“Susahlah nak hafal Quran…”, “Saya dah hafal hadis ni dulu, sekarang dah lupa..”, “Macamana cara nak bagi lekat apa yang kita hafal?”. Bermacam-macam keluhan dan persoalan kedengaran dari mulut-mulut penuntut-penuntut ilmu.
Rupa-rupanya ramai yang tidak tahu kaedah hafalan yang betul. Maksud hafalan yang betul, bukan setakat bagaimana cara nak mengingat. Sebab ramai orang boleh menghafal sesuatu ayat atau hadis dalam masa beberapa minit, malah beberapa saat!! Masalahnya, berapa lama hafalan itu kekal dalam memori. Sehari? Seminggu? Atau sebulan? Mungkin boleh tahan sampai setahun? Atau mungkin boleh sampai sepanjang hayat?
Katakan seseorang mahu menghafal hadis-hadis dalam kitab Bulugh al-Maram. Pada hari pertama, ambil satu hadis sahaja dan baca berulang kali sebanyak 300 kali.
Pada hari kedua, hafal pula hadis kedua, ulang sebanyak 300 kali juga. Selepas dihafal untuk hari kedua, ulang pula hadis hari pertama sebanyak 150 kali.
Masuk hari ketiga, hafal hadis baru. Ulang sebanyak 300 kali. Kemudian ulang hadis sebelumnya (hari kedua) sebanyak 150 kali. Dan ulang hadis hari pertama sebanyak 75 kali.
Pada hari keempat, hafal hadis baru. Ulang sebanyak 300 kali. Kemudian, ulang hadis hari ketiga sebanyak 150 kali, hadis hari kedua sebanyak 75 kali, dan hadis hari pertama sebanyak 35 kali. Ikutlah kaedah ini pada hari-hari berikutnya.
Ini bererti, satu-satu hadis yang dihafal sekurang-kurangnya dalam masa empat hari sudah diulang sebanyak: 300 + 150 + 75 + 35. Jawapnnya: 560 kali!!!
Untuk hafalan Al-Quran juga, kaedah sama digunakan. Cuma mereka di Mauritania kebiasaan memulakan hafalan Al-Quran dengan mengulang satu muka sebanyak 500 kali. Keesokannya diulang sebanyak 250 kali. Hari seterusnya diulang sebanyak 125 kali. Hari keempat diulang sebanyak 60 kali. Jumlahnya hampir 1000 kali!!!
Kelebihan cara ini, hafalan yang dibuat akan masuk dalam memori jangka panjang dan berkekalan sampai bila-bila. Ia akan jadi seperti bacaan Fatihah. Cuma, memerlukan sedikit kerajinan dan istiqamah. Tetapi hasilnya amat bermanfaat.
Untuk memudahkan anda mengira jumlah ulangan, anda boleh menggunakan alat mengira, samada jenis lama atau jenis digital. Kalau mahu menggunakan jari pun boleh, cuma memenatkan. Anda juga boleh menggunakan tasbih bertali untuk membantu mengira ulangan anda. Cuma ada baiknya, menggunakan alat seperti tally counter.
Dengan cara hafalan seperti inilah, kita melihat ulama-ulama Syanaqitah (Mauritania) malahan penuntut-penuntut ilmu di sana mampu menghafal satu-satu matan dari kulit ke kulit. Ada diceritakan seorang kanak-kanak perempuan belasan tahun mampu hafal Al-Kamus Al-Muhith. Banyak lagi cerita tentang hafalan mereka yang sangat ajaib. Sebenarnya, setiap orang mampu membuat keajaiban. Rahsianya ialah kesungguhan, kerajinan, dan istiqamah. Anda juga mampu melakukannya.
Sekian.
Leave a reply to albaruhiyy Cancel reply