04-015 : Najis Burung Di Jalan Dan Kenajisan Mani
Home – Soal Jawab – Feqah: Bersuci, Wudhu dan Mandi
Soalan:
Beberapa hari yg lepas saya berjalan dgn seorang kawan. Tiba-tiba dia terpijak tahi burung kering di tepi jalan. Pada masa yg sama hujan rintik2. kawan saya khuatir tahi yg di pijak itu terlekat di tapak kasut & akan berjangkit di tempat lain yg di laluinya. Saya menyuruhnya menggosok tapak kasut di pasir. Dia berbuat demikian selama 5 minit tetapi dia tetap was-was.
soalan:
1) apakah jika kita terpijak & ia akan berjangkit di tempat lain? adakah betul tindakan saya menyuruh dia berbuat demikian. Bagaimana jika jln itu tidak basah?adakah ianya boleh berjangkit?
2)adakah Air mani itu najis? Adakah perlu di basuh sekiranya tekena cadar & perlu di basuh berasingan dengan baju lain?
Jawapan:
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
1) Masalah adakah najis boleh disucikan dengan selain air? Ada khilaf antara ulama. Ada yang langsung tidak membenarkan. Ada yang mengharuskan. Dan ada yang mengharuskan dengan syarat hajat.
Menurut Ibn Taimiyyah, bahawa jika diteliti sunnah Nabi SAW, didapati bahawa suruhan menyucikan najis dengan air bukan umum kepada semua najis. Ada beberapa situasi yang dibenarkan menyucikan dengan selain air.
Antaranya ialah apabila selipar terkena najis. Maka cara menyucikannya ialah dengan menggosokkan dengan sesuatu hingga hilang kesan najis.
Dalam hadis Abu Hurairah:
إِذَا وَطِئَ أَحَدُكُمْ بِنَعْلَيْهِ الأَذَى فَإِنَّ التُّرَابَ لَهُ طَهُورٌ
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu memijak kotoran dengan seliparnya, maka sesungguhnya tanah adalah penyuci untuknya.
Direkod oleh Abu Daud (no: 385). Diperselisihkan pada kesahihannya.
Kata Ibn Taimiyyah: Yang rajih dalam masalah ini ialah apabila dapat dihilangkan najis dengan apa jua cara, maka hilang jugalah hukum najisnya (yakni menjadi suci). Kerana sesuatu hukum yang sabit dengan satu sebab, apabila hilang sebab itu, maka hilang jugalah hukumnya. (majmuk fatawa Ibn Taimiyyah).
Jadi, tindakan anda menyuruh supaya dihilangkan najis dengan cara menggosokkan pada tanah -mudah mudahan- adalah betul.
Masalah najis berjangkit, jika kita dapat melihat sifat-sifat najis pada tempat lain, maka wajiblah dihilangkan juga. Jika tidak, maka hukum asalnya ialah tidak ada najis di tempat lain.
2) Khilaf ulama dalam hukum mani. Abu Hanifah dan Malik kata: ia najis. Cuma Abu Hanifah memberi kelonggaran menyucikan dengan cara mengikis.
Syafie dan Ahmad pula mengatakan ia suci. Dan pendapat ini -Wallahu A’lam- lebih kuat, ditarjihkan oleh ramai muhaqqiqin.
Dalil kesuciannya ialah hadis Aisyah r.a.
ولقد رأيتني أفركه من ثوب رسول الله صلى الله عليه و سلم فركا فيصلي فيه
Maksudnya: Dan sesungguhnya aku pernah mengikisnya (mani) dari pakaian Rasulullah SAW, lalu baginda bersolat dengan pakaian itu.
Direkod oleh Muslim (no: 288).
Wallahu A’lam
Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net