01-011 : Betis Allah Menurut Quran dan Hadis
Home – Soal Jawab – Akidah dan Asas Islam
Soalan:
Boleh jelaskan mengenai perkataan ‘Betis”yang terdapat dalam al-quran atau hadis(tak pasti yang mana satu)berdasarkan pemahaman yang ditunjuki nabi saw,para sahabat ra,tabiin,atba at-tabiin serta ulama yang mengikuti jalan ini serta ikhlas dalam perjuangan mereka.
Jawapan:
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
Perkataan ‘betis’ disebut dalam Quran, iaitu:
يوۡمَ يُكۡشَفُ عَن سَاقٍ۬ وَيُدۡعَوۡنَ إِلَى ٱلسُّجُودِ فَلَا يَسۡتَطِيعُونَ
Maksudnya: (Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya. (Al-Qalam: 42)
Dinukilkan daripada salaf termasuk Turjuman al-Quran iaitu Ibn Abbas, bahawa yang dimaksudkan dengan ‘betis’ dalam ayat ialah ‘kedasyatan dan kepayahan’. (Tafsir Ibn Katsir 8/199).
Tafsiran ini menepati ilmu sastera Arab, kerana terdapat syair-syair Arab Jahiliyyah yang menyebut perkataan betis dengan maksud kedasyatan.
Dikuatkan lagi dengan lafaz عن ساق dalam ayat yang yang tidak disandarkan kepada Allah. Maka ayat al-Quran ini tidak menyebut ‘betis Allah’ secara jelas.
Tetapi, dalam hadis sahih terdapat sebutan ‘betis’ dengan disandarkan kepada Allah, yakni: Betis Allah. Iaitu:
يكشف ربنا عن ساقه فيسجد له كل مؤمن ومؤمنة ويبقى كل من كان يسجد في الدنيا رياء وسمعة
Maksudnya: Pada hari Tuhan kami mendedahkan betisNya, maka bersujud kepadaNya setiap mukmin dan mukminah. Dan tinggal lah setiap orang yang sujud di dunia kerana riyak dan sum’ah.
Direkod oleh Bukhari (no: 4635).
Maka, hadis ini mengisbatkan sifat betis kepada Allah, dan mestilah difahami mengikut prinsip salaf dalam memahami nas-nas sifat Allah. Dan sesetengah ulama mengatakan hadis ini adalah tafsiran kepada ayat di atas.
Wallahu A’lam
Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net