Skip to content

Fenomena Berani Berfatwa

07/09/2009

Sejak kebelakangan ini kelihatan satu gejala yang melanda sebahagian orang Islam, iaitu berani berfatwa. Setiap kali timbul isu yang melibatkan hukum-hakam agama, maka menjelmalah ramai ‘mujtahid’ yang pantas mengutarakan pendapat mereka. Adakalanya, ‘fatwa-fatwa’ mereka kelihatan mendahului keputusan ahli-ahli fatwa yang lebih berautoriti.

Pernah satu ketika timbul isu yang agak menggemparkan negara, yang ada hubung kait dengan hukum agama. Seperti biasa, ramailah penceramah berfatwa dalam pidatonya, dan penulis pula berhukum melalui pena dan keyboardnya. Walhal dari sudut hukumnya, ia termasuk dalam hukum yang disepakati atau yang sudah ijmak di kalangan fuqaha. Lantaran kejahilan tentang ijmak, atau kejahilan tentang wajibnya menuruti ijmak, golongan seperti ini berani menghebahkan pandangan peribadi yang menyalahi ijmak silam para ulama.

Lihatlah bagaimana permasalahan feqah yang disepakati oleh fuqaha, apabila dibincangkan oleh orang-orang bukan ulama, alih-alih ia menjadi masalah khilaf yang bercabang-cabang pendapatnya. Agaknya, kalau masalah feqah yang sepatutnya khilaf kepada tiga pendapat, jika dibiarkan golongan ini berhukum dan berfatwa, mungkin perselisihan akan jadi 20 pendapat!!!

Berani dan pantasnya mereka berfatwa benar-benar menghairankan. Seakan-akan tidak pernah menghayati satu firman Allah yang termaktub dalam Surah Al-A’raf:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنزلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, samada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. (Al-A’raf: 33)

Jika kita menyedari kenapa dalam ayat di atas, dosa bertutur tentang Allah dengan jahil dirangkaikan bersama dosa syirik kepada Allah, pasti kita akan ketahui betapa besarnya jenayah memberi fatwa tentang agama tanpa ilmu.

Malang apabila ada kalangan orang Islam menganggap berfatwa adalah satu hobi yang menarik. Sesiapa sahaja boleh menceburi, asalkan mempunyai selonggok buku agama ataupun beberapa keping CD maktabah kitab. Walhal para salaf bertolak-tolak dan mengelak daripada memberi fatwa.

Ibn Abi Laila berkata, “Aku menemui 120 orang ansar dari kalangan sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Apabila salah seorang ditanya masalah, dia akan menolak supaya diaju kepada yang lain. Yang lain pula menolak supaya diaju kepada yang lain, sehingga kembali kepada orang pertama”.

Golongan salaf merasakan urusan fatwa adalah satu amanah yang sangat besar. Bukan sekadar memberi jawapan segera kepada penyoal bahawa hukum ini halal, dan hukum ini haram. Tetapi ia berkait dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Imam Malik pernah disoal 50 masalah, tetapi beliau tidak menjawab walau satu soalan pun. Imam Malik berkata, “Sesiapa yang mahu menjawab, maka sebelum menjawabnya hendaklah merentangkan dirinya di atas syurga dan neraka, dan bagaimana kesudahannya di akhirat, barulah dia menjawab”.

Kita juga hairan kenapa para ulama yang muktabar cukup berhati-hati dan kerap mengambil jalan tawaqquf apabila berdepan dengan hukum Allah, tetapi orang-orang yang tidak pernah diiktiraf sebagai ulama apatah lagi sebagai mujtahid begitu berani dan boros dalam berfatwa.

Imam Sahnun pernah disoal satu masalah oleh seorang lelaki. Lalu tiga hari lelaki itu berulang-alik kepada Sahnun dan mendesaknya, “Soalan aku, -semoga Allah membaikkan urusanmu-“.

Sahnun berkata, “Wahai sahabat, apa yang boleh aku lakukan dengan soalanmu. Ia rumit. Dalamnya ada banyak pendapat. Dan aku kebingungan padanya”.

Lelaki itu berkata, “Kamu (layak menjawab) untuk semua soalan yang rumit”.

Sahnun berkata, “Jauh sekali wahai anak saudaraku. Kata-katamu itu bukanlah lebih mendedahkan kamu daripada daging dan tulangku kepada api neraka. Alangkah banyak apa yang aku tidak mengetahui”.

Sahnun berkata lagi, “Kalau kamu sabar, aku harap kamu boleh kembali semula dengan persoalan kamu ini. Kalau kamu mahu bertanya kepada orang lain selainku, pergilah dan masalah kamu itu mungkin dijawab segera dalam masa sekejap sahaja”.

Demikian cermat dan waraknya para mujtahid dalam memberi fatwa. Mereka menangguh-nangguh jawapan bukan kerana mereka jahil. Tetapi kerana takut kepada Allah. Ibn Solah berkata, “Dalam kalangan mereka ada yang melambat-lambatkan menjawab soalan yang dia tidak ragu padanya (yakni: tahu jawapannya), dan mereka bertawaqquf dalam masalah yang mudah yang dia boleh menjawabnya”.

Sebaliknya, orang-orang yang tidak berilmu pula yang malu untuk tawaqquf, dan malu untuk menyebut ‘aku tidak tahu’. Tetapi tidak pula merasa malu dan segan kepada Allah untuk bercakap tentang hukum-hakamNya tanpa ilmu.

Pantas berfatwa walau tanpa usul periksa adalah tanda bahawa Tuhan tidak memberi taufiq kepada seseorang. Al-Khatib Al-Baghdadi berkata, “Sedikit sahaja orang yang gemar memberi fatwa, berlumba-lumba memberi fatwa, dan senantiasa memberi fatwa, kecuali kuranglah taufiq Allah kepadanya”.

Ia juga tanda bahawa kurangnya ilmu seseorang, walau lagaknya seperti ilmuan. Al-Sakhtiyani berkata, “Orang yang paling pantas memberi fatwa, dialah yang paling sedikit ilmunya tentang khilaf ulama”.

Maka berhati-hatilah dalam berbicara pasal hukum-hakam. Tidak ada keaiban bagi orang yang enggan menjawab soalan atau menjawab dengan kalimah ‘Allahu A’lam’. Tetapi aib yang besar bagi sesiapa yang menjawab segala persoalan dengan kejahilan atau kelewaan. Ibn Mas’ud berkata, “Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan yang diajukan kepadanya, adalah orang gila”.

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita, dengan menuruti jalan para salaf. Iaitu jalan orang-orang yang warak dalam bertutur terhadap hukum-hakam Allah. Dan hendaklah kita merasa malu dan takut kepada Allah, melebihi malu sesama manusia.

Advertisement
13 Comments leave one →
  1. Anonymous permalink
    07/09/2009 11:06 am

    memang pun manusia suka berfatwa daripada bertaqwa………asalkan ideologi masing masing dapat dipenuhi……yang perjuangkan islam dan yang perjuangkan separuh pun sama……..

  2. Musyarakah permalink
    07/09/2009 2:28 pm

    BarakaLlahu Fik..Mer Kaseh ustaz…

  3. mujahidhisyam permalink
    07/09/2009 6:44 pm

    lebih mengharu-birukan keadaan apabila zaman cyber ni ramai yang memiliki blog dan laman web peribadi. sebagaimana yang ustaz sebutkan di atas, pantang ada sesuatu isu, pasti ramai yang akan memberikan pendapat melalui blog masing2 tanpa sandaran quran dan sunnah yang jelas. kebanyakannya hanya pandangan akal semata2.

  4. jkl permalink
    08/09/2009 1:27 pm

    Syeikh Abu Umair -hafizahullahu wa saddada khutahu- ,

    Siapakah yang dibenarkan, secara ringkas, berfatwa? Khususnya, pada zaman ini.

    Al-Luknawi -kalau tak silap- mengatakan bahawa yang dikira muhaddis pada zaman ini ialah mereka yang menghafal 1000 hadis saja. Katanya, ia berubah mengikut zaman.

    Adakah perkara seperti ini berlaku juga dalam ifta’?

    Jazakumullahu khairan

    • 11/09/2009 6:23 am

      Al-akh jkl,

      – Keahlian fatwa seperti mana yang disebut oleh ulama, terdapat syarat-syaratnya. Cuma pada zaman sedikitnya ulama, mungkin boleh dipakai syarat-syarat minima, sebagai melaksanakan tugas fardhu kifayah.

      – In Sya Allah, dunia Islam tidak kekurangan mereka yang dikurniakan ilmu untuk menjawab permasalahan2 ummah. Antaranya, majmak-majmak feqah yang mengumpulkan ulama seluruh dunia untuk membuat ijtihad secara jamaie.

  5. Luqman permalink
    09/09/2009 7:43 pm

    satu tazkirah yang baik bagi kami yang masih pemula dalam menuntut ilmu … harap kami dijauhkan daripada perkara ini

  6. 11/09/2009 5:51 am

    Assalamu’alaikum ustadz

    Terima kasih atas tadzkirah yang sangat2 bermakna ini.

    1. Saya kadang2 memberikan jawapan dari soalan2 rakan berdasarkan soal-jawab feqh yang pernah saya baca dan ingat. Adakah ini termasuk dlm terburu-buru dalam memberikan jawapan?

    2. Harap2 ustadz sudi ke website saya utk menegur apa2 yang tidak patut, http://www.muzir.wordpress.com. Kebanyakannya nasihat2 umum. Saya risau jika saya termasuk dlm golongan yang ustadz mentioned di atas.

    Terima kasih.

  7. 11/09/2009 6:14 am

    Waalaikumussalam,

    al-akh shahmuzir,

    – Menukilkan fatwa tidak seberat tugas berfatwa. Kerana berfatwa memerlukan keahlian dalam ilmu selain faham permasalahan.

    – Adapun menukilkan fatwa, seseorang perlu dhabit (ingat atau catat) sesuatu fatwa seseorang alim, dan berkeyakinan bahawa soalan yang diajukan kepadanya sama betul-betul dengan fatwa yang dia nukilkan daripada mana-mana ahli fatwa.

    – Selain itu, sebaik-baiknya disebutkan siapakah ahli fatwa yang dinukilkan.

    – Jika dia ragu-ragu, tidak boleh menjawab secara ‘rasa-rasanya…’ atau ‘kalau tak silap..’. Jika ragu-ragu, hendaklah senyap.

    – Jika berkeyakinan bahawa soalan yang diajukan sama dengan bentuk soalan yang pernah difatwakan oleh ahli fatwa, maka bolehlah menukilkannya.

    – Alhamdulillah, blog akhie sarat dengan bahan-bahan yang bermanfaat. Mudah-mudahan pengunjung dapat banyak manfaat darinya. Tenruskan ngeblog..

  8. 11/09/2009 12:43 pm

    salam ustaz..
    saya pun memiliki perasaan yg sama dgn shahmuzir..
    terima kasih ats penjelasan tu.. amat bermakna bg saya..

  9. 14/09/2009 11:10 am

    assalamu3alaikum wrm wbt ustaz.

    terima kasih atas pengisian dan peringatan yang begitu terperinci. semoga Allah menjauhkan kita semua dari sikap bermudah-mudahan dalam memberikan fatwa.

  10. amran mahmood permalink
    14/09/2010 5:26 pm

    Salam Ustaz,

    Saya ada sedikit kemusykilan antara berfatwa dgn menegur atau saling memperingati sebagaimana dalam surah Al-Asr. Boleh ustaz jelaskan lebih mendalam sebab ada org bila kita tegur dia cakap kita mengeluarkan fatwa. Saya pun dah keliru samada saya betul atau tidak. Kisahnya saya menegur pasal iklan hari raya oleh TV3 baru2 ini…saya nyatakan kita tidak boleh menganggap perayaan kita sama dgn perayaan lain atau mencampuradukkan atau menyambutnya spt perayaan lain. Itu salah disisi agama dan boleh merosakkan aqidah. Saya berikan nas surah Al-Kafirun. Saya juga mempersoalkan bagaimana iklan itu boleh diluluskan oleh seorang muslim walaupun yg buat iklan tu bukan muslim. Niat saya hanyalah memperingati sesama muslim dan sbg orang Islam, saya cukup terasa dgn iklan tersebut. Bagi kawan saya pula merasakan saya tidak perlu perbesarkan hal itu kerana pihak tv3 dah minta maaf dan dia kata memang patut pun sbb yg buat tu bukan muslim dan krew2 pula memang jahil agama…jgn salahkan sesiapa dalam hal ni…jadi saya tak payah bising2 atau pun menegur atau pun nak keluarkan fatwa sendiri yg perkara tersebut haram ke, tak boleh ke sbb saya bukan ahli agama. Mufti2 dan ustaz2 pun tak cakap apa2 pasal tu. Saya berharap ustaz boleh jelaskan samada dalam hal macam ni adakah saya berfatwa tanpa ilmu atau pun saya menegur tanpa usul periksa…adakah nas surah Al-Kafirun bukan utk hal2 spt ini…secara ikhlas apa pandangan ustaz tentang iklan ini setakat mana ilmu yang ustaz ada… selebihnya harap ustaz dapat jelaskan lagi pasal berfatwa ni.., bezanya dgn tegur menegur berdasarkan nas yg dah ada dalam Quran.. kerana dikhuatiri orang takut membicarakan soal agama dan saling tegur menegur kerana beliau bukan seorang ahli agama yang mendapat pengiktirafan setaraf Imam Malik dan Imam Sahnun..

Trackbacks

  1. Fenomena berani berfatwa « Learn something by Tomy gnt

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: