Skip to content

10-005 : Harta Haram Disalur Untuk Waqaf atau Sedekah

Home Soal Jawab Feqah: Muamalat

Soalan:

Assalamualaikum…

Di kawasan saya ahli kampung ingin membina sebuah surau. Akan tetapi kami kekurangan belanja. Dalam masa yang sama ada seorang kaya di kampung kami. Kami juga tahu bahawa hasil pendapatannya diperolehi dari sumber yang tak sah di sisi Islam (berkaitan riba).

Apakah dibolehkan bagi kami untuk meminta si kaya ini untuk menyumbangkan/mewakafkan sebahagian dari wangnya untuk wakaf pembinaan surau, padahal kami penduduk kampung tahu status halal haram pendapatannya.

Sekian.

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Harta yang haram terbahagi kepada dua jenis;

i- Harta yang haram pada zatnya, seperti duit yang dirompak atau dicuri.

Harta jenis ini haram dimanfaatkan oleh mana-mana pihak, kerana ia wajib dikembalikan kepada tuannya. Kecuali jika tidak dapat dikembalikan kepada tuannya atau tidak diketahui tuannya, maka boleh disalurkan kepada perkara kebajikan, termasuklah pembinaan masjid.

ii- Harta yang haram disebabkan cara perolehannya, seperti wang yang diperolehi daripada riba, wang hasil jual beli yang haram, dan seumpamanya.

Harta jenis ini hanya haram bagi orang yang memperolehinya secara langsung. Jika ia sudah berpindah milik kepada orang lain dengan cara yang sah, maka ia tidak haram lagi kepada orang lain.

Contohnya, jika diberikan kepada orang lain, atau dinafkahkan kepada anak isteri, atau disedekahkan kepada fakir miskin, maka HALAL bagi orang kedua menggunakan harta ini. Dan termasuklah jika disalurkan untuk pembinaan masjid, ia adalah harus.

Kami nukilkan fatwa Syeikh Uthaimin -rahimahullah- tentang masjid yang dibina daripada harta yang haram. Fatwa beliau:

“Bersembahyang di masjid itu adalah harus, dan tidak ada halangan. Kerana, kemungkinan orang yang membinanya dengan harta haram, bertujuan untuk melepaskan dirinya daripada harta haram yang diperolehi daripada pendapatan yang haram. Dalam kes tersebut, pembinaan masjid itu adalah halal jika niatnya mahu melepaskan diri daripada harta haram”.
(Majmuk Fatawa Syeikh Uthaimin 12/304)

Wallahu A’lam.

Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net

Advertisements
%d bloggers like this: