Skip to content

Pengenalan Ilmu Kaedah Feqah

07/08/2008
tags: ,

Bismillah, Wassolatu Wassalam Ala Rasulillah

(Artikel ini ditulis untuk al-ahkam.net)

Ilmu tentang ‘Kaedah-kaedah Feqah’ adalah satu bidang penting dalam ilmu syarak. Maka wajar bagi penuntut ilmu menguasai sekurang-kurangnya asas penting dan beberapa kaedah utama daripadanya. Sebagai pendahuluan, mari kita berkenalan dengan asas ilmu Kaedah Feqah. Saya akan ringkaskan dalam beberapa tajuk.

1. Definisi Kaedah-kaedah Feqah.

Ia boleh ditakrifkan sebagai: ‘Hukum syarak secara keseluruhan yang merangkumi di bawahnya masalah-masalah furuk feqah’.

Difahami daripada definisi ini bahawa ia mestilah bersifat umum atau menyeluruh. Tetapi kebiasaannya, dalam satu-satu kaedah ada masalah-masalah yang dikecualikan.


2. Perbezaan antara ‘Kaedah Feqah’ dan ‘Kaedah Usul’.

Kaedah Usul ialah kaedah-kaedah umum yang terhasil daripada ilmu usul feqah. Contohnya, kaedah ‘Setiap perintah membawa hukum wajib’, dan kaedah ‘Setiap larangan membawa hukum haram’.

Perbezaan ketara antara kaedah feqah dan kaedah usul ialah:

i- Kaedah Usul lahir daripada ilmu usul feqah dan penggunaan tatabahasa Arab serta kaedah-kaedahnya. Manakala Kaedah Feqah lahir daripada masalah-masalah furuk feqah, yang dilihat ada persamaan antara satu sama lain.

ii- Kaedah Usul digunakan oleh mujtahid untuk istinbat hukum feqah. Manakala Kaedah Feqah digunakan oleh orang alim atau penuntut ilmu untuk memudahkan hafalan masalah-masalah feqah mengikut kaedah.

iii- Kaedah Usul adalah hukum am yang menyeluruh, manakala Kaedah Feqah kebanyakannya tidak menyeluruh dan ada pengecualian.

iv- Kaedah Usul adalah alat mengeluarkan hukum, maka ia digunakan sebelum keluar hukum feqah. Manakala Kaedah Feqah adalah kaedah yang menghimpun masalah-masalah feqah, dan ia lahir selepas adanya hukum feqah.

3. Kepentingan Menguasai Ilmu Kaedah Feqah

Tidak diragukan bahawa ilmu ini salah satu cabang ilmu syarak, dan sudah dimaklumi betapa pentingnya mempelajari ilmu syarak. Secara khusus, ilmu ini mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu:

i- Penguasaan kepada seluruh furuk feqah mungkin satu perkara mustahil bagi seseorang. Dari sini, ilmu Kaedah Feqah berperanan membantu menghimpunkan pelbagai furuk yang sama jenis di bawah satu kaedah. Ia akan memudahkan hafalan.

ii- Ilmu Kaedah Feqah berperanan memperkukuhkan penguasaan dan kemahiran feqah seseorang. Ia dapat digunakan untuk menyelesaikan pelbagai persoalan cabang feqah yang timbul. Iaitu dengan membandingkan masalah yang timbul dengan masalah-masalah yang serupa di bawah satu kaedah.

iii- Ilmu ini membantu memahamkan seseorang penuntut tentang maqasid syar’iyyah (objektif syariat), kerana kebanyakan kaedah-kaedah feqah disusun bertepatan dengan objektif syarak seperti kaedah ‘Kesukaran membawa kepada kemudahan’.

4. Sejarah dan Perkembangan Ilmu Kaedah-kaedah Feqah

i- Era Kenabian

Ilmu Kaedah Feqah lahir sejak era kenabian lagi. Rasulullah SAW diberikan kelebihan ‘jawamik al-kalim’ iaitu tutur katanya ringkas, padat dan memberi makna yang luas. Banyak kata-kata baginda dijadikan kaedah am contohnya:

– Hadis “Setiap amalan hendaklah dengan niat”.

– Hadis “Sesiapa melakukan amalan yang bukan daripada urusan kami maka ia ditolak”.

ii- Era Sahabat

Pada zaman sahabat, ilmu Kaedah Feqah semakin berkembang. Didapati daripada kata-kata sesetengah sahabat ucapan-ucapan yang memberikan hukum am atau kaedah umum. Contohnya:

– Ibnu Abbas r.a. berkata: “Setiap yang disebut dalam Quran ada kalimah ‘atau’ maka ia memberi maksud pilihan. Dan setiap yang disebut ‘Jika kamu tidak mendapatinya’, maka ia memberi erti hendaklah dilakukan secara susunan”.

– Umar r.a. berkata: “Hukum ini berdasarkan apa yang kami putuskan (sekarang), dan hukum dahulu itu adalah apa yang telah kami putuskan dahulu”. Beliau merujuk kepada ijtihad tidak dibatalkan dengan ijtihad.

– Umar r.a. berkata: “Penyelesaian terhadap hak-hak mestilah dirujuk kepada syarat-syarat yang dimeterai”.

Dan banyak lagi kaedah-kaedah lain yang bersumberkan kepada atsar-atsar sahabat.

iii- Era Tabieen

Antara contoh atsar tabieen yang dijadikan kaedah ialah:

– Kata Syuraih Al-Qadhi: “Sesiapa meletakkan syarat ke atas dirinya secara sukarela tanpa dipaksa, maka dia betanggungjawab ke atasnya”.

iv- Era Fuqaha Salaf

Di samping kaedah-kaedah feqah yang diambil daripada hadis, atsar sahabat dan tabieen, perkembangan ilmu ini menyaksikan tokoh-tokoh fuqaha selepas mereka mengeluarkan banyak lagi kaedah-kaedah feqah. Ia selari dengan perkembangan ilmu feqah yang semakin gemilang pada era imam-imam empat mazhab.

Sebagai contoh,

– Muhammad bin Al-Hasan berkata: “Setiap perkara yang makruh dimakan dan makruh digunakan, maka makruh juga membeli dan menjualnya”.

– Imam Syafie berkata: “Tidak dinisbahkan satu kata-kata kepada orang yang diam”.

– Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Setiap benda yang harus dijual beli, maka harus dijadikan pemberian, sedekah, dan cagaran”.

Demikian serba ringkas sejarah timbulnya ilmu Kaedah Feqah sejak zaman kenabian sehingga zaman imam-imam mazhab yang empat.

Wallahu A’lam.

Disediakan oleh:

Abu Umair,

Madinah, KSA.

24 Comments leave one →
  1. sahabat madinah permalink
    08/08/2008 4:20 pm

    Syekh abu umair… boleh tak guna qawaid fiqhiyyah ni untuk dijadikan dalil dalam berhujah?

    Afiiduunaa, makjuuriin insyaALlah.

  2. abuumair1 permalink*
    09/08/2008 12:52 pm

    Wallahu A’lam…

    – Dimaklumi bahawa dalil-dalil syarak ialah yang empat yang disepakati, dan beberapa dalil yang diperselisihkan.

    – Tidak ada dalam usul mana-mana mazhab -setakat pengetahuan ana- menjadikan qawaed fiqahiyyah sebagai dalil.

    – kecuali kaedah-kaedah yang sighahnya diambil secara langsung daripada hadis, maka ia termasuk dalil di bawah dalil sunnah.

    – Manakala kaedah fiqhiyyah yang ada persamaan (isytirak) dengan kaedah usul, ia tidak dinamakan dalil, tetapi alat istinbat untuk memahami dalil.

    Wallahu A’lam.

  3. syed ali hassan permalink
    10/08/2008 4:55 am

    assalamualaikum.
    didalam al-ahkam net. ada ditulis mengenai perkara menyapu sebahagian atau sepenuhnya kepala semasa mengambil wuduk. didalam perkara ini dan juga cara mengerjakan solat didalam hadith Nabi SAW yang termaklum. jadi macam mana saya hendak belajar cara mengambil wuduk dan cara kelakuan solat yang ditunjuki oleh Nabi SAW. bolehkan tuan ustaz menjelaskan dengan cara perbuatan bergambar atau sebagainya atau cara yang terbaik.

  4. sahabat madinah permalink
    10/08/2008 6:27 pm

    Syeikh abu umair… adakah perkataan anta ni “Dimaklumi bahawa dalil-dalil syarak ialah yang empat yang disepakati, dan beberapa dalil yang diperselisihkan.” anta pasti dengannya?

    Boleh x syeikh perincikan lagi…. kerana yg 100% diterima pakai sebagai dalil adalah al-quran dan hadith sahih sahaja, sedangkan yg dua lagi masih ada perselisihan ulamak yang tidak kurang hebatnya dalam menerima kedua2nya sebagai sumber hukum.

    Ana masih nak belajar dgn ustaz ni… harap tunjuk ajar saya ustaz.

  5. abuumair1 permalink*
    10/08/2008 7:39 pm

    Barakallahu Fiik ya Syeikh..

    Ulama usul yang menyebut ‘Dalil-dalil yang disepakati ialah empat’, tidak mengambil kira khilaf dalam hujjiyyah ijmak dan qiyas. Kerana khialafnya adalah tersangat dhaif.

    Dalam syarah Kaukab Munir: Tanbih: Dalil-dalil feqah yang disepakati walaupun dalam sesetengahnya ada khilaf yang sangat daif, ialah EMPAT.

    Tapi kalau nak dikira juga khilaf yang dhaif itu, tidak tidak tepatlah kalau sebut ‘disepakati’.

    Wallahu A’lam.

  6. sahabat madinah permalink
    11/08/2008 4:18 pm

    Tapi ustaz…. untuk mengelakan kekeliruan…. kan bagus bahagikan sumber hukum kepada 3 bahagian:
    1. Yg disepakati iaitu alquran dan sunnah.
    2. Yg ada perselisihan ringan (walaupun sebenarnya tak ringan juga… cuma tidak seberat kategori ke 3) iaitu ijma’ dan qiyas.
    3. Yg diperselisihkan di kalangan ulamak secara hangat dan sangat (berat).

    Hanya untuk minta penjalasan ustaz sahaja.

  7. abuumair1 permalink*
    11/08/2008 7:42 pm

    Jazakallah khairan, syeikh sahabat madinah atas penjelasan tersebut.
    Betul lah apa yang anta sebutkan di atas. Ia lebih detail.

  8. aaa permalink
    11/08/2008 10:55 pm

    Ustaz,
    Boleh sebutkan marajie dalam qawaid fiqhiyyah?

  9. aaa permalink
    11/08/2008 11:01 pm

    ana pernah dengar bahawa semua kaedah fekah kembali kepada satu kaedah iaitu : “Jalbul Masalih” yang bermaksud menghasilkan maslahah.

    Adakah pengembalian semua tujuan syara’ kepada satu kaedah ini adalah “mubalagah” ataupun ia mempunyai dasar yang kukuh?

    Apa pandangan Syeikh?

  10. abuumair1 permalink*
    12/08/2008 1:19 pm

    al-akh aaa,

    Memang kaedah ‘jalb masalih’ (memperoleh kemaslahatan) dan ‘dar’u mafasid’ (mencegah kemudaratan) adalah satu kaedah yang paling utama, paling luas, dan mencakupi seluruh ajaran syariat.

    Masalih dan mafasid akhirat diketahui dengan dalil-dalil syarak. Manakala masalih dan mafasid dunia diketahui dengan cara kajian, adat, dll.

    Ia dibincangkan secara mendalam dalam ilmu maqasid syariah.

    Jadi, ia bukan sekadar mubalagah, tetapi memang bertepatan dengan objektif syariat.

    Wallahu A’lam.

  11. abuumair1 permalink*
    12/08/2008 1:22 pm

    al-akh aaa,
    Rujukan untuk kawaed fiqhiyyah, -In Sya Allah- akan ana tulis dalam artikel akan datang. (Siri Qawaed di Al-ahkam). Dan akan diletakkan juga di blog ini.

  12. aaa permalink
    13/08/2008 7:22 am

    Jazakallahukhairan…

    Ana ingatkan makalah ini tidak bersiri. Teruskan. Kami doakan Syeikh dapat tamatkan siri ni sampai boleh jadi kitab rujukan untuk kami. Walaupun tak dapat talaqqi di Qiblatain, sekurang-kurangnya kami talaqqi online dan boleh bersoal jawab di sini. Jakamullahukhairan wa waffaqakumullah.

    Jadi ada perbezaan juga antara maqasid syariah dan kaedah syariah?

  13. abuumair1 permalink*
    20/08/2008 11:41 pm

    al-akh syeikh aaa,
    rupanya anta kat madinah juga… klu sudi perkenalkan diri :)

    Tentang beza antara maqasid dan qawaed fiqhiyyah, memang dua ilmu yang berbeza. Qawaed fiqhiyyah lebih khusus pada mengumpulkan furuk2 feqah dalam bentuk kaedah umum. Maqasid pula tentang objektif syariah, dan merangkumi keseluruhan syariat.

    Sahabat ana Dr Ahmad (izrail al-ahkam.Net) ada buat bahas kecil tentang beza antara keduanya.

    Wallahu A’lam.

  14. aaa permalink
    21/08/2008 9:31 am

    Ana anak murid Syeikh…nanti ada kesempatan kita jumpa..:)

    Syeikh dah katakan sebelum ini bahawa Qawaed mengumpulkan furuk2 feqah dalam bentuk kaedah umum dan Maqasid pula tentang objektidf Syariah.

    Dan Syeikh katakan qawaed tidak dijadikan dalil.

    Bagaimana pula dengan Maqasid. Adakah ia boleh dijadikan dalil dan sejauh manakah penggunaannya.?

    Kekeliruanan berlaku sebab ada yang mengambil Maqasid dalam membenarkan segala sesuatu dan ada pula sebaliknya. Apakah syarat2 pengguanan Maqasid jika ia dijadikan sebagai dalil?

    Jazakallahu khairan

  15. abuumair1 permalink*
    21/08/2008 10:13 am

    Barakallah Fiik Ya Syeikh aaa,

    Sefaham ana, maqasid bukanlah dalil syarak sebaris dengan dalil-dalil lain spt quran, sunnah dll.

    Tapi ia adalah objektif syariat yg wujud dalam syarak, tak terpisah.

    Kata Imam Syafie: Di mana sabit syarak Allah, maka di situ ada maslahah.

    Kata Ibn Qayyim: Di mana ada maslahah, maka di sana ada syarak Allah.

    Maqasid syariah dikeluarkan untuk memahami dalil (Quran, sunnah dll). Dengan maqasid lah kita dapat menggunakan qiyas dengan cara betul.

    Dinukilkan Imam Syafie berkata: Kebersihan dan taabbud adalah dua maqasid dalam taharah. Yakni: Radd kepada hanafi yg tidak melihat kepada maqasid ini dan membenarkan taharah dengan selain air.

    Jadi, maqasid bukan dalil. Ia digunakan untuk memahamkan dalil. Wallahu A’lam

  16. aaa permalink
    22/08/2008 7:46 am

    Jazakallauhu khairan…agak jelas sikit

    1. Cuma ana masih keliru dengan penggunaan maqasid dalam dalam hukum dan fatwa kerana banyak fatwa yang ana baca – terutamanya fatwa2 yang kontemporari atau mua’sarah – lebih bersandarkan kepada maqasid kerana tiada dalil

    contohnya dalam menjelaskan pengharaman klon manusia, kata sesetengah ulama: ia bertentangan dengan objektif syariah iaitu memelihara keturunan dan nasb..minta penjelasan

    Ini atas pendapat AlAkh Syeikh yang merajihkan bahawa maqasid bukan dalil

    2,Kata AlAkh Syeikh “Sefaham ana, maqasid bukanlah dalil syarak sebaris dengan dalil-dalil lain spt quran, sunnah dll.”

    Adakah ini menunjukkan ada khilaf?

    3. Kata AlAkh Syeikh :Dinukilkan Imam Syafie berkata: Kebersihan dan taabbud adalah dua maqasid dalam taharah. Yakni: Radd kepada hanafi yg tidak melihat kepada maqasid ini dan membenarkan taharah dengan selain air.”

    Adakah ini illah atau bagaimana?

    4 Mana ana boleh dapatkan bahas Dr Ahmad AlMaghrib

    Maaf soalan banyak. Syifaul Ayyi Assual

  17. syazaratul permalink
    26/08/2008 5:38 am

    asalamualaikum..
    bleh anda terangkan kaedah dan konsep ke 4(kemudaratan boleh dihilangkan)dari segi muamalat dalam qawaid fiqh serta nyatakan huku furu bagi masalah ini.

  18. abuumair1 permalink*
    26/08/2008 6:33 am

    al-akh syeikh aaa,
    1. Maqasid bukanlah dalil kepada satu2 hukum furuk. kecuali kalau kita maksudkan dalil secara lughawi. mungkin maqasid membantu sebagai penunjuk kepada hukum.
    2. Wallahu A’lam, ana tak pernah jumpa perbahasan tentang maqasid sebagai dalil atau tidak. kalau qawaed, ada ana jumpa perbahasan skit.
    3. Ya ada kaitan dengan illah, dan juga hikmah.
    4. Beliau sekarang berada di Madinah. Bahasnya beliau tak bawa ke sini.

    Barakallahu Fiik.

  19. abuumair1 permalink*
    26/08/2008 6:45 am

    salam, al-akh syazaratul,
    kaedah ‘kemudaratan hendaklah dihilangkan’ Insya Allah ana akan tulis mengenainya dalam siri mendatang, kerana ia satu kaedah besar.

    Secara ringkas, dalam bab muamalat, contoh furuk kaedah ini:
    – pemulangan barang yg dibeli kerana ada kecatatan
    – masalah syuf’ah

  20. aaa permalink
    28/08/2008 9:15 am

    Jazakallahu khairan..terima kasih..

  21. 06/07/2009 7:30 am

    salam..
    maaf bertanya sedikit..
    apakah maksud furuk feqah?
    adakah terdapat perbezaan diantara ilmu fiqah dgan ilmu kaedah feqah?

  22. Anonymous permalink
    28/01/2010 9:57 pm

    tolong jelaskan sumber kaedah fiqh mengikut empat mazhab

  23. ayatul husna permalink
    02/10/2010 6:18 pm

    salam…
    sya nak thu maklumat 1.perbezaan feqah,usul fiqh dan kaedah-kaedah fiqh
    2.perbezaan kaedah yang boleh guna untuk hujah dan yang x boleh untuk hujah?
    3.nama2 kitab yang tulis ilmu kaedah fiqh….
    sya cuba cri dlm kitb..tpi ia mngambil msa yg lma untuk memahami…sya kna buat tesis..sya hrap pihak anta dpat tolng..

What are you thinking?