Skip to content

“Saya Tidak Tahu…”

04/07/2008

“Saya tidak tahu…” Itulah perkataan yang paling berat disebut oleh sebahagian mereka yang bergelar ustaz dan ustazah apabila diajukan soalan-soalan agama. Golongan ini sangat fobia dengan perkataan tidak tahu, tidak ingat, lupa dan seumpamanya. Malu jika orang tahu bahawa dia tidak tahu. Takut jawapan sebegini mengaibkannya. Takut selepas ini orang tidak lagi menghormatinya. Ustaz yang terkena sindrom ini apabila disoal fatwa yang dia tidak tahu jawapannya, dia akan cuba menutup kelemahan dirinya. Caranya ialah dengan berlagak tahu, dan cuba menjawabnya secara rambang

Aib sangatkah ucapan ‘saya tidak tahu’ sehingga ada yang sanggup menggadai amanah ilmu kerana malu menyebutnya? Berdosakah seorang ustaz jika tidak menjawab soalan yang dia tidak tahu atau tidak yakin?

Hakikatnya, seorang ustaz yang menjawab segala permasalahan agama adalah seorang individu yang tidak waras!!! Ibn Abbas r.a. berkata: “Sesiapa yang berfatwa dalam segala masalah yang ditanya oleh orang ramai, maka dia adalah orang gila”. Kerana, tidak mungkin seorang insan dapat menguasai segala ilmu tanpa ada sedikit pun kekurangan.

Allah Taala sudah memberi amaran supaya tidak sewenang-wenang mengeluarkan hukum-hakam agama tanpa ilmu. FirmanNya: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”. (Al-Nahl: 116).

Di dalam satu hadis yang direkod oleh Ahmad, Abu Daud dan lain-lain, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa berfatwa tanpa ilmu, maka dosanya adalah bagi orang yang berfatwa”.

Para ustaz sewajarnya membayangkan dosa dan pahala, syurga dan neraka di hadapannya sebelum menjawab soalan-soalan agama. Sebagaimana nasihat Imam Malik: “Sesiapa disoal satu masalah, maka sebelum menjawabnya hendaklah dirinya membayangkan syurga dan neraka, dan bagaimanakah untuk melepaskan diri pada hari akhirat. Selepas itu, barulah menjawab soalan”.

Kalau tahu jawapannya, Alhamdulillah. Kalau tidak tahu, maka sebutlah, “Saya tidak tahu”.

Imam Malik pernah ditanya satu soalan. Lalu beliau menjawab, “Saya tidak tahu”. Si penyoal itupun berkata, “Imam, ini soalan ringan sahaja…”. Imam Malik lantas berkata, “Dalam ilmu, tidak ada satu pun yang ringan. Tidak pernahkah kamu mendengar firman Allah: Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. (Al-Muzzammil: 5). Dalam ilmu, semuanya berat”.

Atho’ Bin Abi Rabah menceritakan betapa para salaf dan sahabat sangat gentar mengungkapkan hukum-hakam Allah Taala. Katanya: “Aku sempat bertemu dengan beberapa kumpulan manusia, apabila salah seorang mereka ditanya suatu permasalahan, dia menjawabnya dalam keadaan menggeletar”.

Utbah Bin Muslim menceritakan tentang Ibn Umar r.a. Katanya, “Aku bersahabat dengan Ibn Umar selama 34 bulan. Apabila ditanya soalan kepadanya, kerap kali dia menjawab: Aku tidak tahu”.

Imam Syafie juga seorang yang amat berhati-hati dalam menjawab soalan. Pernah beliau ditanya satu soalan, lalu beliau senyap tanpa menjawab. Penyoal itu bertanya, “Adakah kamu tidak mahu menjawabnya?” Jawab Imam Syafie: “Sehingga aku mengetahui adakah kelebihan terletak pada jawapanku atau pada diamku”.

Kalaulah para salaf amat berhati-hati dalam menyebut hukum Allah, dan tidak segan menyebut, “Aku tidak tahu”, apakah kita yang amat jauh dengan ilmu masih malu menyebutnya, dan memandang ringan dalam mengucapkan satu-satu fatwa?!!

Advertisements
2 Comments leave one →
  1. ahchonx permalink
    04/07/2008 8:26 pm

    Jazakallah ya Ustaz atas nasihat ini,

    walaupun saya ni bukan ustaz, tapi nasihat ini berguna untuk saya juga. Kekadang atas dasar “nampak alim” orang yang bukan ustaz juga sering menyebut2 tentang hukum apabila ditanya.

    Seperti mana ustaz sebut, kalau betul tahu, alhamdulillah kita sampaikan. Terima kasih ustaz atas nasihat ini sekali lagi.

  2. aaaa permalink
    12/07/2008 9:45 am

    assalamualaikum
    syaikhana, apa beze antara fiqh ahli hadis dengan fiqh ahli fiqg? ada perbezaan

    Waalaikumussalam
    Sebenarnya antara fiqh dan hadith masing-masing tidak dapat dipisahkan. Ahli hadith mesti ada feqh, dan ahli feqah mesti tahu hadith. Hadith tanpa feqh umpama asas yang tidak ada binaan. Dan feqh tanpa hadith umpama bangunan yang tidak ada asas.
    Jadi, samada ahli feqah atau ahli hadith semuanya mestilah ada kefahaman feqah yang diambil daripada hadith2. Begitulah perihal salaf dahulu. Lihatlah para sahabat yang banyak menghafal hadith, mereka jugalah fuqaha yang memberi fatwa.

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: