Malam tadi saya mendapat berita mengejutkan. Seorang sahabat karib saya telah kembali ke rahmatullah, Ustaz Wan Mohd Salimi bin Wan Sulong. Pemergiannya ketika usia masih muda, 30 tahun. Meninggalkan seorang balu dan tiga anak yang masih kecil. Dipercayai berpunca daripada kecederaan akibat kemalangan beberapa bulan yang lalu.
Mengimbau persahabatan kami selama 7 tahun di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu, saya boleh menyaksikan bahawa beliau adalah seorang yang sangat mencintai ilmu. Bersungguh-sungguh mencari guru dan rajin menadah kitab.
Masih terimbas kenangan bersamanya mengaji kitab dengan Al-Marhum Tuan Guru Hj Abdul Rahman Fatani, dan Ustaz Azhar Idrus. Juga kuliah mingguan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang setiap pagi Jumaat. Di waktu cuti sekolah, pergi ke Pondok Pasir Tumbuh. Dalam apa jua program ilmu, beliaulah yang terkedepan menghadirinya.
Beliau adalah pemilik blog: http://aisaralex.blogspot.com
Kini, sampai masanya beliau meninggalkan sahabat-sahabatnya. Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya dan menggolongkannya bersama para syuhada dan solehin.
Takziah buat keluarga Ust Wan Mohd Salimi Wan Sulong. Semoga Allah Taala membalas kesabaran mereka dengan ganjaran yang besar di sisiNya.
Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati
Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati
Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa
Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi
Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami
Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Kau sahabatku kau teman sejati
What are you thinking?