Pada zaman sekarang, wujud pelbagai medium baru untuk mendapatkan ilmu. Bukan setakat berguru di hadapan tok guru dan mutalaah kitab sahaja, seperti hal orang-orang zaman dahulu. Kini, pengajian-pengajian ilmu direkod melalui audio dan video dan disebarkan secara meluas melalui kaset, CD VCD, DVD, dan hard disk. Lebih dari itu, laman-laman web Islam rancak menyebarkan khazanah ilmiyah ini secara percuma melalui talian internet.
Maka antara kesan lambakan audio dan video pengajian ilmu ini, ada kalangan penuntut ilmu beranggapan kita tidak perlu lagi berguru cara lama di hadapan guru. Kaedah moden lebih berkesan.
Rasionalnya, seseorang yang mendengar melalui kaset atau cd dapat menguasai satu-satu pengajian dengan lebih teliti. Contohnya, jika terdapat penerangan yang kurang jelas, dia boleh mengulang beberapa kali sehingga difahami.
Jika ada permasalahan yang kabur, dia boleh menekan butang pause dan membuat sedikit research di perpustakaannya atau menghubungi ustaz-ustaz yang dipercayai.
Begitu juga, jika mendengar fakta-fakta yang sangat penting, dia boleh mencatatnya secara terperinci dalam buku notanya. Kaedah belajar ini juga memberi ruang kepada penuntut untuk memilih sendiri waktu yang paling sesuai untuk mengikuti pengajian (mendengar audio).
Ya, memang diakui pembelajaran menggunakan medium elektronik tersebut ada kelebihannya. Tetapi, ia bukannya alasan untuk meninggalkan pengajian secara talaqqi di hadapan guru. Kerana sistem talaqqi sudah diiktiraf sebagai bentuk pembelajaran yang terbukti berkesan. Kaedah inilah yang diwarisi sejak zaman nubuwwah sehingga sekarang. Cara inilah yang melahirkan tokoh-tokoh sarjana Islam yang masyhur dan banyak berbakti dalam dunia akademik.
Antara kelebihan pengajian cara talaqqi, ia menjadi perantaraan yang menghubungkan antara guru dengan murid. Ikatan perkenalan antara guru dan murid adalah satu yang amat bernilai yang tidak didapati hanya melalui kaset dan cd. Selain mendengar ilmu, penuntut dapat mempelajari nilai akhlak yang dilihat pada gurunya.
Penuntut dapat mendengar pengajian gurunya dengan lebih berkesan apabila melihat sendiri kaedah-kaedah pengajiannya dan isyarat-isyarat tangan dan kepalanya. Ini sangat memberi kesan kepada pemahaman sebagaimana dimaklumi dalam ilmu pendidikan.
Penuntut juga dapat mengajukan soalan secara langsung kepada guru tentang apa yang tidak difahami. Kadang-kadang guru membuka ruang untuk perbincangan bersama anak-anak muridnya. Peluang berharga ini tidak ditemui melalui kaset dan cd.
Bagi orang yang telah mencuba kedua-dua kaedah, iaitu kaedah talaqqi dan kaedah medium elektronik, akan mengetahui bahawa kaedah talaqqi adalah kaedah pengajian yang sangat berkat. Maklumat yang didengari lebih cepat diingati. Walaupun kaedah ini agak memakan masa dan lebih sukar, tetapi penuntut akan merasakan betapa berharganya mutiara-mutiara ilmu yang diperolehi dari gurunya.
Kesimpulannya, kedua-dua kaedah pembelajaran adalah bermanfaat. Orang yang mempunyai kelapangan menuntut ilmu secara talaqqi, wajar istiqamah dengan cara ini. Di samping itu, mantapkan ilmu dengan mendengar juga pengajian-pengajian yang direkod. Dengan cara ini kita mendapat dua kelebihan.
Bagi yang tidak berkesempatan bertalaqqi dengan ulama secara langsung kerana berjauhan dengan mereka, atau kerana kesuntukan masa, Allah Taala memberi kemudahan dengan wujudnya medium elektronik untuk menampung keperluan golongan ini. Semuanya adalah dengan nikmat dan rahmat dariNya. Maka gunakanlah nikmat Allah tersebut dengan sebaik-baik. Dan manfaatkan ia semaksima mungkin.
What are you thinking?