Hari Ibu di Malaysia dan juga beberapa negara lain disambut pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Pada tahun ini ia jatuh pada 8 Mei baru-baru ini. Berikut adalah sedikit ulasan saya tentang Hari Ibu:
1. Di dalam Islam, penghormatan terhadap kaum ibu adalah suatu yang diiktiraf dan tidak dihadkan pada bulan tertentu, minggu tertentu atau hari tertentu. Beberapa ayat al-Quran memerintahkan secara qat’ie supaya berbuat baik terhadap ibu dan bapa, hatta jika mereka bukan beragama Islam. Beberapa hadis yang sahih menunjukkan bahawa berbuat baik terhadap ibu adalah lebih didahulukan berbanding dengan bapa.
2. Jika sekiranya Hari Ibu disambut dalam bentuk perayaan, maka dalam Islam perayaan tahunan yang diiktiraf hanyalah dua perayaan, iaitu Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha. Ini jelas daripada hadis Anas r.a. bahawa ketika Nabi SAW sampai di Madinah dan melihat dua perayaan disambut oleh orang Jahiliyyah, lalu bersabda, “Sesungguhnya Allah menggantikan kedua-duanya dengan dua perayaan yang lebih baik daripadanya; Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha”. (Direkod oleh Abu Daud dan Nasai).
3. Apakah maksud ‘perayaan’ dan adakah Hari Ibu dianggap sebagai satu perayaan? Perayaan ialah apabila sesuatu himpunan didakan secara berkala samada setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, atau seumpamanya. (Iqtidhaa’ al-Siraat al-Mustaqiim 1/441). Jika sekiranya tujuan diadakan sesuatu yang berkala itu untuk ibadah, penghormatan disertai dengan harapan mendapat ganjaran, ataupun meniru perbuatan orang-orang kafir, maka ia termasuk dalam Bida’ah yang dilarang. (Fatawa Lajnah Daimah 3/59,61).
4. Mungkin ramai yang berkata, Hari Ibu langsung tidak dianggap sebagai perayaan ibadah, atau perayaan yang diharapkan ada pahala khas padanya. Tetapi bagaimana pula dengan meniru orang kafir? Beberapa sumber yang saya temui mendakwa bahawa Hari Ibu dahulunya disambut oleh orang-orang Greece sebagai pernghormatan terhadap Rhea yang dikatakan ibu kepada Tuhan mereka. Begitu juga dikatakan ia disambut oleh orang Kristian sebagai penghormatan terhadap Mother Mary (Maryam), iaitu ibu kepada Nabi Isa a.s yang dianggap Tuhan oleh mereka. Kalaulah benar asal-usul Hari Ibu adalah daripada agama lain, bagi saya ia cukup sebagai hujah untuk orang Islam tidak merayakannya.
5. Mungkin ada yang berkata, “Saya tidak berniat untuk meniru orang-orang kafir”. Perlu difahami bahawa larangan meniru orang kafir tidak semestinya dengan niat. Jika sesuatu perbuatan menyerupai perbuatan khusus orang kafir, ia dilarang walaupun tidak diniatkan menyerupainya. Kerana seorang sahabat bertanya Nabi SAW bahawa dia bernazar menyembelih unta di Buwanah. Lalu baginda bertanya, “Adakah di sana terdapat berhala daripada berhala-berhala Jahiliyyah yang disembah?” Jawab mereka, “Tidak”. Baginda bertanya lagi, “Adakah di sana terdapat suatu dari perayaan mereka?” Jawab mereka, “Tidak”. Lalu baginda menyuruhnya menyempurnakan nazar tersebut. (Direkod oleh Abu Daud).
6. Melalui hadis tersebut, Nabi SAW menyuruhnya menunaikan nazar setelah baginda berpuas hati bahawa tidak akan ada unsur persamaan dengan perbuatan Jahiliyyah samada dari sudut tempat dan juga waktu. Kita yakini bahawa sahabat Nabi SAW tidak mungkin sengaja mahu menyerupai orang-orang Jahiliyyah. Tetapi baginda tetap memastikan perbuatannya tidak ada unsur penyerupaan dengan mereka.
7. Sebagai Muslim, adalah lebih wajar dan mulia jika kita berbangga dengan ajaran agama kita sendiri, menjadi ikutan kepada orang lain dan bukannya pengikut orang-orang agama lain, bercukup dengan ajaran yang sedia ada dan tidak menambah atau mengurang dalam urusan keagamaan. Sesungguhnya perempuan yang bernama Ibu wajib dihormati dan diberikan ihsan serta kebaikan untuknya, tanpa dikhususkan satu hari dalam setahun.
Apa yang saya utarakan di sini hanya catatan yang boleh jadi benar dan boleh jadi tidak.
Sekian.
10 Mei 2011
What are you thinking?