Skip to content

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Menurut Siasah Syar’iyyah

31/07/2009

Bismillah. Selawat dan Salam ke atas Rasulillah Sallallahu Alaihi Wasallam.

PENDAHULUAN
Sejak Kerajaan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali dengan ISA pada tahun 1960, banyak kontroversi timbul tentang akta ini. Tidak berperikemanusiaan, zalim, melanggar hak asasi manusia, bercanggah dengan Quran dan Sunnah, dan pelbagai reaksi diutarakan oleh sebahagian masyarakat.

“….Rakyat negara ini perlu berani membuat anjakan paradigma dalam menyatakan sokongan bagi membantah kezaliman dan kejahatan ISA yang digunakan sejak zaman penjajahan dulu….” Seru seorang wartawan dalam sebuah artikel akhbar politik tanahair.

Benarkah dakwaan bahawa ISA secara prinsipnya ialah satu kezaliman? Tepatkah kenyataan bahawa penahanan tanpa bicara tidak ada langsung sandarannya dalam syarak? Oleh itu akta ini wajib dihapuskan daripada undang-undang sesebuah negara bertamadun?

Atau mungkinkah penggunaan ISA pada asasnya diizinkan syarak, cuma perlaksanaannya mestilah dengan cara yang hak dan tidak menzalimi tahanan?

KONSEP PENAHANAN DALAM ISLAM
Dalam ilmu Qadha’ dan Politik Islam dibicarakan mengenai hukuman penahanan, atau penjara. Perlaksanaan penahanan atau penjara secara dasar diharuskan dalam Islam. Bahkan ulama bersepakat tentang fakta ini, berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Sunnah.

Penahanan seseorang individu oleh pihak berkuasa tidak semestinya disebabkan kesabitan jenayah oleh Mahkamah. Ada juga penahanan individu kerana langkah berwaspada demi menjaga maslahah umum dan mengelakkan keburukan. Oleh itu, sarjana Islam membahagikan motif penahanan kepada dua kategori:

Pertama: Penahanan Untuk Hukuman
Kedua: Penahanan Untuk Waspada

PENAHANAN UNTUK HUKUMAN
Penahanan hukuman ialah perlaksanaan penjara terhadap individu yang sudah sabit kesalahannya di mahkamah. Ia biasanya berkuatkuasa selepas mahkamah mensabitkan kesalahan seseorang individu dan menjatuhkan hukuman takzir penjara terhadapnya. Motif tahanan jenis ini ialah sebagai hukuman atau balasan kesalahannya supaya diambil pengajaran oleh dirinya dan masyarakat secara amnya.

PENAHANAN UNTUK WASPADA
Penahanan untuk waspada pula ialah penahanan terhadap individu yang belum disabitkan kesalahannya di mahkamah. Tetapi disebabkan maslahah, dia perlu ditahan sementara waktu.

Penahanan jenis ini dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Antaranya penahanan individu yang ditohmah melakukan kesalahan. Ia dikenali dengan tahanan reman. Tahanan reman bertujuan agar siasatan dapat dilakukan terhadap suspek secara menyeluruh.

Sungguhpun tahanan reman adalah tahanan terhadap individu sebelum dibicarakan di mahkamah, ia dibenarkan oleh syarak. Kerana tahanan jenis ini bermotifkan maslahah yang kuat, iaitu menjalankan soal siasat terhadap suspek.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang Yahudi yang dituduh membunuh seorang wanita dengan cara memecahkan kepalanya menggunakan batu. Selepas diambil pengakuan daripadanya, barulah dijatuhkan hukuman qisas terhadapnya. Peristiwa ini boleh dijadikan dalil bahawa perintah tahanan reman ada sandaran daripada syarak.

Antara jenis penahanan untuk waspada juga ialah penahanan individu yang dipercayai membawa ancaman kepada keselamatan awam atau keamanan negara. Biarpun individu itu tidak boleh didakwa di mahkamah, tetapi kewujudannya di tengah-tengah masyarakat boleh membawa mudarat terhadap orang awam dan keselamatan.

Jika pemerintah berpendapat bahawa seseorang individu memberi ancaman keselamatan, tetapi tidak ada bukti untuk ditohmah, maka pemerintah boleh menahannya sementara waktu sehingga ke satu tempoh yang sesuai.

Dalilnya, kisah Abu Sufian yang menghantar seorang lelaki ke Madinah untuk membunuh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Allah Taala telah mengkhabarkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tentang perancangan lelaki tersebut. Lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengeluarkan arahan supaya dia ditangkap. Apabila ditangkap, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan dia mahu melakukan pembunuhan kerana dia sudah awal-awal lagi menyembunyikan senjatanya. Pun begitu demi kemaslahatan, baginda mengarahkan supaya lelaki ini ditahan di rumah seorang sahabat, Usaid bin Hudhair.

Kisah ini menunjukkan harus bagi pemerintah mengeluarkan arahan tahanan terhadap seseorang yang dilihat membahayakan keselamatan, sekalipun dia belum melakukan jenayah apatah lagi untuk dibicarakan di mahkamah.  Penahanan orang seperti ini adalah berasaskan kepercayaan pemerintah bahawa kewujudannya di tengah-tengah masyarakat membawa bahaya.

Tetapi tempoh penahanan mestilah sekadar keperluan dan tidak dilakukan penganiayaan terhadap tahanan.

Ulama menyebut antara bentuk penahanan tanpa kesabitan kesalahan ialah jika berlaku pemberontakan oleh satu-satu kumpulan, kerajaan boleh menahan anak isteri para pemberontak buat sementara waktu supaya mereka tidak terpengaruh dan bersama-sama mengikut jejak pemberontak. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan pun, tetapi demi maslahah yang lebih besar mereka ditahan.

Maka difahami bahawa keizinan dikuatkuasakan penahanan tanpa bicara mahkamah, adalah kerana maslahah umum. Oleh itu pihak yang berhak mengeluarkan arahan ini ialah Ketua Negara.

AKTA ISA DARI SUDUT SYARAK
Berbalik kepada akta yang termaktub dalam perlembagaan negara kita. Bagi saya, akta ISA termasuk dalam kategori penahanan untuk waspada. Penahanan jenis ini di dalam siasah syar’iyyah adalah di bawah bidang kuasa pemerintah. Maka ia diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Agak kurang tepat orang yang berpendapat ia langsung tidak ada dalam Islam atau bercanggah dengan Quran dan Sunnah.

Cuma dari sudut perlaksanaan akta ini di negara kita, didapati ia tidak menepati syarat dan etika yang digariskan dalam siasah syar’iyyah. Berikut adalah contohnya:

1. Syarak membenarkan penahanan untuk waspada dalam kes-kes yang memberi ancaman kepada keselamatan, atau keamanan samada individu tertentu atau masyarakat. Tetapi apa yang berlaku hari ini, mereka yang tidak  membahayakan keselamatan pun turut menjadi mangsa. Dibimbangi akta ini hanya menjadi benteng politik pemerintah.

2. Tempoh penahanan yang dibenarkan syarak bagi penahanan untuk waspada ialah sekadar keperluan, kerana ia bukan satu bentuk hukuman. Maka, memanjangkan tempoh penahanan ISA sehingga 2 tahun atau lebih adalah tidak wajar.

3. Layanan yang sepatutnya diberikan kepada tahanan jenis ini tidak boleh disamakan dengan layanan banduan-banduan di penjara. Mereka yang dipenjara kerana sabit kesalahan boleh dilayan dengan sedikit kekerasan. Tetapi tahanan untuk waspada wajib dilayan sebagai seorang Muslim yang tidak bersalah. Apa yang diceritakan oleh bekas-bekas tahanan ISA, seolah-olah layanan terhadap mereka lebih teruk daripada layanan banduan yang merompak dan merogol.

KESIMPULAN
Secara ringkasnya, -Wallahu A’lam- penahanan tanpa bicara dibenarkan dalam Islam dalam kes-kes tertentu. Peruntukan ini adalah bagi  memelihara keselamatan awam. Tetapi hanya dalam lingkungan yang sangat sempit. Ia tidak wajar dijadikan senjata pemerintah untuk menjamin survival politik diri sendiri. Tempoh penahanan juga mesti dihadkan sekadar keperluan. Layanan kepada tahanan hendaklah secara ukhuwwah dan berperikemanusiaan, bukan dilayan sebagai banduan. Jangan sampai menzalimi tahanan dan keluarga mereka tanpa sabitan kesalahan.  Jika  Kerajaan berpendapat akta ini masih relevan untuk diamalkan, ia perlu kepada penambahbaikan dan kemaskini agar bertepatan dengan siasah Islamiyyah.

Wallahu A’lam.

Madinah, KSA. 19 Mei 2008 bersamaan 14 Jumada al-Awal 1429.

33 Comments
  1. 01/08/2009 1:42 am

    salam akhi.

    salam abuumair.. jemputlah dtg umah sempena perasmian blog http://abuaiman786.blogspot.com/
    mohon dilink kan blog anta di blog ana. syukran.

    • 01/08/2009 5:39 am

      Waalaikumussalam,
      Terima kasih atas kunjungan. Selamat berblog, semoga bermanfaat kepada masyarakat.

  2. 02/08/2009 5:23 am

    salam ustaz.. satu penulisan yg baik dari ustaz.. walaupun ramai yg mungkin tidak setuju, tapi keberanian ustaz menyatakan hal ini.. saya kagum.. :)

  3. 03/08/2009 3:44 am

    terima kasih atas artikel ini. sarat dengan informasi

  4. thalibulfadhilah permalink
    03/08/2009 1:42 pm

    assalam..Terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan.Cuma hendaklah disedari bahwa tidak sama kefahaman seorang yang menulis dari bilik sepi walaupun di tanah berkat nabawi dengan orang basah keletihan di medan. PAS tidak kekurangan ulama’ yang sangat matang ilmu dan hikmahnya samada muda atau tua. Tapi mereka berkerja secara jamaie, maka tak timbul ketokohan secara peribadi..Melihat kematangan mereka dalam berfikir dan bertindak, kadang2 segan untuk berpandangan di hadapan mereka.Mereka terlalu jauh di hadapan.

    • rhythma permalink
      03/08/2009 1:51 pm

      Salam,

      Siapa pun kita, dimana jua kita berada, jamai’e ke atau fardiy, rujukan utama tetap 2 perkara yang kita tidak akan sesat selama-lamanya. Kitabullah dan Sunnatur Rasul.

      Ikhtilaafu ummati rahmah. Kalau tidak bersetuju pandangan penulis, kita boleh berkongsi pandangan lain. Justeru, datangkanlah buah fikiran dan hamparan hujah kerana yang menyatukan kita adalah KEBENARAN, bukan TOHMAHAN!

    • fadzil permalink
      07/08/2009 4:47 am

      kalau begitu, nyatakan pula pandangan ‘orang basah keletihan di medan’. kita sama-sama kongsi. a’lillah PAS tidak kurang ulama yang matang ilmu dan hikmahnya, namun ke manakah mereka? beranikah mereka bersuara lagi setelah ada yang menyatakan pandangan lalu dianggap ‘sampah’dan disuruh letak jawatan? ayuh nyatakan lalu siapakah lebih matang dalam hal ini? jika sekadar ‘melihatkan kematangan mereka berfikir dan bertindak lalu segan untuk berpandangan’, maka akan lahirlah umat yang tak berani memberi pandangan, adalah golongan yang akan mengatakan mereka ‘always right’, dan tak mungkin melakukan kesilapan. ambillah iktibar kisah hang nadim. jangan dilahirkan ahli-ahli jemaah yang sekadar ‘taksub’ dengan ketua, yang bila ketua melakukan kesilapan, dikatakan mereka ianya satu kebenaran. hati-hatilah…

  5. muslim soleh permalink
    04/08/2009 6:09 am

    Tahniah.. Satu penulis yg penuh dgn infomasi. Saya yakin bahawa pertimbangan yg digunakan sblm menahan seseorg individu secara tahanan waspada perlulah berlandaskan syara’ tanpa melibatkan kepentingan diri dan politik. Namun saya tidak yakin dgn pertimbangan individu yg berkuasa di Kementerian Dalam Negeri sama ada penahanan tersebut utk kepentingan umum atau sebaliknya. -Wallahu A’lam-

  6. Raja Alam Jingga permalink
    06/08/2009 12:35 pm

    Adapun keadaan yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W amat berbeza sekali dengan apa yang berlaku sekarang. Tempoh penahanan yang sementara dan siasatan yang adil serta segera telah Rasulullah perintahkan terhadap orang yang kena tahan tersebut. Rasulullah adalah seorang yang bersifat adil serta berkasih sayang.

    Manakala apa yang berlaku di negara kita, penahanan yang tidak adil, zalim serta bersifat jahat. Penahanan yang lama tanpa siasatan segera serta keaiban yang di kenakan.

    Bagaimana pula saudara dapat membandingkan pekerti Rasulullah, pemimpin Islam dengan pemimpin negara kita ?

    Seandainya saudara kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, sudah pasti saudara akan dapati percanggahan ke atas tulisan saudara ini.

    Salam Ukhwah.

    • abu salman permalink
      17/08/2009 7:48 am

      assalamualaikum..saudara alam jingga,smoga Allah mngurniakan kita semua ketelitian dlm mmbaca dan kefahaman yang jitu..saudara abu umair telah pun mengatakan yang salah tentang ISA,dan tullisan beliau berkenaan tentang ISA jika dilakukan mengikut al-quran dan sunnah..
      Ya Allah,berikanlah kami kefahaman para nabi-nabi..

  7. akil permalink
    06/08/2009 12:48 pm

    salam
    jadi, maknanya bukan akta isa yang salah. tapi pemimpin-pemimpin politik yang rakus menyalahgunakan akta nih. betul ke apa yang saya faham dari artikel ustaz?

    • fadzil permalink
      07/08/2009 4:58 am

      a’ah la akil. saya pun faham begitu. bukan salah seluar dalam rupanya, tapi salah superman yang pakainya di luar la nampaknya. harap kalau kerajaan nak kaji balik ISA tu, harap kaji betol-betol. bukan sekadar nak menunjukkan pada masyarakat yang mereka nak kaji jer, tapi lepas tu keputusannya sama jer. buang duit nak kaji, pastu masih dipergunakan oleh ‘pemerintah untuk menjamin survival politik diri sendiri.’

  8. thalibulfadhilah permalink
    06/08/2009 1:52 pm

    ISA memberi kuasa mutlak kepada menteri dalam negeri untuk menahan tanpa bicara. Kalu mneteri KDN sejak dulu sampai sekarang macam peribadi Rasululullah pada ilmu dan amalnya, kita tak kisah kalau nak kiaskan dengan apa yang berlaku dalam sunnah atau sirah..Tapi menteri2 KDN yang ada-ada setakat ni jauh panggan dari api kalau nak banding dengan Nabi saw. Jadi kena realistik sikit lah tuan syeikh..!!
    الحكم على الشيء فرع عن تصوره
    فقه النصوص + فقه النوازل = فقه التنزيل أي تنزيل النصوص على النوازل أو الواقعات
    Mungkin tuan syeikh amat faham fiqh nusus, tapi adakah tuan syeikh ada ahli undang2 atau guaman dan penasihat di kalangan pemerhati dan pembaca politik tanah air yang boleh memberi nasihat yang tepat lalu mendapat keputusan syarie yang tepat..
    Ini yang dimiliki oleh mereka yang membuat keputusan demontrasi baru-baru ini.

    • 06/08/2009 2:03 pm

      Jazakallah atas komentar syeikh thalibulfadhilah.

      Tapi ada ke dalam artikel tu saya bersetuju dengan isa yang diamalkan sekarang? Syeikh bacalah 3 point terakhir dan kesimpulan saya.

      dan ayat ini:

      Cuma dari sudut perlaksanaan akta ini di negara kita, didapati ia tidak menepati syarat dan etika yang digariskan dalam siasah syar’iyyah.

      atau paling kurang baca ayat terakhir:

      JIKA Kerajaan berpendapat akta ini masih relevan untuk diamalkan, ia perlu kepada penambahbaikan dan kemaskini agar bertepatan dengan siasah Islamiyyah.

      Sudah pasti syeikh tahu apa maksud ‘JIKA’, kan?

      Sekurang-kurangnya ia satu cadangan supaya akta diubah JIKA masih nak dikekakan.

      Satu lagi, artikel saya ini hanya tulisan kerdil yang sebijik habuk pun tidak akan mampu mengubah corak politik negara. Langsung tidak…. Cuma, dengan tulisan ini sekurang-kurangnya saya menyuarakan cadangan. Mana tahu kot-kot ada orang politik tersesat masuk dalam blog ini, boleh juga terbaca cadangan ini.

      Itu sahaja.

      Sekian

      • thalibulfadhilah permalink
        07/08/2009 2:02 am

        Kalau masih dalam tempoh percubaan memang kita boleh berJIKA.Namun hakikatnya ISA telah hampir 40 tahun diamalkan. Sudah ribuan insan dan kaum keluarga telah menjadi mangsa dan merasai keperitannya. Ia diguna dengan begitu rakus sekali. Cadangan supaya ISA dipinda sahaja buka dimansuh adalah bertepatan dengan pendirian kerajaan sekarang. Ini memberi nafas baru kepada penguasa negara untuk terus berhelah dan menggula-gulakan rakyat sedangkan kuasa@ autoriti mereka untuk menahan atau mengugut untuk menahan sesiapa sahaja berterusan.Benar artikel tuan syeikh tidak boleh mengubah lanskap politik tanahair..saya lebih bimbang kepada diri tuan syeikh dalam hal ini. Apa yang tuan suarakan ini, selari dengan suara-suara ulama’ kerajaan yang sedia ada.Ini baru percubaan awal tuan syeikh ..

        • abu salman permalink
          17/08/2009 7:56 am

          assalamualaikum..saudara thalibulfadhilah,semoga Allah mengurnikan kita kebenaran dlm berkata2…saudara ada mengatakan ribuan insan menjadi mangsa..tahukah saudara berapa jumlah sebenar yang pernah di tahan di ISA?jumlahnya tidak mencapai ribuan seperti yg saudara katakan.
          semoga kita diberkati Allah..

  9. abuakmal permalink
    07/08/2009 3:23 am

    Salam,

    Encik thalibul,cool-cool je dah le.

    Saya percaya antara tujuan Ustaz Abu Umair datangkan artikel ni hanyalah semata-mata untuk pembacanya melihat ISA dari perspektif Al-Quran dan Sunnah. Beliau sekadar beramanah dengan ilmunya. Tak lebih dari itu.

    Peguam dan pemerhati politik mungkin hebat-hebat,tapi mereka pasti tidak lebih baik dari baginda Rasulullah s.a.w. dan sunnahnya.
    Perbandingan antara menteri KDN dan Rasulullah s.a.w juga kurang tepat. Kalau nak kira realistik,banyak yang Baginda ajar dan suruh tak sesuai nak dipraktikkan zaman sekarang ni.

    Saya rasa kesimpulan artikel Us Abu Umair ni dah cukup cantik. Itupun kalau dibaca dengan tenang tanpa dikuasai emosi…

    Just my 2 cent.

    Oh lagi satu. Penulis mungkin menulis dari bilik sepi dari tanah berkat nabawi. Akan tetapi,tindakan saudara menafikan kefahaman beliau tentang keperitan dan kepayahan perjuangan adalah satu kenaifan.

    Salam ukhuwah. Salam perjuangan.

  10. fadzil permalink
    07/08/2009 5:03 am

    akhi abuakmal, saya juga rasa ustaz umair menulis untuk menyatakan pandangan berdasarkan hujah yang difahaminya. x salah menyatakan pandangan kan. saper tau pandangan itu boleh membuka pemikiran kita lebih luas lagi, dan keluar dari kongkongan ‘taksub’ dan ’emosional’ yer tak?

  11. fadzil permalink
    07/08/2009 5:11 am

    yang lebih membimbangkan saya selain dari kerajaan yang dianggap zalim, mempergunakan ISA untuk survival politik sendiri adalah adanya pula umat islam yang tidak tahu mengawal marahnya, emosional, tak boleh ditegur, tak boleh terima ada pandangan yang berbeza dengan pandangannya dan terlalu taksub parti. negara islam bagaimanalah agaknya yang akan ditegakkan nanti? pada saya, keduanya 2 x 5, 5 x 2 jugak. moga keduanya sentiasa di bawah lembayung hidayah dan rahmat Allah jua. amin…

    • albaruhiyy permalink
      07/08/2009 7:18 am

      Salam..benar kata abuakmal…jangan terlalu beremosi dalam melontarkan pandangan..nampak dari gaya tulisan seolah-olah memang saudara thalibulilmu sangat tidak bersetuju dengan artikel zamiluna wa ustazuna Sheikh Abu Umair..
      Masih segar dalam ingat satu syair yang menarik pernah disebutkan oleh Sheikhuna wa Ustazuna Muhyiddin Abdul Rahman:
      وكم من عائب قولا صحيحا … وآفته من الفهم السقيم

      Maksudnya : “Dan betapa ramai orang yang mencela kata-kata yang sahih…punca penyakitnya ialah kefahaman yang berpenyakit”.
      [Rujuk Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-Azim 2/100}

      Mudah-mudahan perbincangan ilmiah dihiasi dengan sifat dan rasa insaf,
      Wallahualam

    • thalibulfadhilah permalink
      09/08/2009 5:45 am

      Pandangan sdr fadzil ni perlukan pencerahan abu umair! Ramai tok guru rosak kerana rosaknya pandangan anak murid dikelilinganya.

      • fadzil permalink
        10/08/2009 11:39 am

        saya setuju…

  12. lidey permalink
    08/08/2009 10:04 pm

    artikel ni benar2 mampu bukak mata sesapa yg mahu berfikir… sy setuju dengan apa yg dikatakan oleh ustz abu umair tu…

    ISA itu xsalah kerana tujuannya yg asal utk melindungi… yg salahnya orang yg mengemudi…

    oleh itu kenapa xcuba ubah cara mengemudi saja, dari bersusah payah nak mansuhkan… jika kata pemimpin yg ada sekarang salah dan jahil, kenapa xperbetulkan dengan cara sepatutnya…oleh mereka yg mengaku tahu…

    dari dem0 mansuhkan ISA, kenapa xbuat saja dem0 sedarkan pengemudi ISA…? (tu p0n kalau nak buat jugak la dem0)

    itu juga suara hati rakyat jugak, tapi setelah difahamkan dan dibuka mata…

    setuju dengan kebanyakan saudara di atas… jangan dikuasai em0si… :)

  13. Anonymous permalink
    18/08/2009 7:02 am

    Delegasi Mufti Perak bawa politik UMNO di Mesir
    Posted on Monday, August 17 @ 17:53:12 PDT by TokPenghulu

    Oleh: bumiperak


    Dewan Pemuda PAS Perak
    Kaherah 5-11 Ogos 2009 Ketika majlis diadakan bersama pelajar di Kaherah, Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani mempertahankan akta ISA dan perlu dikekalkan.

    Terdapat beberapa maklumat lain yang tak perlu dinyatakan disini menurut saudara AKMAL KAMARUDIN Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perak

    Dewan Pemuda PAS Perak kesal dengan sikap delegasi yang mengheret pelajar ke kancah politik murahan UMNO dan BN yang kian pudar dalam politik tanah air. Diharapkan para penuntut tidak termakan dengan umpan yang lunak dari pihak delegasi. Kelihatan Ketua delegasi Dato’ Dr. Abdul Rahman bin Haji Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak. Delegasi ini juga turut disertai oleh Y.B Kapt. (B) Mohd Osman bin Mohd Jailu, ADUN Changkat Jering, Y.B Jamaluddin bin Mohd Radzi ADUN Behrang serta Pegawai Kanan Kerajaan Negeri.

    CD krisis DUN Perak dan Buku Kemelut Politik Perak serta Cenderahati sebuah kotak pencil yang ada lambang umno pada kertas pembalut di edar ketika majlis bersama pelajar di Kaherah.
    Sikap Mufti Perak yang terus mempertahankan akta ISA amat dikesali kerana seperti yang sedia maklum, ISA telah menyeksa tahanan dengan siksaan yang kejam tanpa dibicarakan dan hanya mengikut budi bicara Menteri Dalam Negeri samaada dibebaskan atau terus ditahan. ISA juga menyebabkan ramai yang menanggung dosa kerana menyokong akta zalim ini.

    Penderitaan keluarga tahanan terus menjadi bahan mainan kerajaan BN. Keluarga tahanan terus diabaikan tanpa pembelaan, malangnya penentang akta kejam ini dilayan dengan gas pemedih mata, gari, dipukul, dinafikan hak Allah untuk menunaikan Solat, dimaki hamun, dan barmacam-macam lagi bentuk hukuman yang dikenakan terhadap penentang akta ISA.

    “Mampukah kau ketawa ketika kau di mahligai indah sedangkan fuqara’ menangis di lokap yang sempit”

    Semoga para pelajar terus tabah dalam menghadapi ujian yang mendatang dalam perjuangan menimba ilmu Allah SWT di bumi Anbiya’ .

  14. Anonymous permalink
    18/08/2009 7:05 am

    ISA zalim, mesti dimansuh, tak perlu fatwa

    http://www.niknasri.com/?p=447

    (khutbah Jumaat sempena mansuh ISA 31 jul 09 )

    Allah berfirman, bermaksud: “Jangan kamu cenderung kepada orang zalim, nanti kamu disambar api neraka.” Ulama tafsir menyebut: cenderung kepada orang zalim pun sudah disambar api neraka, bagaimana dengan mereka yang zalim?

    Dalam Hadis Qudsi, Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku telah mengharamkan penganiayaan itu ke atas diriKu, dan Aku pun menjadikannya haram di antara sesama kamu, maka janganlah hendaknya kamu saling menzalimi..’ (Kuliah tentang kezaliman)

    Zalim banyak kategori. Paling zalim ialah syirik-menyekutukan Allah. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya syirik itu kezaliman paling besar”.

    Menahan makhluk Allah tanpa memberikannya hak untuk hidup sehingga matipun akan menyebabkan orang yang melakukannya dimasukkan ke dalam api neraka, walaupun hanya seekor kucing. Dalam satu hadis, Nabi bersabda bermaksud: ‘Seorang wanita masuk ke dalam api neraka dengan sebab seekor kucing yang ditahan, tidak diberikan makan, minum sehingga mati. Kalau dia lepaskan kucing itu tentulah binatang itu boleh mencari makan sendirian.’

    Kalau menahan kucing tanpa sebab pun sehingga mati boleh menyebabkan dihumban ke dalam api neraka, bagaimana dengan menahan orang yang lebih dihormati darah, maruah dan harga dirinya tanpa dihadapkan ke mahkamah terbuka dengan bukti jenayahnya?

    Prinsip undang-undang Islam jelas: ‘Bukti keterangan dikenakan ke atas orang yang menuduh atau mendakwa sesuatu dan sumpah ke atas orang yang mengingkarinya’

    ISA sebenarnya sudah cukup jelas. Akta drakonian yang zalim, diperalatkan pula oleh orang yang zalim, untuk mengekalkan kezalimannya.

    • itboron permalink
      22/08/2009 2:38 pm

      Tuan Mufti Perak adalah seorang yang kita ketahui peranan dan jasanya dalam mempertahankan hukum-hakam agama di bumi Malaysia. Memandangkan isu ISA adalah isu maslahat- demi keselamatan dan keamanan-ia bukan sesuatu yang jelas kewajibannya maupun jelas pengharamannya, maka ia terbuka untuk perbincangan dan pemutusan fatwa. Menutup pintu fatwa adalah sikap tertutup ( seperti dinytakan pengulas) dan sebagaimana yang pengulas di atas sedia maklum- fatwa boleh berubah mengikut masa dan tempat. Cukuplah Imam Syafei- imam mazhab kita sebagai contoh untuk premis yang saya bawa..

      Apabila sesuatu isu menjadi perkara maslahat- siapakah orang yang berhak menentukan maslahat? Kitakah? Orang di jalanan kah? Ataupun ahlinya (orang yang telah ditentukan untuk memikirkan maslahat – ahli l-hal wa al-aqd)?

      Sekiranya ulama melakukan kesilapan berfatwa..kita berdosakah? Tidak. Bahkan mereka diberikan satu pahala ijtihad, namun jika ia dilakukan dengan penyelewengan, yang berdosa ialah mereka juga. Dan Kita tak boleh dirangkumkan sebagai melakukan maksiat kezaliman bersama mereka (sbgmana yang diisyaratkan oleh pengulas di atas), kerana kita tidak redha dgn penyelewengan mereka tetapi kita hanya redha dgn autoriti berfatwa dan legislatif. Bahkan ianya wajib.

      Bahkan yang berdosa ialah orang yang bukan ahli ( bukan ulama- bukan juga org yang dipertanggung jawab melihat maslahat) tetapi mencampuri urusan ini dan membuat hukuman dan tesis sendiri. Kenapa kita berdosa?

      1- Ini bukan kita. Tugas ulama ialah menegur dan menasihatkan pemimpin. Tugas pemimpin ialah mendapatkan nasihat ulama. Tugas kita (yg bkn ahli agama) ialah mentaati ulama dan pemimpin, selagi ia adalah perkara ijtihad.

      2. Para Mufti dan pemimpin mempunyai penasihat daripada golongan pakar dalam menentukan hukum dan perlaksanaan. Siapakah penasihat kita? katakan kita punyai penasihat pakar, tetapi kita tiada hak legislatif. kenapakah kita hendak berputus asa dr menasihati pemimpin muslim kita. Mereka bukannya orang kafir. Peliknya kita selalu mendoakan kehancuran mereka daripada mendoakan hidayah buat mereka..Kenapa kita tidak tiru Imam Ahmad dalam perkara doa ini?

      3. Ekoran isu ISA ini, berapa banyak maruah ulama telah tercalar. Tidak kiralah dipihak ulama yang menyokong atau yang menentang. Penyokong dan penentang, menghamburkan tuduhan, tohmahan dan cercaan semahunya. Dikatakan sebagi tertutup, ulama makan gaji ,ulama jahil, ulama sijil, ulama duit dsbg. Belum dikira lagi makian dan lafaz-lafaz carut. Ingatlah pesan ulama-ulama terdahulu : Umpatan adalah bagaikan memakan daging saudaramu, dan daging ulama adalah daging beracun..
      maknanya kesan mengumpat, mengata ulama ini memberi kesan yang teruk kpd ummat. Ia menghilangkan perasan merujuk- nah sekarang , siapa nak dengar Fatwa Mufti Perak padahal dia merupakan ulama yang kita tahu peranan dan jasanya, dan keikhlasannya tanpa mengira dikecam media atau pembesar2 sebelum ini.

      Pendekkata : membincangkan Isu ini sebagai jalan nasihat kepada pemimpin dan orang awam adalah bagus, di galakkan. Baik nak sokong atau nak mansuh , atau nak kaji. Ia hak ilmu dan ilmuwan…Tetapi menjadikannya isu untuk orang awam, semua orang bercakap hukum hakam tanpa ada asas ilmu, melibatkan demonstrasi yang tak melambangkan keamanan, melibatkan maruah ulama dan batang tubuhnya ini adalah sifat melampau yang ditegah agama kita..

      Ayuh baca Quran..

  15. 24/08/2009 6:06 pm

    Terima kasih atas komentar-komentar semua samada pro atau kontra. Semoga perselisihan pendapat tidak keluar dari semangat ukhuwwah dan adab berkhilaf. Jazakumullah khairan.

    • fadzil permalink
      25/08/2009 3:37 am

      aiwah!!! 1 Islam, 1 malaysia…hehehe

  16. 13/09/2009 7:07 pm

    Assalamualaikum

    Dalam ilmu ini tidak ada perkataan “absolute” dan semua benar. Saya tidak bersetuju dengan kesimpulan pandangan ustaaz ini bahawa ISA ada justifikasi dari sisi syarak dan saya sudah muatkan secara panjag lebar dalam tulisan saya di blog saya http://www.pemikir1.blogspot.com/. Namun begitu, ilmu manusia semua ada kelemahan masing-masing and everyone is entitle for their own opinion.

    Selamat berpuasa dan selamat hari raya
    tj

    • 14/09/2009 12:05 am

      Waalaikumussalam, Tok Janggut..

      Terima kasih atas komentar. Selamat berpuasa…

      p/s: Ruangan komen untuk artikel ini terpaksa ditutup mengelakkan perbincangan bersentimen

Trackbacks

  1. Saya Pro ISA? « Dr Nur Izah’s Weblog
  2. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Menurut Siasah Syar’iyyah « Cahaya Yang Menyuluh Jalan…
  3. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Menurut Siasah Syar’iyyah « Fitrah Islami Online

Comments are closed.

%d bloggers like this: