Perutusan Bersama MPF/IRF Berhubung Kemelut Kes Dr Asri
Perutusan Bersama MPF/IRF Berhubung Kemelut Kes Dr Asri
Tangkapan mantan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor semasa beliau berada di dalam majlis yang tertutup di sebuah kawasan perumahan pada 1 November kembali menimbulkan persoalan tentang kebebasan intelektual di Malaysia berkaitan dengan agama Islam.
Alasan yang dikemukakan oleh JAIS bahawa Dr. Asri tidak memiliki tauliah daripada JAIS untuk mengajar agama memperlihatkan percanggahan daripada prinsip kebebasan intelektual yang tercatat di dalam sejarah Islam. Dalam masa yang sama, ia juga menjadi senjata dan bahan bagi pengkritik JAIS selama ini untuk memperlihatkan bahawa JAIS tidak lebih daripada hanya perkakas dan alat segelintir tokoh-tokoh agama yang berkehendak untuk memaksa orang lain agar mengikut pandangan dan pendapat mereka semata. Dengan menyerbu satu majlis agama yang dikendalikan oleh seorang tokoh yang pernah menjadi Mufti kerajaan negeri dan seorang yang sekurang-kurangnya memiliki kelayakan akademik untuk menjelaskan ajaran Islam, tindakan JAIS ini hanya menzahirkan bahawa institusi itu tidak bersedia dan berkemampuan untuk berhujah dengan pengkritiknya di pentas intelektual dan terpaksa beralih kepada penggunaaan kuasa kekerasan.
Kami juga kesal terhadap sesetengah pihak yang terlalu mudah melabel dan menggelarkan para cendekiawan Islam berdasarkan pandangan mereka dengan maksud merosakkan imej keperibadian berbanding usaha untuk mendatangkan hujah dan pembuktian berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah. Dengan berdalilkan hujah lapuk kononnya demi melindungi komuniti umat Islam di Malaysia daripada kekeliruan, kumpulan-kumpulan ini telah mendedahkan kelemahan mereka untuk berpegang kepada semangat Islam sebaliknya hanya mencipta satu ruang untuk mereka berselindung tatkala dicabar secara intelektual.
Sekiranya kita meninjau kembali sejarah silam, faktor utama dunia Islam berkembang dengan pesatnya di zaman dahulu adalah kerana sifatnya yang tegas membela “kebebasan bersuara”, sepertimana yang dibuktikan oleh al-Hasyimi (sepupu kepada Khalifah al-Ma’mun) di dalam suratnya kepada musuhnya dalam usaha beliau untuk memenangi perubahan hati musuhnya itu melalui kebijaksanaan akal.
“Kemukakanlah apa sahaja alasan yang ingin kamu ketengahkan, dan ucapkanlah apa saja yang kamu mahu, serta suarakan apa yang ada di dalam fikiranmu. Sekarang ini kamu berada di dalam keadaan selamat sejahtera, maka suarakanlah apa saja yang kamu fikirkan, dan lantiklah hakim yang akan menghakimi diantara kita dengan adil, dan cenderunglah kamu kepada kebenaran, dan bebaskanlah diri kamu daripada runtunan nafsu. Sesungguhnya hakim yang sebenar adalah kebijaksanaan akalmu, yang mana dengannya Allah mempertanggungjawabkan kita di atas segala pilihan kita dalam perlakuan, samada balasan syurga ataupun siksaan neraka. Dengan itu aku telah berlaku adil kepadamu, dan memberikan kamu jaminan keselamatan, dan aku bersedia untuk menerima apa saja yang diputuskan oleh akal fikiranmu, samada ia cenderung kepadaku ataupun menyanggahiku. Kerana sesungguhnya: “Tidak ada sebarang paksaan dalam urusan kepercayaan (beragama)” [2:256] Dan aku mengajakmu untuk menerima hujjahku dengan hati yang terbuka, sepertimana aku juga telah menerangkan akan kesilapan peganganmu itu. Selamat sejahtera ke atasmu dan semoga kamu dirahmati Allah!”
Setiap manusia mempunyai hak yang telah dijamin oleh Al-Qur’an untuk secara sukarela menuruti dan menzahirkan keyakinannya tanpa mengira sama ada dia benar ataupun salah. Dengan menekankan hak manusiawi untuk bebas menuruti keyakinan yang ada di dalam hatinya, al-Qur’an sekaligus menjelaskan dasarnya yang sejak sebermula, yang dapat dijejaki dari zaman salah seorang Rasul yang paling awal iaitu Nuh a.s. “Berkata [Nuh]: Wahai kaumku! Apa pendapatmu, sekiranya benar aku berdiri di atas bukti yang nyata daripada Tuhanku, serta Dia mengurniakan rahmat kepadaku daripada sisiNya, kemudian bukti yang nyata dan rahmat itu menjadi kabur pada pandanganmu, sekiranya benar sedemikian itu, apakah mungkin kami memaksakan ia ke atasmu, sedangkan kamu tidak suka kepadanya?” [11:28]
Muslim Professionals Forum dan Islamic Renaissance Front mendesak JAIS untuk bersikap jujur dalam melaksanakan tanggungjawab yang dilaungkan sebagai pelindung agama. Jika tidak, JAIS hanya akan menjadi sebahagian daripada senarai panjang institusi rasmi yang perlu diubah sepenuhnya supaya Islam boleh kembali memiliki statusnya yang sebenar sebagai agama yang bersandarkan ilmu dan akal. Kami juga mendesak kumpulan dan gerakan Islam agar menghormati hak untuk berbeza pendapat dan menjunjung tinggi kebebasan bersuara, serta berhujah dengan kebijaksanaan dan bukan dengan keterangan cakap dengar atau serangan peribadi kerana itulah satu-satunya cara yang dianjurkan agama dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh umat Islam.
Dr Ahmad Farouk Musa
Dr Sheik Johari Bux
Manan Razali
Dr Mazeni Alwi
Dr Musa Nordin
Dr Jeffrey Hassan
Ali Ghazali
Lembaga Pengarah
Muslim Professionals Forum [MPF]
Islamic Renaissance Front [IRF]
Assalamualaikum. Beginilah situasinya apabila mereka yang mahir dalam agama tidak dapat mengaplikasikannya dalam pengurusan dan kehidupan dengan baik.
salam ziarah, salam ukhuwwah, walau bagaimanapun seharusnya kita mengikuti apa yang telah diarahkan oleh pentadbir sesebuah tempat, bukankah itu lebih mudah…Maaf sekiranya tidak menepati hati tuan…TK
salam ustaz,
Bagi ana, memang menjadi kewajipan bagi setiap pemerintah untuk menyiasat setiap daripada ulama’ dari menyampaikan sebarang ilmu agama.Lebih-lebih lagi, Dr.Maza yang memang terkenal dengan ‘Tajdid” nya.
Kesan ‘pembaharuan’ gaya tajdid segera beliau, mungkin timbul perbuatan melanggar peraturan dalam negeri di mana mereka berada. Kalau beliau tidak diberi tauliah untuk mengajar dan berceramah, beliau langgar peraturan itu dengan mengatakan itu bercanggah dengan ajaran Islam yang menyuruh berdakwah, sedangkan beliau terlupa dalam Ahl Sunnah, ulil amri berkewajipan untuk menjaga agama dan amalannya supaya berjalan atas landasan Ahli Sunnah dan mazhab yang diamalkan dalam negeri yang berkenaan.
Contohnya, boleh didapati dalam perbuatan Saidina Ali yang melarang mereka tidak layak daripada mengajar di masjid Basrah, walhal tokoh yang layak seperti Hasan al-Basri dibenarkan mengajar.
Demikian pula al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyahnya dalam bab al-hisbah, menyebut keperluan ulil amri mengawal masjid supaya dakwah dan pengajaran berjalan lancar dalam aturan dan mazhab yang ditentukan dan amalan yang baik terlaksana. Ini dapat mengelakkan orang yang memberi penafsiran mengelirukan tidak mengganggu ketenteraman awam.
wallahu ‘alam..