Hadiah Dari Morocco
Baru-baru ini, saya dihadiahkan sebuah buku berjudul ‘Mafhum Al-‘Alimiyyah Min al-Kitab Ila al-Rabbaniyyah’. Ia ditulis oleh seorang ulama dari Morocco, Syeikh Farid al-Ansari. Ia dihadiahkan oleh anak murid beliau, iaitu sahabat saya Ust Ahmad Wifaq Mukhtar, yang dikenali di http://www.al-ahkam.net dengan nama samaran izrail, salah seorang panel feqah di web tersebut. Jazahullah Khaira.
Sebenarnya perkenalan saya dengan ustaz izrail bermula 8 tahun yang lalu, iaitu pada Ramadhan 2000M. Pada waktu itu beliau datang dari Morocco untuk melaksanakan umrah. Dengan takdir Allah, kami tinggal serumah di Makkah al-Mukarramah pada Ramadhan tersebut, iaitu di kawasan Misfalah Kunkariyyah. Selepas pertemuan singkat itu, kami tidak berhubungan sehinggalah kami berkenalan sekali lagi di alam maya, melalui Al-Ahkam.Net. Pada waktu itu, Abu_Umair dan izrail tidak tahu menahu bahawa masing-masing sudah berkenalan 8 tahun lepas. Subhanallah!! Terima kasih kepada Al-Ahkam kerana mempertemukan kembali antara saya dengan syeikhuna, ustaz izrail.
Pada 29 Jun lalu, buat kali kedua kami bertemu apabila beliau datang ke Madinah. Kali ini, kedatangan beliau adalah untuk menghabiskan cuti tiga bulan dengan menghadiri majlis-majlis ilmu di Masjid Nabawi. Pada waktu itulah beliau membawakan sebuah cenderamata kepada saya iaitu sebuah buku karangan penyelia beliau untuk tesis PhD, Syeikh Farid al-Ansari. Semoga Allah memberkati umur, masa dan ilmu beliau.
Berbalik kepada buku yang dihadiahkan kepada saya. Judulnya ialah ‘Mafhum al-‘Alimiyyah’. Mungkin boleh diterjemahkan dengan ‘Pengertian Ciri-ciri Seorang Alim’. Walaupun saiz buku ini kecil, tidak sampai 150 halaman, tetapi kandungannya amat bernilai.
Pada pendahuluan buku ini, Syeikh Farid menjelaskan bahawa ia ditulis kerana didorong oleh empat faktor, iaitu:
i) Memahami bahawa tugasan tajdid (reformasi) dalam agama mestilah dimulakan dengan tajdid dalam ilmu.
ii) Umat Islam di serata dunia kehilangan tokoh-tokoh ulama berwibawa apabila ramai antara mereka sudah meninggal dunia. Dan ulama yang mewarisi mereka sudah pasti tidak setaraf dengan ulama terdahulu.
iii) Sistem pengajian ilmu di pusat-pusat pengajian Islam seperti di universiti dan kolej, tidak membantu melahirkan ahli-ahli akademik Islam yang mempunyai asas yang kukuh.
iv) Wujud golongan yang melabelkan diri mereka sebagai alim, sedangkan mereka tidak layak dengannya.
Buku ini mendedahkan definisi ilmu, dan siapakah yang layak digelar sebagai orang berilmu. Menurut penulisnya, seseorang layak dinilai sebagai alim apabila mencukupi tiga syarat:
i) Kesebatian dengan ilmu syariat, samada usul ataupun cabang. Ciri-ciri ini diperolehi setelah seseorang penuntut melalui segala cabaran dalam pengajian. Dalam wasiat Imam al-Baji, beliau berkata, “Bersungguh-sungguhlah dalam menuntut ilmu. Rasakan keletihan dalam menghafalnya. Berjaga malam dalam mempelajarinya. Letih berpanjangan dalam mengumpulnya. Berterusanlah dalam meriwayatkannya. Kemudian, berpindahlah kepada memahami dan mengertinya”. Kesebatian dengan ilmu hanya diperolehi setelah melepasi segala rintangan menuntut ilmu.
ii) Bersifat Rabbaniyyah dan Keimanan. Seorang yang layak digelar ‘berilmu’ mesti berakhlak dengan akhlak al-Quran, dan menghiasi diri dengan taqwa dan warak. Inilah yang disebut dalam al-Quran, “Sesungguhnya hanya yang takut kepada Allah ialah para ulama” (Fatir: 28). Dinukilkan daripada beberapa ulama salaf, kata-kata “Orang alim ialah orang yang takut Allah”.
iii) Kepimpinan Tarbiah Kemasyarakatan. Seseorang yang berilmu mestilah bersedia memikul tanggungjawab islah terhadap masyarakat sekitarnya. Kerana inilah yang menjadi objektif menuntut ilmu. Ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk kegunaan diri sendiri, tetapi juga untuk disebar kepada orang lain.
Banyak lagi isi kandungan buku ini yang perlu didedahkan kepada para penuntut ilmu. In Sya Allah, jika ada kesempatan lain, saya akan tuliskan lagi sedikit coretan tentang buku ini.
Untuk mendengar kuliah Dr. Farid al-Ansari, sila klik : http://www.youtube.com/user/casa2008wi
dulu syeikh izrail pernah dapat tawaran ke madinah sama ngan ana, tapi dia tak pegi kerna ke maghribi..tak dapat lama, 3 bulan pun jadi jugak..hehehe..muwaffaqin..org pahang tunggu syeikh izrail balik walaupun dengar khabar dia dah ditawarkan keje di USIM kek Nilai nun..