Tubuh manusia diciptakan dengan 360 sendi, sebagaimana dalam hadis Aisyah. Setiap sendi merupakan nikmat Allah yang wajar disyukuri.
Cara mensyukuri nikmat tersebut ialah dengan bersedekah. Maka, setiap hari kita sepatutnya berusaha menyempurnakan “tugasan syukur” dengan melakukan 360 sedekah.
Sedekah dalam konteks ini tidak terbatas pada wang dan harta semata-mata. Bahkan setiap bentuk amalan kebaikan juga dikira sebagai sedekah.
Satu takbir ialah sedekah, satu tahmid ialah sedekah, satu tahlil ialah sedekah, satu tasbih ialah sedekah, dan satu istighfar ialah sedekah. Begitu juga membuang batu, duri atau sesuatu yang mengganggu dari jalanan merupakan sedekah. Demikian juga amar makruf dan nahi mungkar juga dikira sedekah.
Nabi SAW menyebut bahawa sesiapa yang melakukan amalan-amalan tersebut dalam sehari sebanyak bilangan 360, maka dia menjalani hari itu dalam keadaan telah menyelamatkan dirinya daripada api Neraka.
Justeru, azam kita setiap hari ialah berusaha mencapai “360 sedekah”, walau dalam apa jua bentuk amalan kebaikan.
Dalam hadis Abu Dharr al-Ghifari pula, Nabi SAW menyebut bahawa memadai bagi seseorang menunaikan dua rakaat solat dhuha sebagai ganti kepada sedekah-sedekah yang sepatutnya dilakukan atas nikmat sendi tersebut.
What are you thinking?