Skip to content

Peluang Mendapat Ganjaran Membebaskan 10 Hamba!!!!!

13/09/2017

Membebaskan hamba merupakan satu amalan yang sangat besar dalam Islam. Al-Quran menyifatkan amalan membebaskan hamba sebagai salah satu amalan ʿaqabah iaitu yang menjanjikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan menyelamatkan daripada neraka.

Firman Allah:
فَلَا اقْتَحَمَ الْعَقَبَةَ (11) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ (12) فَكُّ رَقَبَةٍ (13)
Maksudnya: “Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: membebaskan hamba abdi”. (Surah al-Balad ayat 11-13).

Di dalam satu hadis, “Sesiapa membebaskan seorang hamba, Allah akan membebaskan, bagi setiap anggota hamba tersebut, satu anggotanya daripada api neraka” (Bukhari dan Muslim).

Bagaimana caranya memperoleh ganjaran yang setanding membebaskan hamba pada zaman sudah tidak ada lagi hamba abdi untuk dibebaskan?

Ya, kita masih berpeluang memperoleh ganjaran membebaskan hamba, bahkan membebaskan 10 hamba setiap hari. Caranya ialah kita melazimi zikir di bawah dan membacanya 100 kali pada setiap hari:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainakan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bangiNya, bagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu” (Bukhari dan Muslim).

Nabi –sallallahu alaihi wasallam- menyatakan bahawa sesiapa membaca zikir tersebut sebanyak 100 kali pada satu hari, maka baginya ganjaran berikut:

i- Ganjaran menyamai membebaskan 10 orang hamba
ii- Ditulis baginya 100 kebaikan
iii- Dipadam daripadanya 100 keburukan
iv- Mendapat perlindungan daripada syaitan

Baginda juga menyatakan bahawa tidak ada orang yang mengamalkan satu zikir yang lebih baik daripada zikir tersebut, melainkan orang yang mengamalkan suatu yang lebih banyak daripada itu.

Jom amalkan zikir tersebut sebanyak 100 kali sehari. Boleh dibaca 100 kali sekaligus sama ada pada waktu pagi atau petang, boleh juga dibaca separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang, asalkan cukup bilangan 100 kali dalam satu hari. Jangan lepaskan peluang mendapat ganjaran membebaskan hamba!!!

No comments yet

What are you thinking?