Skip to content

07-027 : Puasa Bagi Wanita Haidh Tidak Teratur

Home Soal JawabFeqah: Puasa

Soalan:

Baru-baru ni ada ustaz semasa tazkirah zohor surau telah menjelaskan bab puasa dan haid.

Katanya kalau perempuan yang haidnya tak teratur dan haidnya sepanjang bulan, LEBIH SEMPURNA puasanya dengan qadha puasa bermula pada 1 syawal,

sedangkan setahu saya 1 syawal haram berpuasa.
Harap panel dapat jelaskan,terima kasih

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد


– Wanita yang mengalami haidh tidak teratur dan ada sepanjang bulan hendaklah merujuk kepada persoalan istihadhah. Dia mesti membezakan bilakah waktu haidh dan bilakah waktu istihadhah.

– Pada waktu haidh, bukumnya haram berpuasa. Manakala waktu istihadhah, hukumnya sama seperti wanita suci. Iaitu wajib berpuasa pada Ramadhan. Perkara ini adalah kesepakatan semua mazhab.

– Qadha Ramadhan boleh dilakukan bermula 2 Syawal dan tidak wajib disegerakan. Boleh ditangguhkan sehingga sebelum masuk Ramadhan akan datang.

– Berkenaan puasa 1 Syawal, Ulama telah berijmak (sepakat) bahawa haram berpuasa pada dua hari raya samada Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil Adha.

Ibnul Munzir menyebut “Dan para ulama telah ijmak bahawa berpuasa pada dua hari ini iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha adalah dilarang” (Al-Ijmak hlmn: 60).

Ibnu Abdil Barr juga menukilkan ijmak dengan katanya “Berpuasa pada dua hari ini tiada pertelingkahan di kalangan ulama bahawa tidak harus dalam apa jua keadaan sekalipun, samada puasa sunat, puasa nazar, dan puasa qadha’.” (Al-Istizkar 3/215)

Dalam hadis Umar r.a, beliau berkhutbah:

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah dua hari yang dilarang oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada berpuasa padanya; iaitu hari kamu berbuka daripada puasa kamu, dan satu lagi hari kamu makan sebahagian daripada (sembelihan) ibadatmu.”
Direkod oleh Bukhari (no:1990), dan Muslim (no:2666)

Wallahu A’lam

Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net

%d bloggers like this: