Skip to content

04-014 : Adakah Lipas, Tikus, dan Semut Najis?

Home Soal JawabFeqah: Bersuci, Wudhu dan Mandi

Soalan:

salam.. saya confius

adakah lipas tikus dan semut itu najis? Bagaimana kalau ia semasa hidup jatuh ke dalam makanan kita? Adakah makanan kita najis?

Jikalau ia sudah mati bagaimana pula jika ia jatuh ke dalam makanan yang berbentuk cecair, adakah najis?

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1. Lipas, tikus dan semut adalah haiwan-haiwan yang suci pada zatnya. Jika ia terkena makanan, ia tidak menajiskannya. Kecuali jika kita melihat pada badan haiwan-haiwan itu terlekat najis lain, kemudian terkena pada makanan, barulah ia menajiskan.

2. Jika haiwan-haiwan ini mati, ia adalah najis kerana ia bangkai. Jika jatuh dalam makanan berbentuk cecair, hukumnya seperti berikut:

i- jika ia serangga yang tidak berdarah seperti semut dan lipas, hukumnya dimaafkan kerana umum balwa. Inilah pendapat yang dikuatkan oleh Ibn Hajar, dan disokong oleh kalangan ulama terkemudian.

Kerana, sabit Nabi SAW memerintahkan supaya apabila lalat jatuh ke dalam minuman seseorang, hendaklah diselam dan dibuang lalat, dan air itu boleh diminum. Hadis tersebut umum samada lalat itu masih hidup atau sudah mati. (Fathul Bari 10/251).

ii- Manakala bangkai haiwan seperti tikus, jika terjatuh dalam makanan yang pejal atau bukan cecair, maka hanya dibuang bangkai dan kawasan sekelilingnya. Jika jatuh dalam makanan yang cecair, ia menajiskannya. Inilah pendapat jumhur ulama.

Kerana sabit dalam hadis Maimunah r.a. Rasulullah SAW ditanya tentang bangkai tikus yang terdapat dalam minyak sapi, lalu baginda bersabda:

ألقوها وما حولها وكلوه

Maksudnya: “Buangkan ia (tikus itu) dan apa yang di sekelilingnya, dan makanlah ia (minyak sapi itu).
Direkod oleh Bukhari (no: 5218)

Dan ada pendapat yang mengatakan selagi bangkai itu tidak mengubah sifat cecair, maka ia dihukum suci. Pendapat ini diriwayatkan daripada Imam Ahmad dan Imam Bukhari. (Fathul Bari 15/494).

Wallahu A’lam

Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net

%d bloggers like this: