Skip to content

Takliq Cerai dalam Bai’ah

09/11/2009

Politik Malaysia sekali lagi gempar apabila seorang  Ahli Parlimen PAS mendedahkan kepada umum bahawa tiap calon wakil rakyat PAS dikenakan syarat bahawa mana-mana ahli yang dipilih menjadi calon bertanding mana-mana kerusi DUN atau Parlimen dikehendaki mengangkat bai’ah (sumpah setia) jika calon tersebut menang pilihanraya dan kemudiannya memilih meninggalkan PAS maka isterinya akan jatuh talak tiga.

Kesahihan perkara ini masih belum boleh dimuktamadkan, kerana beberapa pimpinan PAS menafikan perkara ini, manakala sebahagian pula jelas mengakui kewujudannya, malah mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan kesetiaan kepada Parti.

SEJARAH CERAI TAKLIQ DALAM BAI’AH

Meneliti sejarah bai’ah sejak zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, kita akan dapati berbai’ah dengan menjadikan perceraian sebagai galang ganti tidak wujud pada zaman baginda, dan juga pada sahabat.

Orang pertama yang bertanggungjawab memasukkan elemen seperti perceraian dalam bai’ah ialah Hajjaj bin Yusuf al-Tsaqafi, ketika meminta rakyat berbai’ah kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

Selain perceraian, ada beberapa perkara lain lagi yang dimasukkan oleh Hajjaj dalam bai’ah kepada khalifah. Dengan maksud, jika ada kalangan rakyat yang tidak mengotakan bai’ah atau mencabulinya, maka akan terjadilah perkara-perkara yang dita’liqkan. Perkara-perkara tersebut ialah:
– menceraikan isteri
– bersedekah hartanya
– pergi menunaikan haji
– membebaskan hambanya

Sejak Hajjaj memperkenalkan sumpah bai’ah seperti ini, khalifah-khalifah seterusnya ada yang mengikuti jejaknya dan tidak kurang ada yang menambah berbagai-bagai perkara lagi dalam bai’ah selain empat perkara yang tersebut.

Apa yang pastinya, memasukkan perkara-perkara ini dalam bai’ah adalah satu tindakan melampau khalifah-khalifah terdahulu. Tindakan ini tidak ada asasnya dalam agama Islam, dan ia telah dikritik oleh para ulama.

Ibn Taimiyyah menyebut:

“Ketika Hajjaj mengada-ngadakan perkara baharu daripada perkara kefasiqan, maka antaranya ialah beliau meminta orang ramai mematerai bai’ah kepada Abdul Malik bin Marwan dengan unsur perceraian, membebaskan hamba, sumpah dengan nama Allah, dan menyedekahkan harta. Empat unsur sumpah ini adalah sumpah bidaah yang diada-adakan”.

Katanya lagi, “Sumpah dengan menggunakan perceraian adalah satu bidaah yang baharu. Aku tidak pernah mendapati perbuatan sumpah dengan perceraian pada zaman sahabat”.

Katanya lagi, “Kemudian, bidaah ini semakin berleluasa dalam kalangan ummat dan tersebar dengan meluasnya”.

Kalaulah bai’ah terhadap khalifah Negara Islam pun, ulama telah mempertikaikan tindakan Hajjaj bin Yusuf memasukkan elemen perceraian, maka kita fikirkanlah perbuatan memasukkan elemen perceraian dalam bai’ah yang lebih kecil. Contohnya bai’ah terhadap parti atau mana-mana jemaah dan kumpulan.

JATUHKAH TALAQ JIKA BERPALING TADAH

Andaikata benar berlaku bai’ah seumpama ini dalam parti politik, maka persoalan yang perlu dibincangkan ialah jika ada wakil rakyat berpaling tadah mengkhianati janji dengan melompat parti, adakah jatuh cerai terhadap isteri?

Mentaklik cerai dengan perkataan seperti “Jika saya melakukan perbuatan ini, maka isteri saya tercerai atau tertalak”, termasuk dalam permasalahan sumpah dengan sighah (perkataan) cerai.

Dalam permasalahan ini, mereka seolah-olah bersumpah untuk tidak mengkhianati parti atau jemaah, dengan menggunakan lafaz cerai sebagai ungkapan sumpah.

Masalah seperti ini tidak pernah berlaku pada zaman sahabat. Ia mula dibincangkan pada zaman tabieen, dan terdapat khilaf adakah sah cerai taklik seperti ini ataupun tidak dikira cerai taklik.

Mazhab Syafie, Ahmad dan sebahagian tabien mengatakan sah takliknya. Jadi jika dia melakukan perbuatan itu maka isterinya tercerai.

Ada pendapat yang mengatakan tidak dikira cerai taklik. Ia dikira sebagai sumpah, dan dia hanya perlu membayar kaffarah sumpah jika melakukan perbuatan tersebut.

Hujah kedua-dua pendapat ini dibincangkan panjang lebar oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitab Qawaed Nuraniyyah. Dan beliau mentarjihkan pandangan kedua, yakni tidak jatuh cerai tetapi mesti dibayar kaffarah sumpah.

Wallahu A’lam

Advertisements
21 Comments leave one →
  1. perantau permalink
    09/11/2009 3:43 pm

    Terima kasih atas penjelasan. Bab-bab politik, pening juga dibuatnya kalau tak ada orang buat penjelasan.

  2. khairulrijal permalink
    09/11/2009 3:59 pm

    Saya mohon kebenaran mengambil artikel ustaz untuk perbandingan pandangan dengan ulama lain. Isu ini agak sensitif dan perlu pandangan penuh hikmah.

    http://khairulrijal.wordpress.com

  3. khairulrijal permalink
    09/11/2009 6:41 pm

    Saya ada membuat kesimpulan berkaitan isu ini termasuk memasukkan pandangan Saudara Abu Umair. Rujuk http://khairulrijal.wordpress.com/

  4. 10/11/2009 4:51 am

    entah apa-apa lah senario politik sekarang.. makin lama-makin kusut… sedangkan dikalangan sahabat pong ada yang munafik.. ni kan kita berada jauh dari zaman Rasul junjungan.. sudah pasti dunia penuh dgn munafikun….. Hanya dua yang kita mesti pegang sekukoh-kukohnya iaitu Alquran and Sunnah rasuallah…

  5. khairulrijal permalink
    10/11/2009 12:35 pm

    Apapun tahniah kepada Abu Umair atas artikel yang dikeluarkan. Suatu pandangan bermanfaat.

  6. abd jabbar permalink
    10/11/2009 4:50 pm

    Ana sedang mencari perbahasan ini, klu ust ada trjumpa prbhasan ulama lain selain Ibnu Taimiyyah, war-warkan dalam wenb ini

    • 12/11/2009 6:07 am

      Antara ulama salaf yang menyebut tentang sumpah bai’ah ini ialah Imam Malik r.h. Berliau mengatakan ‘Sumpah bai’ah tidak halal’. Tetapi beliau lebih merujuk kepada perbuatan khalifah memaksa rakyatnya bersumpah ta’liq cerai dalam memberi bai’ah.

  7. didi_insaf permalink
    12/11/2009 5:31 am

    Tahniah ustaz, semalam ana tengok blog ustaz ada ditunjukkan kat tv1. Ni pasal cerita bai’ah la..semoga ustaz dapat menyebarkan Islam apabila pulang ke Malaysia kelak..

  8. khairulrijal permalink
    13/11/2009 10:31 am

    Penjelasan yang ikhlas tentu ada ‘kekuatannya’. Teruskan Abu Umair.

  9. yasir permalink
    14/11/2009 7:21 am

    asssalamu ‘alaikum..
    ustaz, saya ada soalan urgent, maaf guna ruang ni, tak boleh masuk AAN.

    1. adakah disyaratkan bagi orang yg berkorban utk hadir semasa upacara penyembelihan korban? adakah boleh baginya utk hanya memberikan wang kepada pihak pengurusan, dan membiarkan mereka menguruskan semuanya?

    2. benarkah pembahagian daging korban sepertiga utk keluarga org yg berkorban, sepertiga utk kenalan/jiran, dan sepertiga utk fakir miskin?

    terima kasih utk semua2 bantuan. jazakumullahu khairal jazaak.

    • 14/11/2009 4:42 pm

      Waalaikumussalam..

      Tidak boleh masuk Al-Ahkam? Cuba masuk melalui link ini: http://al-ahkam.net/forum09/index.php

      1. Tidak disyaratkan dan tidak diwajibkan menghadiri penyembelihan jika diwakilkan kepada orang lain. Tetapi lebih baik menyaksikannya kerana ia adalah syiar Islam. Terdapat hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam baginda kepada Fatimah:

      “Wahai Fatimah, bangkit dan saksikanlah korban kamu. Kerana sesungguhnya diampunkan bagimu dengan titisan pertama darahnya akan segala dosa yang kamu lakukan”. Cuma hadis ini disisi ahli hadis dipertikaikan kesahihannya.

      2. Surah Al-Hajj ayat 28 memerintahkan supaya dimakan sebahagian, dan diberi kepada faqir miskin sebahagian. Adapun kaifiyat dan nisbahnya terpulang kepada masing-masing.

      Surah Al-Hajj ayat 36 pula, memerintahkan supaya dibahagi 3 bahagian. Dari ayat inilah diistinbatkan pendapat yang tuan sebutkan.

      Wallahu A’lam.

      • yasir permalink
        18/11/2009 11:34 pm

        terima kasih ustaz.
        satu lagi yg saya tertanya2. bagi org yg berkorban, larangan potong kuku dan rambut tu sehingga hari raya atau sehingga sembelih korban? jika larangan itu sehingga haiwan korban disembelih, maka jika korban disembelih pada hari2 tasyriq, maka orang yg berkorban itu tidak boleh potong kuku dan bulu2 badan dan misai pada hari raya? atau perkara2 itu (potong kuku dll) tidak sabit daripada sunnah2 pada hari raya?

      • 25/11/2009 6:39 pm

        Waalaikumussalam..

        Dalam hadis yang menyebut larangan, mengatakan “…. sehingga dia melakukan korban”.

        Jadi larangannya ialah sehingga binatang korbannya disembelih pada waktu korban samada hari raya atau harai-hari Tasyriq.

        Wallahu A’lam.

  10. AloNg CaPR permalink
    17/11/2009 5:39 am

    Assalamualaikum Ustaz, terima kasih atas penjelasan panjang lebar yang memberikan sedikit ilmu pada saya. Bahaya betul bila isu-isu dalam agama seperti ini dipolitikkan.

  11. Yaakub permalink
    20/11/2009 11:48 am

    Entah la…usahkan isu politk..bekas mufti pun ada jugak yang kene tangkapp…mungkin silap niatnya berceramah kot…ye la…mukannya maksumm…

  12. tak suka abu_lahab permalink
    03/12/2009 1:16 pm

    Ustaz,
    Seorang suami berkata akan menceraikan isterinya selepas 2-3 bulan sekiranya tidak menandatangani surat kebenaran berkahwin satu lagi.
    Adakah jatuh talak selepas tempoh tersebut?

    • 03/12/2009 1:33 pm

      Persoalan seperti ini bukan termasuk dalam takliq cerai. Tetapi bab janji untuk menceraikan. Maksudnya, suami berjanji untuk menceraikan jika isteri tidak menandatangi surat itu.

      Janji menceraikan tidak sama dengan cerai secara takliq. Apabila sampai tempohnya, suami boleh melaksanakan janjinya (iaitu menceraikannya), dan boleh mengabaikan sahaja janjinya.

      Apa-apa pun, jika perkara ini berlaku, lebih baik dirujuki peguam syar’ie untuk menentukan taraf perkahwinan mereka.

      Wallahu A’lam.

  13. syafril permalink
    24/02/2010 4:57 pm

    istri saya pernah berkata ; pulangkan saja saya kepada orang tuaku besok ceraikan saja saya cari wanita yang lain namun penkataan ini di akibatkan karena emosinya pada saya . namun ia sadar pada malam itu juga dan meminta maaf pada saya. tolong ustaz bagaimana hukumnya ini…..

    • 24/02/2010 5:26 pm

      Kes saudara berkaitan isteri menuntut cerai dari suami. Ia tidak menjejaskan hubungan perkahwinan antara suami isteri. Kerana perceraian terletak pada si suami.
      Apatah lagi, isteri saudara mengucapkan perkataan demikian kerana pengaruh emosi hingga tidak berfikir rasional.

Trackbacks

  1. Sorotan isu bai’ah PAS : Antara sayangkan isteri ATAU sayangkan perjuangan partisan?! « Khairulrijal Blog
  2. Takliq Cerai dalam Bai’ah « Cahaya Yang Menyuluh Jalan…

What are you thinking?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: