Skip to content

01-012 : Maksud Salafi dan Wajibkah Jadi Salafi?

Home Soal JawabAkidah dan Asas Islam

Soalan:

saya ingin bertanya,

1) apa itu salafi?

2) wajibkah kita jadi salafi?

3) wajibkah saya masuk grup salafi di tempat saya belajar(universiti)?


Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1) Salafi ialah nisbah kepada perkataan ‘Salaf’ yang bermaksud: mereka yang terdahulu. Dari sudut istilah, salaf ialah mereka yang disebut dalam beberapa nusus syarak, iaitu:

وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar. (Al-Taubah: 100)

Dalam hadis Imran, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

خيركم قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Maksudnya: Sebaik-baik kamu ialah mereka yang pada kurunku, kemudian mereka yang pada kurun selepas mereka, kemudian mereka yang selepas kurun mereka. (Direkod oleh Bukhari no: 2508, dan Muslim no: 2535).

2) Banyak nusus syarak dan kata-kata salaf yang menyuruh supaya berpegang kepada sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para salaf. Antaranya;

Dalam hadis ‘Irbadh, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

Maksudnya: Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku, dan sunnah khulafa rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpeganglah kepadanya, dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu.
Direkod oleh Abu Daud (no: 4609), Tirmizi (no: 2676), Ibn Majah (no: 42). Kata Tirmizi: “hadis sahih”.

Ibn Mas’ud r.a. berkata, “Sesiapa yang mahu mengikut sunnah, maka hendaklah mengikut sunnah mereka yang telah wafat, kerana orang yang hidup tidak terselamat daripada fitnah. Mereka itu ialah sahabat-sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, manusia yang paling baik hati, yang paling banyak ilmu, dan paling sedikit takalluf”.

Huzaifah bin Al-Yaman berkata, “Setiap ibadah yang tidak pernah dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka janganlah kamu beribadah dengannya. Kerana generasi awal tidak meninggalkan suatu pun untuk generasi kemudian. Maka bertaqwalah kepada Allah, wahai para qurra. Ambillah jalan orang-orang sebelum kamu”.

3) Yang wajib ialah kita bermanhaj dengan manhaj para salaf. Mengikuti sunnah mereka dalam aqidah, ibadah dan akhlak. Tidak semestinya kita perlu menyertai mana-mana kumpulan atau organisasi yang dikatakan salafi. Tetapi, dekatilah para ilmuan dan sahabat-sahabat yang bermanhaj salafi supaya kita dapat belajar dari mereka.

Dalam masa yang sama, jangan menganggap kita sebagai salafi dan orang lain tidak salafi. Kerana, kita tidak layak menisbahkan kita sebagai salafi. Kita hanya mengikuti manhaj salafi.

Wallahu A’lam.

Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net

Advertisements
%d bloggers like this: