10-006 : Halalkah Keuntungan Daripada Pelaburan
Home – Soal Jawab – Feqah: Muamalat
Soalan:
Benarkah faedah bank itu haram?
Contohnya begini:
Saya melabur di dalam syarikat Ah Seng umpamanya dan syarikat Ah Seng berjanji memberikan saya 11 % dari apa yang saya laburkan.
Contohnya saya laburkanRM 5000, dan setiap tahun saya diberikan 11 %. Setiap tahun RM 5000 yang saya laburkan tadi adakah ini riba’?
Bagaimana dengan keadaan ini pula:
Saya melabur dengan Ah Seng sebanyak RM5000 setiap tahun dan dia berjanji akan memberikan 11 % berdasarkan keuntungan yang dimiliki syarikat. Adakah ini riba?
Minta dalil dan rujukan. Trima kasih semoga di rahmati Allah swt amin.
Jawapan:
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
Antara dua bentuk pelaburan yang anda sebutkan, terdapat perbezaan ketara pada hukumnya:
1) Pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap kepada pelabur adalah haram dan tidak sah. Contohnya anda melabur sebanyak 5,000 dan pulangan tahunan atau bulanan anda ialah 11% daripada modal. Maka pelaburan ini haram dengan sepakat ulama.
Kata Ibn Munzir: Dan telah sepakat (ijmak) bahawa terbatal qiradh yang disyaratkan keuntungan untuk salah seorang atau kedua-duanya dengan keuntungan dirham (nilai) tertentu.
2) Pelaburan yang memberikan pulangan berdasarkan keuntungan adalah pelaburan yang sah jika menepati syarat-syarat mudharabah atau qiradh.
Contohnya, anda melabur sebanyak RM5000, dan pulangan anda ialah 11% daripada keuntungan yang diperolehi hasil perniagaan. Pelaburan ini sah.
Pelaburan seperti ini;
– Jika ia mendapat keuntungan, ia dibahagi berdasarkan peratus yang telah disepakati.
– Jika syarikat itu kerugian (tanpa kecuaian), contohnya daripada RM5000, ia kerugian sebanyak RM1000, maka pelabur tidak berhak mendapat kesemua modalnya. Dia hanya berhak mendapat modal berbaki iaitu RM4000.
Adapun dalil sah akad mudharabah/qiradh ialah:
– Ia adalah bentuk muamalat yang diamalkan oleh Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Apabila Islam datang, tidak terdapat larangan melakukan akad ini.
– Para sahabat juga melakukan akad qiradh, antaranya Umar Al-Khattab, dan Uthman Uthman.
– Ia disepakati dan dinukilkan ijmak.
Rujukan:
– Al-Ijmak, Ibn Munzir
– Al-Mughni, Ibn Qudamah
Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net