Skip to content

16-001 : Dilema Salah Fitrah

Home Soal JawabPelbagai

Soalan:

Assalamu ‘Alaykum

Sebenarnya ana ada masalah ‘salah fitrah’. Ana pernah mengalami kecenderungan minat kepada sama jantina, sampai ke satu tahap yang sangat teruk dan memalukan. Namun begitu, segala perbuatan buruk ana ini ana rahsiakan, dan sukar untuk meninggalkannya kerana lemahnya iman, sebab ana tahu bahawa maksiat yang dilakukan sembunyi2 lebih ringan daripada maksiat yang dizahirkan.

Namun ana dengan tawfiq ALLAH dan kasing sayang-NYA belum sampai tahap melakukan liwath (wal iya dzubiLLAH) dan sekarang ana sudah beransur2 meninggalkan sikap mazmummah ini dengan inayah dan kasih sayang ALLAH. Malangnya ‘rahsia’ ana ini terbocor apabila ada sahabat yang menyelongkar laptop ana, dan mencari jejak file yang ana telah delete (yang mengandungi gambar2 lucah dsb.) serta menyelongkar catatan2 peribadi ana, justeru menyebabkan terdedahnya ‘aib ana.

Justeru ana ingin meminta nasihat dari enta memandangkan ana benar2 insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Adakah ana dikira berdosa kerana terzahirnya perbuatan ana tu? Ana harap ustaz boleh bantu bimbing ana. Buat masa sekarang, ana lebih banyak habiskan masa menghafaz Al-Qur’an dan berpuasa. Mohon doa dari dan sokongan ustaz.

Ana izinkan ustaz olah soalan ana ini untuk faedah kepada orang ramai tapi minta agar biarlah rahsia ini hanya ana dan ustaz sahaja yang tahu sebab ana benar2 yakin dengan kejujuran ustaz. Barakallahu Feek.

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Pertamanya, kita bermohon kepada Allah supaya menyempurnakan nikmatNya kepada saudara dan memberi kekuatan kepada saudara untuk istiqamah dengan taubat dan janji untuk melakukan perubahan yang diredhai Allah.

Hendaklah sentiasa menyedari bahawa apa yang telah saudara lakukan, walaupun belum sampai kepada jenayah liwat yang merupakan antara dosa terbesar dalam Islam, tetapi mukaddimahnya itu adalah perbuatan haram lagi keji yang ditegah syarak.

Sesiapa bertaubat kepada Allah, maka Allah akan menerima taubatnya, dan mudah-mudahan Allah menggantikan segala amalan buruk yang dilakukan kepada amalan kebaikan. Sebagaimana firmanNya:

وَالَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ ثُمَّ تَابُوا مِنْ بَعْدِهَا وَآَمَنُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-A’raf: 153).

FirmanNya lagi:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Zumar: 53)

FirmanNya lagi:

إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Furqan: 70)

Sesiapa yang bersungguh-sungguh mahu kembali dan merapatkan diri kepada Allah, maka Allah juga akan mendekatinya. Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

إذَا تَقَرَّبَ الْعَبْدُ إِلَيَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِذَا تَقَرَّبَ مِنِّي ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ مِنْهُ بَاعًا، وَإِذَا أَتَانِي مَشْيًا أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

Maksdunya: Apabila seorang hamba mendekatkan kepadaKu sejengkal, Aku mendekatkan kepadanya sehasta. Apabila dia mendekatkan kepadaku sehasta, Aku mendekatkan kepadanya sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dengan berjalan, Aku datang kepadanya berlari.
(Direkod oleh Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, hendaklah mengelakkan diri daripada unsur-unsur yang boleh merangsang kepada perbuatan tersebut. Jika terdapat dorongan daripada kawan-kawan untuk sama-sama melakukannya, maka tinggalkan mereka.

Penuhkan masa lapang saudara dengan aktiviti yang berfaedah untuk dunia dan akhirat. Berpuasa adalah salah satu cara untuk mengekang nafsu. Habiskan masa dengan membaca dan tadabbur ayat-ayat Quran, membaca hadis-hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan kitab-kitab ilmu.

Elakkan daripada berkeseorangan, kerana syaitan lebih mudah menawan hamba-hamba yang duduk berkeseorangan. Sebagaimana kambing yang terpencil daripada kumpulannya akan mudah dibaham oleh serigala. Oleh itu, carilah sahabat-sahabat yang soleh yang boleh membantu saudara ke arah yang diredhai Allah Taala.

Mudah-mudahan dengan taubat yang nasuha, dan perubahan ke arah amalan soleh, saudara dikurniakan oleh Allah dengan kehidupan yang baik di dunia, dan balasan yang baik di akhirat.

Firman Allah:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. (Al-Nahl: 97)

Wallahu A’lam.

%d bloggers like this: