Skip to content

16-007 : Kerjaya Sebagai Peguam Halalkah?

Home Soal Jawab Pelbagai

Soalan:

Ada seorang ustaz aliran tradisional tempat saya ni bertegas bahawa sesiapa yg kerja sebagai lawyer/hakim atau yang seumpamanya (non-syariah legislation) akan masuk neraka lantaran pekerjaan mereka itu. Ini kerana mereka menggunakan & mengiktiraf hukum-hakam ciptaan barat/manusia (cth: Brit common law) instead of hukum-hakam dari Al-Quran dan Sunnah. Bagaimana tu?

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Lawyer atau peguam, menurut istilah feqah ialah: ‘wakil dalam perbicaraan’. Seseorang yang berhadapan kes mahkamah mewakilkan individu yang layak sebagai jurubicara bagi pihak dirinya.

Dimaklumi dalam syarak, wakalah (perwakilan) seperti ini adalah HARUS pada asalnya. Jadi, pada dasarnya profesyen lawyer/peguam adalah berkaitan ‘wakalah fi al-Khusumah’ (perwakilan dalam perbicaraan), yang dimaklumi keharusannya. Dan fuqaha memperincikan hukum ini dalam kitab al-Wakalah.

Mewakilkan individu lain dalam perbicaraan (istilah sekarang: lantik peguam) berlaku pada zaman sahabat, sebagaimana Ali r.a. mewakilkan Aqil bin Abi Talib r.a., dan selepas Aqil berusia, Ali mewakilkan Abdullah bin Jaafar. Sunan Baihaqi (no: 11219).

Berkaitan dengan hukum menjadi peguam/lawyer dalam sistem perundangan yang tidak berhukum dengan syariat (bukan semua undang-undang itu menyalahi syariat), perlu difahami bahawa undang-undang itu bukanlah digubal oleh peguam itu. Jadi, bukan dia yang menanggung dosa tersebut. Yang bertanggungjawab ialah penggubalnya. Dasar dalam syarak, seseorang tidak menanggung dosa yg dilakukan oleh orang lain.

Cuma seseorang peguam Islami mestilah menjaga beberapa perkara spt:
i- tidak boleh menuntut supaya dilaksanakan undang-undang yang bercanggahan dengan Islam.
ii- tidak boleh menjadi peguam kepada seseorang yang diketahui bahawa dia di pihak yang salah.
iii- jika peguam itu mendapati ketika perbicaraan bahawa anak guamnya di pihak yang bersalah, maka wajiblah dia menarik diri daripada mewakilinya.

-rujukan: Fatawa Mustafa al-Zarqa’ m/s 379-381.

(Syeikh Mustafa al-Zarqa’ adalah seorang ulama Syria, wafat tahun 1420H. Beliau pernah menjadi peguam di Syria selama 10 tahun, dan meninggalkan profesyen tersebut kerana beliau meletakkan syarat dalam guamannya, iaitu jika dia dapati anak guamnya di pihak yg batil, beliau menarik diri daripada mewakilinya. Syarat seperti ini menyebabkan orang tidak mahu mengambilnya peguam. Kemudian, beliau menumpukan kepada bidang akedemik. Rahimahullah)

Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net

Advertisements
%d bloggers like this: