Segelintir pelajar-pelajar ilmu agama gemar berlumba-lumba mengumpul kitab. Masing-masing bercita-cita membina sebuah maktabah peribadi yang dipenuhi pelbagai jenis rujukan. Mungkin ada antara kitab-kitab yang dibeli tidak pernah pun dimiliki oleh sebahagian ulama-ulama besar. Tetapi satu fakta yang pasti ialah banyaknya koleksi kitab seseorang tidak menjamin banyak juga ilmu di dadanya
Mari sejenak bermuhasabah:
– Pernahkah kita menghabiskan bacaan sebuah kitab tafsir? Sekurang-kurangnya Tafsir Ibn Kathir, atau Tafsir Baghawi. Ataupun sekurang-kurangnya Tafsir Al-Saadi atau Tafsir Jalalain?
– Adakah kita pernah khatam bacaan dua buah kitab hadis yang menjadi rujukan utama orang Islam, Sahih Bukhari dan Sahih Muslim? Atau sekurang-kurangnya Mukhtasar (ringkasan) Sahih Bukhari dan Mukhtasar (ringkasan) Sahih Muslim?
– Sudahkah kita menghabiskan pengajian sebuah kitab feqah yang paling kecil dari kulit ke kulit, seperti Matan Abi Syujak? Dan satu kitab Usul seperti Matan Waraqat?
Jika jawapan kepada soalan-soalan seperti di atas ialah: “BELUM” atau “SIKIT-SIKIT”, maka apalah ertinya kita menyusun beraneka jenis kitab di dalam almari. Apalah gunanya menghabiskan wang ringgit memborong berkotak-kotak kitab, walhal tidak pernah memahami isi di dalamnya, atau hanya sekadar pernah membaca tajuknya.
Awas sahabat-sahabat, jangan sampai kita merasakan kitab-kitab kepunyaan kita umpama harta benda yang seronok dikumpul. Ilmu tidak boleh disamakan dengan harta benda dunia. Al-Khatib Al-Baghdadi berkata: “Adakah orang yang mengumpul kitab-kitab ilmu seperti dia mengumpul emas dan perak?!!”.
Imam Al-Mawardi menyebut satu syair:
Andai penuntut ilmu tidak bermuzakarah pelajarannya,
Dan tidak mengambil faedah, pasti kan lupa ilmunya,
Alangkah ramai pengumpul kitab dalam semua mazhab,
Semakin hari dia mengumpul, semakin butanya bertambah.
What are you thinking?