Urus Niaga Online Dengan Menjadi Reseller
ISU: Apakah hukum jual beli sekiranya saya menjual barangan bukan milik saya dengan menjadi ajen atau reseller secara online. Adakah ini haram? Cara yang saya lakukan ialah mempromosikan produk melalui gambar dan sesiapa yang berminat akan memasukkan duit kepada saya. Kemudian saya akan memasukkan duit kepada pengeluar. Dan pengeluar akan menghantar terus produk kepada orang yang memesan produk itu.
PENJELASAN: Antara bentuk perniagaan dalam talian (online) yang diminati pada hari ini ialah dengan cara menjadi reseller bagi sesetengah produk. Modus operandinya ialah reseller mempromosikan secara online produk daripada pembekal atau pengeluar melalui gambar dan perincian berserta harga. Pelanggan yang berminat dan bersetuju untuk membeli akan membayar harga yang dipersetujui kepada reseller dengan cara memindahkan wang ke dalam akaun reseller. Reseller seterusnya membuat pesanan kepada pembekal/pengeluar dan membuat pembayaran. Pembekal/pengeluar membuat penghantaran terus produk yang kepada pelanggan. Keuntungan reseller ialah perbezaan harga antara harga jualannya kepada pelanggan dan harga beliannya daripada pembekal/pengeluar.
Melihat kepada modus operandi urus niaga di atas, prinsip fiqah yang perlu diambil perhatian ialah syarak melarang seseorang daripada menjual suatu barangan yang belum dimilikinya. Larangan ini dinaskan dalam hadis Hakim bin Hizam yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, seorang lelaki datang kepada aku dan mahu membeli sesuatu daripada aku, sedangkan aku belum memilikinya. Adakah boleh aku membelinya untuknya dari pasar?” Baginda menjawab:
لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ
Maksudnya: “Jangan kamu menjual suatu yang kamu tidak miliki”. (Riwayat Abu Daud, 3/283, no: 3503; Tirmizi, 3/526, no: 1232; Nasaie, 7/289, no: 4613; Ibn Majah, 2/737, no: 2187).
Justeru, dalam isu reseller menjual produk kepada pelanggan sebelum reseller membelinya daripada pembekal/pengeluar, sekiranya produk yang dijual adalah produk yang spesifik dan ditentukan unitnya, maka urus niaga tersebut adalah tidak sah kerana wujud unsur menjual sesuatu yang tidak dimilikinya. Sebagai contoh, jika produk tersebut ialah sebuah telefon bimbit yang telah ditentukan unitnya dan nombor sirinya.
Manakala jika produk yang dijual adalah dalam bentuk spesifikasi tertentu tanpa ditentukan unit manakah ia, maka di sana terdapat kelonggaran untuk reseller menjualnya kepada pelanggan walaupun reseller belum membelinya daripada pembekal/pengeluar. Ini berasaskan kepada keharusan melakukan urus niaga salam.
Secara ringkas, jual beli salam ialah jual beli secara tempahan di mana pembeli membuat bayaran penuh untuk mendapatkan barangan yang dinyatakan spesifikasinya dan akan diserahkan kemudian. Menurut Standard Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), antara barangan yang boleh dibeli melalui akad salam termasuklah produk-produk pembuatan yang boleh ditentukan spesifikasi secara jelas, tidak ada perbezaan ketara antara unit-unitnya, dan boleh didapati di pasaran. (Shari’a Standards, m/s 166).
Dalam hal ini, pelanggan dikira menjalankan pembelian secara salam daripada reseller, dengan membuat pembayaran penuh untuk membeli produk yang ditetapkan spesifikasinya, yang akan diserahkan pada masa hadapan. Reseller kemudiannya membeli produk yang menepati spesifikasi tersebut daripada pembekal/pengeluar dan dia boleh meletakkan syarat kepada pembekal/pengeluar supaya produk tersebut dihantar terus kepada pelanggan pertama tadi.
Dengan penyesuaian fiqah seperti ini, urus niaga tersebut adalah sah dengan syarat hendaklah menepati hukum-hakam jual beli salam.
Selain penyesuaian fiqah tersebut, ada beberapa lagi bentuk penyesuaian fiqah yang mungkin boleh menjadi solusi kepada isu urus niaga mereka yang menjadi reseller secara online, seperti menggunakan prinsip seperti wakalah atau ju’alah.
Wallahu A’lam.
Jawapan asal Penulis disiar di: http://www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-jual-beli-ajen-atau-reseller-secara-online