Pusingan “U-Turn”
“Dialah orang yang paling baik dari kalangan kami, anak kepada orang yang paling baik. Dialah orang yang paling mulia, anak kepada orang yang paling mulia”.
Itulah jawapan kaum Yahudi apabila Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya mereka tentang keperibadian salah seorang pendeta mereka, Abdullah bin Salam.
Abdullah bin Salam, atau nama asalnya Al-Hushain bin Salam bin Al-Harits, adalah seorang pendeta Yahudi sebelum keIslamannya. Lahir dalam kelompok suku Qainuqa’ dan susur galur keturunannya sampai kepada Nabi Yusuf bin Yaakub Alaihissalam.
Sebaik kedatangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke Madinah dalam peristiwa hijrah, Abdullah bin Salam terus menganuti Islam. Mendapat sanjungan dalam Islam apabila diturunkan satu ayat Al-Quran yang bersangkutan dengan keIslamannya. Iaitu firman Allah:
وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّن بَنِى إِسْرَائِيلَ عَلَى مِثْلِهِ فَآمَنَ وَاسْتَكْبَرْتُمْ
Maksudnya: “Padahal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (kesahihahan Kitab) yang sama seperti Al-Quran ini, lalu dia percayakan (Al-Quran ini dari Allah), sedangkan kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya?”. (Al-Ahqaf: 10).
Sebagai seorang pendeta Yahudi, Abdullah bin Salam mendapat sanjungan tinggi kaumnya. Dipuja dan dipuji, diiktiraf dan dihargai. Dialah manusia paling baik. Anak kepada orang baik-baik. Dialah yang paling mulia. Anak kepada orang yang mulia. Dialah mahaguru, anak kepada mahaguru. Dialah ilmuan paling pakar, anak kepada ilmuan-ilmuan yang pakar. Tinggi melangit pujian kaum Yahudi terhadap Abdullah bin Salam, sebagaimana direkod dalam kitab-kitab hadis.
Sebaik sahaja mereka selesai menuturkan kata-kata pujian itu, tiba-tiba tuan empunya diri, Abdullah bin Salam sendiri muncul di hadapan mereka, sambil mengucapkan, “Aku menjadi saksi bahawa tidak ada Tuhan yang sebenarnya kecuali Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah”.
Bagai guruh berdentum. Bagai kilat menyambar. Bagai halilintar memecah gegendang telinga. Tidak disangka ucapan syahadah terlontar daripada lidah pendeta pujaan mereka.
Ibarat sebuah kenderaan yang meluncur laju di tengah-tengah jalanraya, secara tiba-tiba membuat pusingan U-turn, kaum Yahudi yang memuji dan memuja Abdullah bin Salam sebentar tadi secara tiba-tiba menyerang keperibadian beliau. Lidah yang tadinya memuji belum pun sempat kering, tiba-tiba dibasahi dengan pelbagai kata-kata cercaan dan penghinaan.
“Dialah manusia paling jahat. Anak kepada manusia paling jahat”.
“Dialah orang yang paling bebal. Anak kepada orang paling bebal”.
Demikian contoh kata-kata cercaan yang direkod oleh ulama hadis.
Begitu buruk perangai Yahudi. Memuja dan memuji sesiapa yang bersama-sama dengan mereka. Tetapi apabila ada dari kalangan mereka menyatakan yang haq, dia akan menjadi sasaran serangan dan penghinaan.
Kita sebagai seorang Muslim mesti mengambil iktibar dari peristiwa ini. Jangan berperangai seperti Yahudi. Jangan hanya memuja dan memuji apabila seseorang tokoh bersama kita dalam satu aliran, idologi, fahaman dan fikrah. Apabila tokoh itu membuat sebarang kenyataan yang tidak sebulu dengan kepentingan kita, terus kita hina dan serang terhadap peribadinya.
Lihatlah setiap kenyataan melalui kacamata yang adil, dan timbanglah setiap kata-kata dengan al-Quran dan Sunnah. Jangan terpengaruh oleh hawa nafsu sampai menolak yang hak.
Sekian.
terima kasih ustaz
mudah2an Allah berikan kita taufiq untuk menghormati ulama
amin
sama-sama..
amin.
Lama tak baca entry sheikhuna…
Terima kasih
Bila nak balik malaysia?
Syeikh albaruhiyy,
sama-sama. Tak pasti lagi bulan brapa baru bleh balik malaysia. Mgkn dalam 3-4 bulan lagi kot..
Malaysia rindu kat anta… balik ler cepat utk berjuang di Malaysia…. masuk tv, radio, majalah, akhbar dsb.
Akhie… ana tidak layak untuk masuk tv, radio. Setakat blog2 macam ni, boleh lah.