Ramadhan Al-Mubarak 1432
Alhamdulillah, Ramadhan kembali menjelma. Ia bulan yang penuh dengan keberkatan dan keagungan. Ia bulan puasa, bulan tilawah, bulan tarawih dan bulan sedekah. Di sebalik segala kelebihan dan keagungan bulan ini, bagaimana pula semangat dan perasaan kita apabila menghadapinya?
Bagi orang yang sudah membiasakan diri dengan amalan puasa, yang senantiasa melazimi puasa Khamis dan Isnin, kerap melaksanakan ibadah puasa 3 hari sebulan di tengah-tengah bulan (13, 14, 15), tidak terlepas mengejar keampunan Tuhan dengan puasa Hari Asyura dan Hari Arafah, atau mengikuti sunnah Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam dalam berpuasa sunat pada bulan Syaaban, sudah pasti kedatangan Ramadhan amat ditunggu-tunggu. Sudah tentu orang seperti ini merindui kehadiran anak bulan Ramadhan yang menjanjikan banyak kebaikan dan peluang ibadah selama sebulan. Pastinya, tidak ada sebarang rasa payah dan liat untuk menahan selera makan dan minum, malahan terasa kenikmatan dan kemanisan beribadah kepada Allah. Ya Allah, jadikan kami dari golongan ini.
Manakala ada segolongan yang agak malang, apabila diumumkan tarikh permulaan puasa, jiwanya jadi berat, tubuhnya jadi longlai untuk ke masjid bertarawih, merasakan kedatangan Ramadhan sebagai tetamu yang tidak diundang, membilang hari bilakah berakhirnya bulan yang penuh kekangan, dan amatlah bersukaria apabila Hari Raya makin menjelma. Puncanya, orang seperti ini tidak membiasakan diri dengan ibadah, tidak dibiasakan dengan lapar dan dahaga, tidak pernah mengajar diri mengekang nafsu selera, dan yang lebih malang jika perihalnya sebelum Ramadhan, ibadah wajib pun acap kali tertinggal dan kerap kali dicuaikan. Ya Allah jauhilah kami dari tergolong dalam kumpulan ini.
Sempena bulan yang sangat mulia ini, saya mengucapkan kepada pengunjung blog Catatan Abu Umair, selamat berpuasa, dan semoga ibadah kita sepanjang bulan ini diterima Allah sebagai amalan soleh.
Dilampirkan kertas kerja ringkas tentang Feqah Puasa, yang saya bentangkan di Seminar 1001 Persoalan Ramadhan, anjuran Intis Consultant & Training dan Caliph Youth Society pada Sabtu 21 Syaaban 1432 bersamaan 23 Julai 2011 di Dewan Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Batu Caves. Feqah Puasa (Abu Umair)
Abu Umair Lokmanulhakim Hussain
1 Ramadhan 1432
Kalau tak silap saya ada usaha untuk menjadikan Makkah sebagai pengganti kepada Greenwich Mean Time (GMT). Saya rasa usaha ini bagus. Apa pandangan tuan dalam hal ini? Terima kasih