Ada sebuah qasidah yang dinamakan al-Qasidah al-Wadhhahiyyah, mengandungi 56 bait syair yang ditulis bagi mempertahankan Aisyah binti Abu Bakar, Ummul Mukminin dan isteri Rasulullah SAW.
Qasidah ini dikarang oleh Ibn Bahij al-Andalusi (496H), dengan menyebut pelbagai kemuliaan dan manaqib Aisyah r.a. Menariknya, qasidah ini ditulis seolah-olah Aisyah sendiri yang sedang berbicara dan mempertahankan dirinya daripada tuduhan serta kebencian golongan tertentu.
Manuskrip qasidah ini telah ditahqiq oleh Sheikh Nizam Yaquby dan diterbitkan oleh Dar al-Basha’ir.
Baru-baru ini, 21 Zulkaedah 1447H, saya berkesempatan mendengar bacaan qasidah ini bersama Sheikh Nizam Yaquby sendiri secara dalam talian. Beliau memberikan beberapa komentar dan faedah ilmiah pada sebahagian bait syair qasidah tersebut.
Sheikh Nizam mempunyai sanad qasidah ini bersambung sehingga kepada pengarangnya. Alhamdulillah, mereka yang menghadiri majlis semalam secara live diberikan ijazah bagi qasidah ini.
Menurut Sheikh, bait ketiga qasidah inilah yang paling memberi kesan kepada beliau sehingga mendorong beliau mentahqiq manuskrip tersebut:
يا مبغضي لا تأت قبر محمد
فالبيت بيتي والمكان مكاني
“Wahai pembenciku, jangan datang ke kubur Muhammad,
Kerana rumah ini rumahku, dan tempat ini tempatku.”
Sesiapa yang mengetahui betapa buruknya celaan sebahagian golongan Syiah terhadap Aisyah binti Abu Bakar, pasti akan lebih menghayati qasidah ini, lebih-lebih lagi apabila dibaca dengan irama yang indah menurut disiplin ilmu ‘arudh.
Semoga Allah meredhai Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah r.a., ibu bagi seluruh orang beriman.
What are you thinking?