Feqah Puasa
Sempena kedatangan bulan Ramadhan, saya kongsikan di sini satu kertas yang saya tulis pada tahun lalu berkenaan beberapa hukum-hakam puasa.
FEQAH PUASA
Oleh: Lokmanulhakim bin Hussain
1.0 Pendahuluan
Kertas kerja ini akan membincangkan berkaitan hukum feqah di dalam ibadah puasa. Walaubagaimana pun kertas kerja ini tidak akan memperincikan secara mendalam hukum-hakam puasa, kerana ia merupakan satu tajuk yang sangat umum dan luas. Skop kertas kerja ini akan memfokuskan beberapa aspek sahaja yang dilihat lebih wajar diberi penekanan terutama aspek-aspek dasar dan teras di dalam memahami hukum.
Kertas kerja ini dimulakan dengan penyenaraian persoalan-persoalan puasa yang disepakati atau dinukilkan ijmak padanya. Kemudian, disusuli dengan lontaran persoalan-persoalan utama yang berlaku perselisihan ulama padanya. Dan diakhiri dengan perbincangan secara usuli tentang beberapa isu yang dapat membantu untuk memahami permasalahan-permasalahan kontemporari dalam ibadah puasa.
2.0 Ijmak di dalam feqah puasa
2.1 Pengenalan dan Kepentingan Ijmak
Dalam apa jua bab feqah, penguasaan ilmu tentang ijmak dan permasalahan ijmak adalah sangat kritikal. Kedudukan ijmak sebagai dalil ketiga selepas Quran dan Sunnah sudah cukup membuktikan pentingnya setiap penuntut ilmu mengetahui tentang ijmak. Tidak patut seseorang penuntut menceburi ilmu khilaf di dalam feqah secara umumnya, atau di dalam bab puasa secara khususnya jika dia masih belum menguasai permasalahan-permasalahan ijmak.
Ijmak boleh didefinisikan sebagai kesepakatan seluruh umat Nabi Muhammad SAW dalam satu-satu zaman, selepas kewafatan baginda, terhadap suatu hukum masalah. Ertinya, apabila seluruh ulama dalam satu zaman yang layak berijtihad mengeluarkan satu hukum yang sama dalam satu-satu masalah, tanpa ada seorang mujtahid pun yang menyalahi hukum tersebut, maka hukum itu dikatakan sabit secara ijmak.
Penguasaan seseorang terhadap permasalahan ijmak akan menjamin dirinya tidak tersilap mengeluarkan satu hukum yang bersalahan dengan ijmak. Ia juga dapat mengawal dirinya daripada tersilap memahami nas Quran dan Sunnah. Antara kegelinciran sebahagian ahli ilmu ialah apabila memahami nas syarak secara silap, menyalahi kefahaman seluruh salaf. Maka ilmu tentang ijmak sekurang-kurangnya menjaga diri seseorang supaya tidak menyalahi kefahaman seluruh salaf.
Antara buku yang dicadangkan untuk dibaca dan dihadam permasalahan-permasalahan ijmak ialah Al-Ijmak oleh Ibn al-Munzir dan Maratib al-Ijmak oleh Ibn Hazm.
2.2 Permasalahan-permasalahan puasa yang dinukilkan Ijmak padanya.
Di dalam fasal ini, akan disenaraikan sejumlah permasalahan feqah puasa yang terdapat nukilan ijmak oleh ulama muktabar padanya. Dalam menyenaraikan permasalahan-permasalahan ini, kitab-kitab rujukan utama ialah Kitab Al-Ijmak oleh Ibn Munzir, Maratib al-Ijmak oleh Ibn Hazm, Al-Qawanin al-Fiqhiyyah oleh Ibn Juzay dan beberapa rujukan tambahan lain.
Antara permasalahan-permasalahan tersebut ialah:
- Ijmak bahawa berpuasa di siang hari pada bulan Ramadhan adalah wajib ke atas orang yang mencukupi syarat-syaratnya. [1]
- Wajib puasa yang disepakati ialah baligh, berakal, tidak musafir, tidak sakit, dan tidak ada halangan syar’ie seperti haidh dan nifas.[2
- Rukun puasa yang disepakati secara ijmak ialah dua perkara. Pertama: Waktu puasa, iaitu pada bulan Ramadhan. Kedua: Imsak iaitu menahan diri daripada perbuatan yang membatalkan puasa. Yang diperselisihakan ialah niat adakah ia rukun atau tidak.[3]
- Ijmak bahawa menurut perkiraan Islam, bulan boleh jadi 30 hari dan boleh jadi 29 hari.[4]
- Ijmak bahawa sesiapa yang berniat puasa pada setiap malam pada bulan Ramadhan dan berpuasa keesokannya, maka puasanya sempurna.[5]
- Ijmak bahawa orang yang berpuasa wajib menahan diri daripada makan, minum dan jimak.[6]
- Ijmak bahawa muntah yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa.[7]
- Ijmak bahawa waktu yang diwajibkan puasa ialah pada siang hari hingga terbenam matahari. [8]
- Ijmak bahawa bermimpi pada waktu siang hingga menyebabkan junub, tidak membatalkan puasa.[9]
- Ijmak bahawa tertelan sesuatu yang terlekat di celahan gigi bersama air liur, yang tidak mampu dikawal, tidak membatalkan puasa.[10]
- Ijmak bahawa harus berpuasa dan harus berbuka bagi orang yang sakit, wanita hamil, wanita yang menyusu, dan orang tua yang tidak mampu.[11] Manakala orang musafir, ada khilaf kerana Ahli Zahiriah mewajibkan berbuka.
3.0 Waktu Puasa
Apabila disebut waktu puasa, ia merujuk kepada dua perkara. Pertama: Waktu wajib berpuasa iaitu bulan Ramadhan. Kedua: Waktu yang wajib menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, iaitu waktu siang. Bagi kedua-dua waktu ini (bulan Ramadhan dan waktu siang) terdapat beberapa permasalahan feqah.
3.1 Kaedah yang diiktibar oleh Syarak untuk menentukan masuknya Ramadhan ialah dua perkara; Ru’yah dan Menyempurnakan 30 hari Syaaban. Inilah yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW. Adapun menggunakan ilmu bintang dan perkiraan hisab, ia tidak diiktibar.[12]
3.2 Apakah yang dimaksudkan dengan ru’yah? Ru’yah ialah melihat anak bulan (Hilal) bermula pada waktu petang selepas tergelincir matahari pada 29 Syaaban. Jika anak bulan dilihat sebelum tergelincir matahari, terdapat khilaf ulama. Jumhur berpendapat ia adalah anak bulan untuk malam berikutnya. Pendapat kedua, ia adalah anak bulan bagi malam sebelumnya. Punca khilaf ialah ketiadaan nas dalam masalah ini, dan terdapat dua athar Umar yang boleh difahami secara berbeza.
3.3 Jika sekiranya pada hari 29 Syaaban, keadaan langit terlindung oleh awan, jerebu dan seumpamanya, apakah keesokannya dikira sebagai 1 Ramadhan atau 30 Syaaban? Terdapat khilaf yang masyhur antara Hanabilah dan jumhur ulama. Jumhur berpendapat disempurnakan bilangan hari Syaaban 30 hari, manakala Hanabilah berpendapat keesokannya dikira sebagai 1 Ramadhan. Punca khilaf ialah ijmal (ketidak jelasan) dalam lafaz hadis:
فإن غم عليكم فاقدروا له
Maksudnya: “Maka apabila (anak bulan) terhalang ke atas kamu, maka qadarkan ia”.[13]
Ada ulama menafsirkan ‘qadar’ sebagai menyempitkan, dan ada ulama menafsirkan ‘qadar’ sebagai menyempurnakan 30 hari.
3.4 Seorang yang melihat anak bulan secara berseorangan, adakah wajib baginya berpuasa ataupun tidak? Ada ulama menukilkan ijmak bahawa wajib berpuasa seperti Ibn Abdil Barr[14] dan diikuti oleh Ibn Rusyd al-Hafid.[15] Namun yang lebih tepat ialah terdapat khilaf yang masyhur di dalam masalah ini sebagaimana dinukilkan oleh sebahagian fuqaha.
3.5 Bilakah bermula waktu imsak untuk puasa? Terdapat khilaf terpencil di kalangan salaf. Jumhur berpendapat bermula daripada terbit fajar, berdasarkan nas al-Quran dan beberapa hadis yang sahih. Ada pendapat terpencil mengatakan apabila ufuk mula kemerahan (cerah). Punca khilaf ialah dua perkata; 1) Khilaf pada maksud fajar. 2) percanggahan beberapa hadis Nabi SAW.
3.6 Orang yang sedang bersahur dan di tangannya masih terdapat minuman, lalu azan berkumandang, bolehkah dia meneruskannya atau wajib imsak? Terdapat khilaf ulama, kerana terdapat hadis berkaitan dengannya. Iaitu hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda, “Jika salah seorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman masih di tangannya, janganlah dia meletakkannya hingga dia menyelesaikan hajatnya itu”.[16]
4.0 Permasalahan Imsak (Menahan diri dari perkara yang membatalkan)
Menahan diri (Imsak) adalah satu rukun puasa yang disepakati oleh ulama. Dan perkara yang wajib dielakkan ketika puasa secara ijmak ialah tiga perkara iaitu makan, minum, dan jimak. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala:
فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar”. (Al-Baqarah, ayat: 187).
4.1 Perkara-perkara yang membatalkan puasa
Selain daripada tiga perkara ini, terdapat banyak perbahasan dan perselisihan tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa. Antaranya ialah:
4.1.1 Hukum berciuman ketika puasa dari sudut kesannya, jika sekiranya ciuman itu menyebabkan terkeluar mani, ulama bersepakat mengatakan ia membatalkan puasa sebagaimana nukilan Ibn Rusyd, dan sekiranya hanya mengeluarkan mazi, jumhur mengatakan tidak membatalkan puasa, manakala Malik berpendapat ia membatalkan.[17]
4.1.2 Hukum melakukan ciuman pula, terdapat khilaf ulama. Sebahagian ulama mengatakan makruh secara mutlak samada dengan syahwat ataupun tidak. Ada yang mengatakan harus tanpa makruh secara mutlak. Ada yang mengatakan makruh jika disertai syahwat. Berkenaan dengan ciuman ketika puasa, terdapat hadis Aisyah r.a. katanya, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bercium dan bermubasyarah sedangkan baginda sedang berpuasa. Dan baginda adalah orang yang paling mampu mengawal kehendaknya”.[18]
4.1.3 Hukum berbekam pada siang Ramadhan, terdapat perselisihan ulama. Terdapat dua pendapat masyhur; Pertama: Ia membatalkan puasa. Kedua: Ia tidak membatalkan puasa. Punca khilaf ialah terdapat dua hadis yang zahirnya bercanggahan. Pertama hadis Thawban r.a. yang bermaksud, “Telah berbuka tukang bekam dan orang yang dibekam”.[19] Kedua ialah hadis Ibn Abbas r.a yang bermaksud, “Nabi SAW berbekam sedangkan baginda berpuasa”.[20]
4.1.4 Muntah dengan sengaja. Sesetengah ulama menukilkan ijmak bahawa ia membatalkan puasa, antaranya Ibn Munzir.[21] Namun terdapat khilaf yang masyhur di dalam masalah ini. Punca khilaf ialah perselisihan dalam penilaian dan pemahaman terhadap hadis Abu Hurairah, sabda Nabi SAW “Sesiapa yang muntah tanpa disengajakan maka tidak dikenakan qadha’, dan sesiapa yang muntah dengan sengaja maka hendaklah dia melakukan qadha’”.[22]
4.1.5 Makan dan minum dengan tidak sengaja, adakah membatalkan puasa? Jumhur ulama berpendapat tidak membatalkan puasa kerana hadis Nabi SAW, “Apabila seseorang lupa lalu dia makan atau minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan memberinya minum”.[23] Sebahagian ulama mengatakan puasanya batal dan wajib diqadha, kerana imsak adalah rukun puasa. Kaedah syarak mengatakan lupa dalam perkara rukun adalah membatalkan.
5.0 Permasalahan kontemporari dalam feqah puasa
Islam adalah agama yang syumul, sempurna dan sesuai diamalkan pada setiap tempat dan masa dalam segala hukum-hakamnya. Di dalam nusus-nusus syarak sudah lengkap segala hukum-hakam Islam samada ia didapati secara nas, atau secara ijtihad yang berasaskan kepada qiyas yang sahih. Begitu juga ibadah puasa yang menyaksikan percambahan isu-isu feqah yang begitu banyak sejajar dengan perkembangan zaman dan teknologi.
Berhadapan dengan pelbagai persoalan moden, menjadi tugasan ulama sepanjang zaman untuk menjawab dan menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut dengan manggunakan ijtihad yang diiktiraf oleh syariah. Beberapa perkara dasar perlu difahami secara mendalam sebelum membincangkan apa jua persoalan moden tentang puasa yang tidak ada nas padanya. Saya ringkaskan kepada tiga perkara:
a) Memahami illah hukum atau manat hukum (مناط الحكم)
b) Menguasai qawaed fiqhiyyah dan dhawabit feqah dalam bab puasa.
c) Memahami teori ‘rongga’ (Jawf)
5.1 Memahami illah hukum atau manat hukum
Manat hukum ialah tempat pergantungan hukum. Yang dimaksudkan di dalam Usul Feqah ialah illah sesuatu hukum. Mengetahui manat hukum adalah sangat kritikal dalam berhadapan dengan persoalan-persoalan baru yang perlu dikiaskan dengan permasalahan yang telah dinaskan. Kaedah untuk mengenali manat hukum ialah tiga cara:
a) Tahqiq al-Manat
Tahqiq al-Manat ialah apabila terdapat satu kaedah umum yang disepakati atau yang dinaskan syarak, cuma tugasan mujtahid ialah mempraktikkan ia pada furuk.[24]
Contoh: Disepakati bahawa waktu yang dibenarkan berbuka ialah terbenam matahari. Maka tahqiq al-Manat ialah mempraktikkan hukum ijmak ini pada tempat-tempat di dunia.
b) Tanqih al-Manat
Tanqih al-Manat ialah apabila syarak menyebut hukum dengan menyandarkan kepada sebabnya, tetapi disertakan sekali dengan sifat-sifat lain yang tidak ada kesan terhadap hukum. Tugasan mujtahid ialah menggugurkan sifat-sifat tersebut yang tidak boleh diambilkira dalam penetapan hukum.[25]
Contoh: Hadis seorang A’rabiy yang datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu, “Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang Ramadhan”. Lalu baginda memerintahkan supaya membayar kaffarah.
Hadis ini menyebut beberapa sifat iaitu:
– Seorang A’rabiy
– Melakukan jimak dengan isterinya
– Berlaku pada siang Ramadhan tersebut
Maka mujtahid akan menggugurkan sifat-sifat yang tiada kaitan dengan hukum, yang menatijahkan satu illah yang sahih bagi hukum tersebut.
c) Takhrij al-Manat
Takhrij al-Manat ialah apabila syarak menyebut sesuatu hukum tanpa menaskan illahnya. Tugasan mujtahid ialah mengeluarkan illah hukum menggunakan pandangan dan kajian.[26]
Contoh: Syarak menaskan bahawa haram makan dan minum ketika puasa, tanpa menaskan apakah illahnya. Maka mujtahid akan mengkaji dengan menggunakan pelbagai kaedah dan cara istinbat illah daripada hukum ini.
5.2 Menguasai kaedah-kaedah fiqhiyyah dan dhawabit feqah.
Antara ilmu penting yang dapat membantu memudahkan untuk menyelesaikan permasalahan kontemporari yang sentiasa timbul hari demi hari ialah dengan menguasai ilmu qawaed fiqhiyyah. Kaedah fiqhiyyah ialah hukum syarak secara keseluruhan yang merangkumi di bawahnya masalah-masalah furuk feqah.
Antara kepentingannya ialah kaedah fiqhiyyah dapat digunakan untuk menyelesaikan pelbagai persoalan cabang feqah yang timbul. Iaitu dengan membandingkan masalah yang timbul dengan masalah-masalah yang serupa di bawah satu kaedah. Tidak terkecuali permasalahan-permasalahan kontemporari dalam puasa, penguasaan kaedah feqah dan dhawabit feqah dapat membantu memberikan jawapan yang hampir.
5.3 Teori ‘Rongga’ (Jawf) di dalam feqah puasa.
5.3.1 Pendahuluan
Umum mengetahui bahawa di dalam bab perkara yang membatalkan puasa, perkataan ‘rongga’ merupakan satu istilah yang sangat kerap disebut, kerana sebahagian fuqaha menjadikannya sebagai satu teori bahawa antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Justeru kefahaman tentang maksud perkataan rongga adalah sangat penting terutama apabila berhadapan dengan permasalahan-permasalahan kontemporari yang tidak ada nas syarak tentangnya.
Perkataan rongga (Jawf) tidak disebut di dalam nusus-nusus syarak di dalam bab puasa. Yang disebut oleh syarak dan disepakati ialah perbuatan makan dan minum. Tetapi apabila fuqaha terdahulu menggunakan istilah rongga, kita perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan rongga di dalam perkataan fuqaha.
5.3.2 Definisi rongga
Sebahagian fuqaha menyebut perkataan rongga dengan maksud yang sangat luas, iaitu setiap rongga di dalam badan manusia, termasuk perut, bahagian otak, bahagian dalaman telinga, dan seumpamanya.
Manakala sebahagian fuqaha pula menyempitkan skop rongga hanya pada bahagian abdomen badan. Maka segala yang memasuki bahagian tersebut dikira membatalkan puasa.
Sesetengah fuqaha pula menyempitkan lagi skopnya dengan mengatakan rongga ialah bahagian yang dimasuki makanan dan minuman secara kebiasaan, iaitu bahagian perut sahaja.
5.3.3 Punca khilaf
Sebab berlakunya khilaf di dalam permasalahan memasukkan sesuatu bukan makanan ke dalam rongga ialah kerana nas hanya menyebut makan dan minum sebagai perkara membatalkan puasa. Jadi adakah selain makanan dan minuman yang memasuki rongga dikiaskan kepada makanan dan minuman, atau tidak dikiaskan?
Ibn Rusyd memperjelaskan lagi dengan katanya, “Mereka yang berpandangan bahawa maksud daripada puasa ialah suatu yang difahami, tidak akan menyamakan hukum antara suatu makanan dengan bukan makanan. Manakala mereka yang berpendapat puasa ialah ibadah yang tidak difahami maksudnya, dan tujuan ibadah puasa ialah menahan sesuatu daripada memasuki rongga, akan menyamakan antara makanan dan bukan makanan”. [27]
Daripada perselisihan ulama tentang maksud rongga, banyak permasalahan puasa terutama dalam tajuk perkara yang membatalkan puasa dapat difahami dengan lebih mudah.
6.0 Penutup
Feqah puasa adalah satu tajuk yang sangat luas dan sentiasa bertambah mengikut peredaran zaman. Sesiapa yang ingin menguasainya hendaklah bermula dengan permasalahan-permasalahan ijmak, dan kemudian barulah diikuti dengan permasalahan-permasalahan yang ada khilaf padanya. Di samping itu, kefahaman tentang isu-isu usul juga sangat penting bagi menghadapi isu-isu yang timbul pada zaman mutakhir.
[1] Ibn Hazm, Maratib al-Ijmak, hlmn. 39; Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 46.
[2] Ibn Hazm, Maratib al-Ijmak, hlmn. 39; Ibn Juzay, Al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlmn. 86; Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 141.
[3] Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 46.
[4] Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 46.
[5] Ibn al-Munzir, Al-Ijmak, hlmn. 58.
[6] Ibn al-Munzir, Al-Ijmak, hlmn. 59.
[7] Ibn al-Munzir, Al-Ijmak, hlmn. 59.
[8] Ibn Hazm, Maratib al-Ijmak, hlmn. 39; Ibn Juzay, Al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlmn. 91; Al-Nawawi, Al-Majmuk, j. 6, hlmn. 304.
[9] Ibn Juzay, Al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlmn. 91.
[10] Ibn al-Munzir, Al-Ijmak, hlmn. 59.
[11] Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 57.
[12] Ibn Battal, Syarh Sahih Bukhari, j. 4, hlmn. 27.
[13] Riwayat: Bukhari, no: 1900, dan Muslim, no: 1080.
[14] Ibn Abd al-Barr, Al-Tamhid, j. 14, hlmn. 355.
[15] Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 48.
[16] Riwayat Abu Daud, no: 2350.
[17] Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 52.
[18] Riwayat Bukhari, no: 1927, dan Muslim, no: 1106.
[19] Riwayat Abu Daud, no: 2367; Ibn Majah, no: 1680.
[20] Riwayat Bukhari, no: 1938.
[21] Ibn Munzir, Al-Ijmak, hlmn. 59.
[22] Riwayat Tirmizi, no: 720; Ibn Majah, no: 1676. Terdapat pertikaian ulama hadis tentang kedudukan hadis ini.
[23] Riwayat Bukhari, no: 1933; dan Muslim, no: 1155.
[24] Ibn Qudamah, Rawdhah al-Nazhir, j. 2, hlmn. 145.
[25] Ibn Qudamah, Rawdhah al-Nazhir, j. 2, hlmn. 148.
[26] Ibn Qudamah, Rawdhah al-Nazhir, j. 2, hlmn. 150.
[27] Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, j. 2, hlmn. 52.
Nafa’ana Allah bi ‘ulumikum..
Assalamualaikum ustaz, nak tanya: saya bermimpi keluar mani pada siang romadhon, setelah terjaga dari tidur, saya mandi junub untuk menunaikan solat. Bila sampai meratakan air ke bahagian lubang telinga, lubang hidung dan celah lubang dubur, air yang dilalukan itu dah termasuk dalam rongga (jawf), jadi macam mana tu ustaz, sedangkan saya dengar, Rasulullah SAW pun pernah mandi junub sedangkan baginda berpuasa,bagaimanakah baginda mandi (ratakan air) ke 3 bahagian sensitif tadi?..sekian, wassalam ~
Waalaikumussalam
Dalam mandi wajib, tidak perlu meratakan air sampai bahagian batin. Hanya diratakan air pada bahagian zahir sahaja. Maka, meratakan air ketika mandi wajib tidak membatalkan puasa. Memasukkan air ke dalam hidung masih tidak sampai ke bahagian rongga, kecuali kalau disedut air sampai ke dalam. Itu baru bermasalah.