Skip to content

Merejam Syaitan di Jamrah?

09/12/2008

Melontar jamrah adalah salah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan dalam ibadah haji.  Ia dilakukan bermula dengan lontaran di Jamrah Aqabah pada hari raya Eidul Adha sebagai salah satu amalan tahallul, kemudian diikuti dengan lontaran ketiga-tiga jamrah pada tiga hari berikutnya yang dinamakan Hari-hari Tasyriq.

jamrah1

Namun, tersebar di kalangan orang awam terutama yang mengerjakan haji bahawa ibadah melontar jamrah merupakan simbol kepada merejam dan memusuhi syaitan yang dilaknati Allah. Maka kerap kali kita mendengar kepercayaan ini diselitkan dalam khutbah-khutbah Hari Raya Eidul Adha ataupun dalam siri-siri ceramah haji.

Lebih daripada itu, ada juga kepercayaan kononnya pada hari raya Eidul Adha dan pada Hari-hari Tasyriq, syaitan dan kuncu-kuncunya berada di tiga jamrah tersebut. Oleh itu melontar jamrah bukan setakat simbolik permusuhan dengan syaitan, malahan satu rejaman yang sebenar terhadap makhluk itu. Saya tertarik dengan hujah logik Dr Asri dalam artikel yang bertajuk: Haji, Antara Falsafah, Tokok Tambah dan Nas.

Beliau menyebut, “Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia?”.

Sebenarnya, fakta yang mesti didedahkan kepada jemaah haji ialah kepercayaan bahawa melontar batu di tiga jamrah yang terletak di Mina, adalah satu ibadah untuk mengingatkan kepada Allah Taala, dan mengikuti sunnah Rasul-Nya Sallallahu Alaihi Wasallam ketika haji. Ia adalah satu bentuk zikir kepada Allah. Sebagaimana sembahyang adalah satu zikir kepada Allah, begitu juga melontar jamrah adalah satu zikir kepada Allah.

Ini disokong oleh kenyataan Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam sendiri, di dalam sabdanya, “Sesungguhnya dijadikan tawaf di Kaabah, saie antara Safa dan Marwah, dan lontaran jamrah-jamrah adalah untuk menegakkan zikir kepada Allah”. Hadis ini direkod oleh Abu Daud dan Tirmizi dan beliau menilainya sebagai ‘hasan sahih’.

Jelas, falsafah yang diajar oleh baginda dalam melakukan ibadah melontar ialah ia sebagai satu bentuk zikir kepada Allah Taala. Kerana itu, antara sunnah yang dianjurkan ketika melontar ialah mengiringi setiap lontaran dengan ungkapan “Allahu Akbar”, sebagaimana termaktub dalam hadis yang sahih.

Malangnya, mereka yang berpegang kepada kepercayaan merejam syaitan tidak merasa cukup dengan zikir “Allahu Akbar” yang diajar oleh baginda. Ditokok tambah pula dengan bacaan-bacaan lain agar selari dengan falsafah merejam syaitan. Akhirnya, tersebarlah satu doa tambahan yang masyhur dibaca ketika melontar iaitu, “Allahumma Rajman Li as-Syaitani Wa Hizbih”. Yang bermaksud, “Wahai Tuhan, (aku melakukannya) sebagai rejaman kepada syaitan dan kuncu-kuncunya”.

Amat menyedihkan, apabila ada jemaah tidak bertakbir semasa melontar, tetapi doa rejaman syaitan tidak pernah dilupakan setiap kali lontaran. Bacaan yang sunnah ditinggalkan, diganti pula dengan bacaan yang direka-reka.

Kepercayaan merejam syaitan di jamrah juga mengakibatkan ibadah ini dilakukan dengan penuh rasa kemarahan dan batu juga dilontar dengan sepenuh kudratnya. Saya sendiri pernah menyaksikan seorang rakan yang bergelar ustaz, melontar anak batu di jamrah dengan cara melompat dan berteriak dengan sekuat hatinya. Entah apa perkataan yang keluar dari mulutnya ketika itu. Padahal, tindakan seperti itu hanya mengganggu ketenangan jemaah lain dan mengundang suasana hingar bingar di tempat ibadah.

Kerana kepercayaan merejam syaitan ini juga, kita saksikan ada jemaah melontar dengan batu-batu yang besar, melampaui saiz anak batu yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kononnya supaya syaitan lebih merasa terseksa dengan rejaman itu. Tidak cukup dengan rejaman tujuh anak batu di satu-satu jamrah, ditambah pula dengan melontar benda-benda lain seperti selipar, kayu , sampah dan sebagainya.

Inilah natijahnya jika satu-satu ibadah tidak dijelaskan konsep yang sebenar. Ibadah yang sepatutnya dilakukan dalam penuh ketenangan dan khusyuk, bertukar menjadi satu tindakan yang kasar dan keras. Jauh daripada petunjuk Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, dan melencong daripada maksud yang sebenar.

Maka amat wajar agar para penceramah, penganjur-penganjur kursus haji, penulis-penulis di akhbar atau di blog dan laman web, supaya apabila menuturkan satu-satu kenyataan tentang agama, khasnya berkaitan ibadah, hendaklah merujuk kepada sumber-sumber yang sahih. Jauhilah kepercayaan-kepercayaan yang tidak betul walaupun ia kedengaran menarik.

Advertisements
3 Comments leave one →
  1. SHAMSUL permalink
    16/06/2009 4:23 am

    Syukur Alhamdulillah anda terbitkn blog ni..
    kerana semakin hari semakin byk ajaran tambahan yg menular dlm masyarakat islam hari ini.
    terima kasih diucapkan

  2. 25/11/2009 8:44 am

    Syukran ustaz..
    Akhirnya, dapat penyelesaian mengenai melontar batu di Jamrah ini.

  3. noor permalink
    06/10/2014 7:48 am

    Hingga kini saya tertanya tanya bagaimana lahirnya tatacara/rukun haji kerana dalam quran tidak ada diterangkan kechuali perkataan haji. Lebih lebih lagi tentang rukun melontar jamrah dan marwah sofa. Apakah ia firasat ,ilham,rekaan nabi kerana tidak ada tanda tanda nabi menerima wahyu. Lebih lebih lagi nampak seperti budaya kerana kita tidak nampak pun dan pasti apakah syaitan masih berada disitu sedangkan kepercayan
    kita syaitan berada dimana mana.

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: