Persoalan adakah hasil kutipan zakat boleh disalurkan kepada bukan Islam ataupun tidak mestilah dibincangkan secara terperinci. Kerana menjawab secara mudah iaitu BOLEH atau TIDAK belum cukup untuk memberikan jawapan sebenar. Lebih menyedihkan jika timbul pertelingkahan tidak sihat di kalangan masyarakat hingga wujud pro dan kontra tanpa memahami hujung pangkal permasalahan sebenar.
Dalam Islam, sudah ditetapkan secara jelas siapa yang berhak disalurkan zakat. Mereka adalah lapan golongan atau asnaf, yang disebut dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Al-Taubah: 60).
Berkenaan agihan zakat kepada bukan Islam, hendaklah diperincikan status bukan Islam tersebut adakah termasuk dalam asnaf ‘Al-Muallafah Qulubuhum’ ataupun tidak.
Jika tidak termasuk dalam asnaf ‘Al-Muallafah Qulubuhum’, maka tidak boleh diberikan zakat kepada mereka. Perkara ini disepakati oleh para sarjana Islam, dan dinukilkan ijmak.
Ibn Qudamah menyebut, “Kami tidak mengetahui wujudnya perselisihan di kalangan ulama bahawa zakat harta tidak diberikan kepada orang kafir”. (Al-Mughni 4/106).
Ibn al-Munzir pula berkata, “Dan mereka telah ijmak bahawa kafir zimmiy tidak diberikan zakat harta kepadanya”.
Kesepakatan ini didasarkan kepada konsep asal zakat, iaitu dikutip daripada orang Islam yang kaya, dan diagihkan kepada orang Islam yang memerlukan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjelaskannya dalam pesanan baginda kepada utusannya Muaz bin Jabal. Sabdanya:
“Khabarkan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang-orang kaya mereka, dan diagihkan kepada orang-orang miskin mereka”. Direkod oleh Bukhari (no: 1331) dan Muslim (no: 19).
Manakala orang bukan Islam yang dinilai oleh kerajaan sebagai muallaf, maka berhak menerima agihan zakat. Kerana syarak telah memberikan peruntukan khas kepada asnaf Al-Muallafah Qulubuhum, sebagaimana dalam ayat di atas.
Sarjana Islam telah membahagikan golongan muallaf kepada dua katagori;
a) Muallaf yang beragama Islam.
Iaitu orang-orang yang baru memeluk Islam, tetapi iman mereka masih tidak kuat. Kerana dikhuatiri mereka kembali kepada agama asal, diperuntukkan sedikit sumbangan kewangan supaya mereka tetap dengan Islam.
Juga diberikan zakat kepada orang Islam yang boleh memberi pengaruh kepada orang bukan Islam lain untuk menganut Islam.
b) Muallaf yang bukan Islam.
Boleh disalurkan zakat kepada orang bukan Islam yang berstatus muallaf. Pemberian ini adalah demi maslahah agama Islam juga. Maka diberikan kepada bukan Islam, dengan dua tujuan utama:
i- Diharapkan pemberian zakat itu mendorongnya untuk mengenali dan menganuti Islam.
Di dalam hadis Safwan bin Umaiyyah, beliau berkata, “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menghulurkan permberian kepadaku pada peperangan Hunain, dan ketika itu baginda adalah makhluk yang paling aku benci. Dan baginda sentiasa memberikan kepadaku, sehingga baginda menjadi orang yang paling aku sayangi”. (Direkod oleh Ahmad no: 15304 dan Tirmizi no: 666).
ii- Atau diberikan zakat kepada bukan Islam sebagai memujuknya supaya tidak memusuhi Islam dan tidak menyakiti orang-orang Islam.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa ada sekumpulan manusia yang datang kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, dan mereka ini jika diagihkan pemberian kepada mereka, mereka akan memuji Islam dan berkata, “Ini agama yang baik”. Sebaliknya jika tidak diberikan kepada mereka, nescaya mereka akan mencerca dan mengaibkannya. (Syarh Kabir 2/697).
Secara kesimpulan, pemberian zakat kepada bukan Islam mestilah dilihat kepada maslahah dan berdasarkan siyasah syar’iyyah (politik Islam). Jika ia bertujuan dakwah dan pengembangan Agama Islam, maka ia satu tindakan yang wajar dan bertepatan dengan syarak.
What are you thinking?