
Bagi sesiapa yang pernah menetap di negara-negara Arab, perkataan Qahwah pasti tidak asing lagi baginya. Kerana ia adalah minuman rutin masyarakat Arab, dan menjadi hidangan wajib untuk tetamu. Perkataan Qahwah bermaksud kopi. Walaupun kopi adalah minuman panas yang dikenali hampir di seluruh dunia, namun minuman Qahwah Arab adalah lebih istimewa, terutama rasa pahitnya kerana ia tidak dicampur gula, dihidangkan pula bersama makanan manis seperti kurma, dan aromanya yang menyebabkan peminumnya agak ketagihan.
Kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca cara-cara menyediakan Qahwah Arab yang masyhur di Tanah Hijjaz. Cara-cara penyediaannya adalah untuk lebih kurang 1 liter air.
Bahan-bahan:
1- Bun (bijirin kopi) yang dikisar. Jenis-jenis kopi boleh dipilih mengikut kegemaran masing-masing.
2- Bunga cengkih yang dikisar halus. Dalam Bahasa Arab disebut Qaranful, atau lebih dikenali di kedai rempah ratus dengan nama ‘mismar’.
3- Buah pelaga yang dikisar halus. Orang Arab menamakannya ‘Heel’ الهيل
Cara-cara menyediakannya:
1- Panaskan air sehingga mendidih.
2- Selepas air mendidih, perlahankan api dan masukkan tiga sudu besar serbuk qahwah.
3- Biarkan ia di atas api yang perlahan selama lebih kurang 10 minit.
4- Selepas 10 minit, tutup api dan biarkan ia selama 2 minit supaya keladak serbuk kopi termendap di bawah.
5- Masukkan setengah sudu kecil serbuk bunga cengkih dan dua sudu kecil serbuk buah pelaga ke dalam termos.
6- Tuangkan air qahwah (kopi) tadi ke dalam termos, tanpa memasukkan keladaknya yang termendap.
Hidangan:
Qahwah yang sudah siap boleh dihidangkan dan dinikmati pada bila-bila masa samada pagi, petang atau malam. Rasanya yang agak pahit sesuai diminum bersama-sama dengan hidangan buah tamar yang manis.
What are you thinking?