Mungkin kita pernah mendengar orang membuat perbandingan antara ilmu hadis dan ilmu feqah, mana satu yang patut dipelajari. Ada yang mengutamakan hadis semata-mata, dan ada juga yang mengutamakan feqah semata-mata. Tidak kurang juga yang memilih salah satu daripada keduanya, sambil memperlekehkan yang lain.
Bagi seorang penuntut ilmu, perbandingan seumpama ini tidak menguntungkan. Yang sepatutnya dilakukan ialah cuba menguasai kedua-dua jenis ilmu ini; hadis dan feqah. Inilah yang dituntut oleh syarak dan memberi faedah kepada perjalanan akademiknya.
Imam Syafie (wafat: 204H) telah memberi wasiat tentang kepentingan dua ilmu ini dalam satu bait syairnya:
Segala ilmu selain Al-Quran adalah batil,
Kecuali hadis dan feqah dalam agama.
Ilmu hadis adalah petunjuk dan dalil, manakala ilmu feqah pula adalah natijah kefahaman daripada hadis. Apakah ertinya seseorang yang tenggelam dalam ilmu hadis dengan segala macam cabang-cabangnya, mempelajari mustalahnya, jalur-jalur hadisnya, perawi-perawinya, tetapi tidak memahami makna hadis, permasalahan-permasalahannya dan istinbat feqah daripadanya.
Dan apakah ertinya seseorang yang menguasai ilmu feqah dengan segala masalah-masalah furuknya, tetapi tidak tahu tentang dalil-dalinya, dan tidak pasti adakah pendapat yang dipegangnya disokong oleh hujah atau tidak.
Imam Khattabi (wafat: 388H) di dalam mukaddimah kitabnya Maalim Al-Sunan menyebut bahawa pada zamannya sudah ada bibit-bibit pemisahan antara ahli hadis dan ahli feqah. Kata beliau: “Sesungguhnya aku melihat ahli-ahli ilmu pada zaman kita telah berpecah kepada dua kelompok, iaitu; ahli hadis dan ahli feqah. Setiap daripada dua ilmu itu tidak ada keistimewaan tersendiri kerana kedua-duanya memerlukan antara satu sama lain”.
Kemudian, beliau membuat satu perbandingan antara ilmu hadis dan ilmu feqah yang menunjukkan bahawa kedua-duanya adalah penting, dan tidak boleh ditumpukan kepada salah satu sahaja. Kata beliau: “Hadis ibarat asas yang menjadi tunjang, dan feqah pula ibarat binaan di atasnya. Setiap binaan yang tidak didirikan di atas asas akan runtuh. Dan setiap asas binaan yang tidak didirikan apa-apa di atasnya akan binasa”.
Beliau mengatakan demikian kerana melihat kebanyakan ahli hadis pada zamannya hanya menumpukan kepada pengumpulan riwayat, dan mencari hadis-hadis gharib dan syaz. Dalam masa yang sama tidak mengambil perhatian terhadap maksud teks hadis, tafsiran-tafsiran lafaz hadis, dan istinbat-istinbat feqahnya. Malahan, dari kalangan mereka ada yang memperlekehkan fuqaha, dan menuduh mereka sebagai menyalahi sunnah.
Sebahagian fuqaha pula tidak banyak menyandarkan pendapat-pendapat mereka kepada hadis. Yang menyebut hadis pula tidak dapat membezakan antara sahih dan dhaif. Asalkan pendapat itu adalah pendapat mazhabnya, maka itulah yang dipegang walaupun menyalahi hadis sahih yang jelas. Inilah gambaran pemisahan antara ahli hadis dan ahli feqah yang disebut oleh Imam Khattabi.
Maka, penuntut ilmu yang sebenar mesti menggabungkan antara dua ilmu; hadis dan feqah. Tidak salah melebihkan tumpuan kepada salah satunya, cuma jangan sampai diabaikan yang satu lagi. Kerana dua-dua ilmu ini saling menyempurnakan antara satu sama lain.
What are you thinking?