Skip to content

06-011 : Harta Zakat, Haul, dan Zakat Harta Haram

Home Soal Jawab Feqah: Zakat

Soalan:

Assalamualaikum warhmatullah

Saya mahu bertanya beberapa soalan:

1) Zakat itu diwajibkan pada benda apa? Dan apakah dalilnya?

2) Benarkah zakat ini ada haul? Bagaimana dengan orang yang bila ia sudah mahu sampai haulnya, dengan sengaja dia mengeluarkannya sedikit supaya tidak kena kewajipan atasnya?

3) Jika seseorang menyimpan wang yang banyak di bank yang mengamalkan faedah dan duit itu beranak pinak sehingga banyak, berapkah kadar nisab untuk ia dikenakan zakat?

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1) Ulama bersepakat mengatakan zakat wajib pada harta-harta berikut;
– emas dan perak
– haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing
– bijirin iaitu; gandum dan barli
– buahan iaitu kurma dan zabib.

Selain daripada itu, ada perselisihan ulama. (Bidayah al-Mujtahid 1/201)

2) Haul adalah salah satu daripada syarat wajibnya zakat, berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tidak ada (kewajipan) zakat pada suatu harta, sehingga genap baginya satu haul (tempoh setahun)”.
Direkod oleh Abu Daud (no: 1575) daripada hadis Ali, dan Ibn Majah (no: 1792). Kata Al-Iraqi: Sanad Abu Daud baik, dan sanad Ibn Majah dhaif.

Kata Imam Baihaqi: Sandaran wajibnya haul bagi zakat ialah atsar-atsar yang sahih tentangnya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Utsman bin Affan, Abdullah bin Umar, dan lain-lain. (Sunan Kubro no: 7066).

Adapun perbuatan mengurangkan harta yang telah cukup nisab, demi untuk mengelakkan zakat, maka ia termasuk dalam perbuatan helah terhadap hukum syarak. Hukumnya secara zahir ialah tidak dikenakan zakat, tetapi secara batinnya adalah urusan dia dengan Allah Taala.

Ibn Battah di dalam kitabnya ‘Ibtal al-Hiyal’ berkata:

“Sesiapa yang memiliki haiwan ternakan yang banyak dan dikenakan zakat, lalu dia menjualnya pada permulaan haul, lalu duit jualannya menjadi ‘mal mustafaad’ (harta yang diperolehi), kemudian apabila harta itu cukup haul (pada tahun berikutnya) dia membeli pula satu aset tetap (seperti tanah), dan apabila cukup setahun, dia menjualnya pula. Pada zahirnya ia HARUS dalam syariat Islam, dan hukum-hakamnya diluluskan…. Tetapi semuanya kembali kepada perbuatan HELAH, dan anda mendapati Allah telah mengHARAMkan helah dan menipu, dan Nabi SAW juga mengharamkannya”.

3) Zakat diwajibkan untuk membersihkan harta seseorang. Adapun harta yang haram, ia tidak dapat dibersihkan dengan zakat. Maka pembersihannya mestilah dengan cara mengeluarkan kadar harta yang haram tersebut dan diagihkan kepada maslahat umum.

Wallahu A’lam

Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net

%d bloggers like this: