahami garis panduan yang dilakarkan oleh ulama Islam, kita akan lebih terselamat daripada tabiat mengambil mudah dalam hukum-hakam syariat dengan berselindung di balik slogan ‘dharurah’.

Jangan sampai kita termasuk dalam mereka yang disebut oleh Imam Syatibi, “Ada kalanya sebahagian mereka di sesetengah situasi mendakwa wujudnya dharurah dan hajat yang kuat, dengan bersandarkan kaedah ‘dharurah menghalalkan yang haram’. Lalu ketika itu mereka membuat tindakan yang bertepatan dengan kehendak… Hasilnya ialah melakukan tidakan yang bertepatan dengan hawa nafsu, sedangkan situasi-situasi dharurah sudah dimaklumi di dalam syariat”. (Al-Syatibi, Al-Muwafaqat 5/99).

Wallahu A’lam.

About these ads
One Comment leave one →
  1. 26/06/2011 12:12 am

    Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

    أَعُوْذُ بِاللِه مِنَ الشََّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

    بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

    Pada kebanyakan , memilih yang ringan itu disukai , tapi lupa kalau yang ringannya itu adalah hasil dari Ijtihad seseorang yang belum mencapai derajat Mujtahid,

    Wassalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

    http://thesaltasin.wordpress.com/category/al-quran-teks-dan-terjemahan/

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 163 other followers

%d bloggers like this: