Bekerja Sebagai Juruwang di Premis Menjual Arak
ISU:
Saya ingin membuat beberapa pertanyaan berkenaan dengan penjualan arak, kerana terdapat beberapa kekeliruan:
1. Apakah hukum seorang muslim yang bekerja dengan sebuah kedai runcit yang turut menjual arak?
2. Apakah hukum seorang muslim yang menjual arak kepada orang yang bukan muslim, kerana itu termasuk bidang tugasnya di kedai tersebut?
3. Apakah hukum muslim tersebut jika dia tidak menjual arak kepada sesiapa juga, tetapi hanya menjual barang-barang lain? Penjualan arak diserahkan kepada orang yang bukan muslim.
PENJELASAN:
Seorang Muslim tidak dibenarkan untuk bekerja dalam sektor yang melibatkan dirinya dalam hal-hal berkaitan dengan arak, seperti penjualan arak, pemprosesan arak, pengangkutan arak, penyimpanan arak dan seumpamanya. Larangan ini dinyatakan oleh Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis:
لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ، وَشَارِبَهَا، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَمُبْتَاعَهَا، وَعَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْه
Maksudnya: “Allah melaknat arak, peminumnya, pemberi minumnya, penjualnya, pembelinya, tukang perahnya, orang yang meminta diperahnya, pembawanya, dan orang yang meminta dibawakan kepadanya”. (Abu Daud, 3/326, no: 3674).
Pengharaman menjual arak adalah diharamkan tanpa mengira sama ada yang membelinya adalah orang Islam ataupun bukan Islam.
Justeru sekiranya pekerjaan di sesebuah kedai menuntut seseorang pekerja terlibat secara langsung dengan arak, seperti menjadi juruwang yang menjual arak, maka seseorang Muslim tidak harus bekerja di tempat tersebut.
Tetapi sekiranya pekerjaannya tidak berkait dengan arak, seperti menjadi juruwang di kaunter halal yang tidak menjual arak, maka bekerja di situ adalah diharuskan, kerana dia tidak dikira terlibat dalam penjualan arak.
Wallahu A’lam.
Jawapan asal Penulis: http://www.e-fatwa.gov.my/blog/penjualan-arak