Ma’radh Kitab (Ekspo Buku)
Ma’radh Kitab atau Ekspo Buku Tahunan anjuran Universiti Islam Madinah secara rasmi dibuka pada 24 Mac baru-baru ini. Acara tahunan ini berlangsung sehingga 6 April 2009. Bagi penggemar kitab-kitab Arab, peluang seperti ini dinanti-nanti untuk memborong sebanyak mungkin bahan rujukan yang sudah pasti terlalu berharga apabila pulang ke tanahair nanti.
Seorang penuntut ilmu tidak boleh merasa kerugian dengan membelanjakan sedikit wang ringgit untuk memiliki kitab-kitab karangan ulama. Kerana koleksi buku dan kitab ilmiah adalah alat penting sepanjang hayatnya. Ia umpama gergaji dan tukul bagi seorang tukang bina, atau peralatan memasak bagi seorang tukang masak. Duit yang dibelanjakan untuk itu langsung tidak bernilai jika dibandingkan dengan ilmu dan maklumat yang terkandung dalam helaian-helaian kitab yang dibeli. Malahan, jika seseorang penuntut sedar nilai sebenar ilmu dalam khazanah warisan itu, dia pasti melebihkan belanja membeli kitab berbanding belanja pakaian dan makanannya.
Di dalam buku-buku biografi tokoh Islam, terselit banyak catatan bahawa ramai kalangan mereka mempunyai maktabah peribadi yang menghimpun kitab-kitab rujukan. Sejak era sahabat lagi, direkodkan sesetengah sahabat mempunyai simpanan kitab-kitab. Antara mereka Abu Hurairah yang menyimpan helaian-helaian tulisan hadis. Abdullah bin Amru bin Al-Aas menyimpan kitab-kitabnya di dalam kotak khas. Ibn Abbas pula memiliki sejumlah besar kitab-kitab yang boleh dibawa oleh unta. Urwah bin Al-Zubair juga mempunyai himpunan kitab-kitab yang banyak, dan apabila kitab-kitabnya terbakar, beliau merasa kesedihan yang amat sangat.
Pada zaman berikutnya, ramai tabien yang terkenal dengan keilmuan dan periwayatan menjadikan koleksi kitab-kitab sebagai harta berharga dan teman yang rapat. Dikisahkan bahawa Al-Zuhriy (wafat: 124H) apabila berada di rumahnya, beliau akan meletakkan kitab-kitabnya di sekelilingnya, sehingga lupa segala keduniaan di sekelilingnya. Isterinya pernah mengadu, “Demi Allah, kitab-kitab ini lebih perit bagi aku jika dibandingkan dengan tiga orang madu”. Kisah ini dicatat dalam Wafayat al-A’yan.
Di dalam kitab Mu’jam al-Udaba’, disebut bahawa Amru bin al-‘Ala Al-Basriy (wafat: 153H), memiliki himpunan kitab yang banyak. Kitab-kitab itu disusun sehingga mencecah bumbung rumahnya.
Al-Jahiz (wafat: 255H) terkenal sebagai seorang yang sangat mencintai kitab. Pantang dijumpai sebuah kitab, beliau akan membacanya sehingga khatam. Malahan diceritakan, beliau mempunyai sebuah maktabah yang agak besar. Seringkali beliau menyusun kitab-kitab sehingga membentuk seperti dinding, dan membacanya. Sehingga pada suatu hari susunan kitab-kitabnya terjatuh dan menimpa beliau, lalu beliau meninggal dunia di bawah himpunan kitab.
Demikian sejarah sebahagian tokoh ilmuan dengan maktabah dan buku-buku mereka. Kalaupun kita tidak dapat menjadi seperti mereka dalam keilmuan dan kewarakan, sekurang-kurangnya mencontohi perjalanan hidup mereka sudah cukup sebagai satu kejayaan. Sebagaimana ungkapan sebuah syair:
تشبهوا إن لم تكونوا مثلهم إن التشبه بالكرام فلاح
Tirulah mereka, sekalipun kamu tidak menjadi seperti mereka,
Sesungguhnya meniru orang-orang mulia adalah suatu kejayaan.
Membeli kitab seperti juga membeli barangan keperluan lain, mestilah mengikut tatacara dan bukan secara sambil lewa sahaja. Kalau dalam membeli pakaian, peralatan rumah, alatulis, dan lain-lain, kita cukup berhati-hati dan memilih yang terbaik sesuai dengan bajet, begitu juga perlu dilakukan dalam membeli kitab dan buku.
Yang paling utama, sebelum membeli sesebuah kitab kita mesti sudah tahu sekurang-kurangnya apakah judul kitab itu, siapa pengarangnya, dan tentang apakah kitab itu ditulis? Contohnya, jika kita ingin membeli kitab yang bernama ‘Majmuk’ karya Imam Nawawi, kita mesti sudah tahu bahawa kitab itu ialah syarah kepada kitab ‘Al-Muhazzab’ oleh Al-Syirazi. Dan apabila kita membeli kitab Tafsir Ibn Katsir, kita mesti sudah tahu bahawa judulnya ialah ‘Tafsir al-Quran al-Azim’.
Saya teringat waktu ekspo buku beberapa tahun yang lalu, ada seorang sahabat membeli sebuah kitab tafsir yang tertera judulnya ‘Tafsir Ibni Katsir’. Keesokan harinya, dia berkunjung lagi ke ekspo untuk mencari kitab-kitab lain. Lalu apabila terpandang sebuah kitab berjudul ‘Tafsir Al-Quran Al-Azim’, dia terus membelinya. Apabila pulang ke asrama, barulah disedari bahawa buku yang dibelinya hari ini dan yang dibelinya semalam adalah buku yang sama, cuma judulnya berbeza. Oleh itu pengetahuan tentang perkara asas sesebuah kitab amat perlu supaya insiden membeli dua kitab yang sama tidak berlaku.
Kaedah memilih cetakan sesebuah kitab tidak kurang pentingnya. Seelok-eloknya, pilihlah kitab yang ditahqiq oleh pengkaji-pengkaji yang terkenal dengan amanah ilmu, dan dicetak oleh percetakan yang dipercayai.
Bagi yang tidak mempunyai bajet yang besar, perlu lebih berhati-hati dalam memilih kitab-kitab yang wajar didahulukan. Sekurang-kurangnya, sebagai permulaan membina sebuah maktabah peribadi, mestilah didahulukan dengan kitab-kitab asas Islam, seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, empat kitab Sunan, beberapa kitab Tafsir, beberapa kitab Aqidah, dan kitab-kitab utama dalam setiap disiplin ilmu. Kitab-kitab utama ini mesti dipilih cetakan yang paling baik dan dipakai oleh ramai ahli ilmu.
Selepas membeli sesebuah kitab, jangan lupa untuk terus membaca mukaddimah atau prakata pengarang, dan melihat isi kandungannya secara keseluruhan. Barulah kitab yang dibeli boleh disusun di atas rak atau dimasukkan ke dalam kotak.
Dalam keghairahan membeli kitab dan membina maktabah peribadi, jangan lupa memohon hidayah dan taufiq Allah Taala, supaya menjadikan kitab-kitab rujukan sebagai wasilah untuk mendapatkan secebis ilmu dari-Nya, dan bermohon supaya tidak tersesat jalan dan teraba-raba tidak bertemu petunjuk di dalam maktabah sendiri.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah berkata, “Sesiapa yang Allah kurniakan cahaya kepada hatinya, Dia akan memberi hidayah melalui karangan-karangan yang sampai kepadanya. Dan sesiapa yang dibutakan mata hatinya, maka lambakan buku-buku hanyalah menambahkan kebingungan dan kesesatannya”. (Majmuk Fatawa 10/665).
Wallahu A’lam.
Assalamualaikum Ustaz,
Memang rasa seronok sangat memiliki kitab-kitab dengan banyak. Cuma kena usaha lebih la untuk baca semua kitab yang ada. Nasihat ustaz sangat berguna untuk beginner macam saya ni.
Waalaikumussalam,
Benar, hemah yang tinggi untuk menelaah kitab itulah yang payahnya. Mudah2an Tuhan berikan taufiq & inayahnya untuk kita semua.
Assalamualaikum,
Sheikh, teringat kisah tafsir Ibn Kathir tu..
Sempat tak untuk tengok-tengokkan kitab semasa berkaitan fiqh muamalat, ekonomi Islam dan Kewangan Islam..
Kalau jumpa bagitau la
Waalaikumussalam,
Ya akhie ust albaruhiyy.. Maaradh kali ni ana tak round banyak. beli pun yang kecik-kecik je. Sbb tak dengar plak tahun ni ada pghantaran kitab ke Msia. Kalau ana ziarah maaradh, ana tengok yg berkaitan muamalat.
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal 8:74)
Salam ziarah dari saya,,blog yang menarik ,jemput muzakarah di blog saya….dan jadikan blog saya sebagai rakan anda..tq
Salam..
Kena ajak ustaz Lokman pegi ma’radh sekali lagi ni..
Syukran
Salam Syeikh abdul rahman..
Dengar cerita anta datang umrah. Datang Madinah, singgahlah sini.
ehmm best gak kalau boleh pergi…
Baru terjumpa hari ni (14/8/2009) blog yg bermanfaat. TQ atas nasihat yg berguna ttg panduan memiliki koleksi kitab2.
salam,ustaz..
mne sy blh dptkan kitab fiqh muamalat dr wahbah zuhaili..
sy x ingt tjuk kitabnye…yg psti,ade 2 volume je dan sume vrsi inngeris…
sy hrp ustaz dpt bg sdikit mklumat tntg kitab tu memandgkan kitab tu sbhgian dr silibus sbjek sy…
trime ksih,ustz..salam
Wsalam..
Mungkin maksud saudara ialah kitab Dr Wahbah yang bertajuk:
المعاملات المالية المعاصرة
‘Muamalat Kewangan Kontemporari’
Boleh muat turun melalui url ini: http://ia310832.us.archive.org/1/items/Mu3amalatMaliaMu3asira/mu3amalat.pdf
Sekian.
xleh buka la ustaz dalam bentuk pdf kitab yg ustaz bagi link tuh
Saudara boleh download melalui link ini juga: http://www.archive.org/download/Mu3amalatMaliaMu3asira/mu3amalat.pdf