06-010 : Bersedekah Dari Harta Peninggalan Simati
Home – Soal Jawab – Feqah: Zakat
Soalan:
salam,
Saya nak tanya bila seseorang itu meninggal dunia, harta yang ditingggalkan adakah masih miliknya?
Soalan saya berkaitan dengan orang yang mati mendapat ganjaran daripada hartanya yang disedekahkan oleh anak/walinya.
Setahu saya bila seseorang itu mati hartanya jadi harta yg difaraidkan. So tidak lah lagi menjadi miliknya.
Minta penjelasan.
Jawapan:
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
Sekiranya dia mewasiatkan sebahagian hartanya adalah untuk sedekah, maka selepas kematiannya, bahagian harta itu wajib dikeluarkan untuk sedekah, dan bahagian itu tidak termasuk dalam faraidh. Cuma dihadkan dalam lingkungan 1/3 daripada hartanya sahaja.
Jadi, bahagian yang diwasiatkan bukan menjadi milik pewaris-pewaris, kerana ia adalah hak wasiat. Dan dimaklumi bahawa hak wasiat lebih utama daripada hak pewarisan.
Sekiranya dia tidak berwasiat untuk sedekah, orang lain boleh bersedekah secara sukarela atas nama simati, dan pahala sedekah sampai kepadanya, dengan ijmak ahli sunnah.
Dan perkara ini berlaku pada zaman Nabi SAW, antaranya:
Kisah Saad bin Ubadah yang kematian ibunya ketika beliau ketiadaan bersamanya. Lalu Saad datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Sesungguhnya ibuku telah wafat ketika aku ketiadaan bersamanya. Jika aku bersedekah atas namanya, adakah ia memberinya manfaat?” Jawab baginda: “Ya”. Saad berkata: “Aku mempersaksikan tuan bahawa kebunku Mikhraf adalah sedekah atas namanya (ibunya)”.
Direkod oleh Bukhari (no: 2605)
Maka sedekah di atas nama simati adalah masyruk dan memberi manfaat, samada melalui harta peninggalan yang diwasiatkan ataupun dibuat oleh orang lain secara sukarela.
Wallahu A’lam
Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net