Duit Palsu
“Duit Palsu Hantui Peniaga”. Itulah tajuk yang tertera di halaman utama akhbar Kosmo! baru-baru ini. Ia merujuk kes seorang pengurus kedai buku yang kerugian kerana menerima beberapa keping wang kertas palsu RM50 dan RM100.
Walau tertera di not-not tersebut angka-angka besar, RM50 dan RM100, namun apalah ertinya jika ia wang kertas palsu. Ia tidak bernilai walau sesen pun. Silap haribulan, mungkin boleh masuk mahkamah atas dakwaan menyimpan wang kertas palsu.
Rentetan kes-kes seperti ini, orang ramai dinasihatkan supaya peka dan ada inisiatif memeriksa dengan teliti sebelum menerima sebarang mata wang bagi mengelakkan daripada tertipu.
Sijil Palsu
Seperti wang palsu, sijil palsu juga tidak ada nilai dalam apa jua lapangan. Dalam bidang akademik contohnya, dengan berbekalkan sijil SPM palsu, tidak mungkin pemegangnya dapat diterima masuk mana-mana universiti, walau tertera padanya 15 A1. Kenapa? Kerana ia palsu.
Silap haribulan, merengkok dalam lokap atas dakwaan menggunakan sijil palsu. Kesalahan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 463 hingga 471 Kanun Keseksaan. (Betulkan kalau silap)
Dalam bab-bab keduniaan, kita cukup berhati-hati dengan benda-benda palsu. Wang palsu, sijil palsu, dan macam-macam palsu lagi. Kita terlalu bimbang jika terpedaya dengan benda-benda palsu. Alangkah baik jika sikap berhati-hati dengan perkara palsu, dapat diaplikasikan dalam hal-hal ukhrawi juga.
Hadis Palsu
Seperti mana duit palsu dan sijil palsu tidak bernilai dan tidak diiktiraf dalam apa jua bidang keduniaan, begitu jugalah hadis palsu. Pada pandangan syarak, ia tidak ada nilai. Kerana ia hanya rekaan manusia yang tidak bertanggungjawab. Lalu menisbahkan kononnya ia hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
Apabila kita menemui hadis-hadis tentang fadhilat amalan-amalan tertentu, pastikan dahulu adakah ia hadis sahih atau hasan. Kalau ia bertaraf maudhu‘ (palsu), tinggalkan sahaja. Kerana melakukan amalan yang palsu tidak ada untungnya, dan meninggalkan amalan palsu tidak ada ruginya.
Kalau kita menerima email layang yang mengandungi hadis-hadis palsu, padamkan sahaja atau tandakan ia sebagai spam. Jangan sekali-kali forwardkan kepada orang lain. Kerana menyebarkan hadis-hadis palsu tanpa keterangan adalah satu jenayah dalam Islam.
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sesiapa meriwayatkan satu hadis daripadaku, sedangkan dia menyangka ia adalah palsu, maka dia salah seorang kalangan pendusta”. (Direkod oleh Muslim dalam Muqaddimah Sahihnya).
Hubungkan hadis ini dengan satu hadis lain, “Sesiapa sengaja berdusta ke atasku, maka sediakan tempat duduknya dalam api neraka”. (Direkod oleh Bukhari dan Muslim).
Dalam hal keduniaan, pembuat wang palsu dan pencetak sijil palsu dikira melakukan jenayah yang berat, demikian pembuat dan penyebar hadis palsu adalah penjenayah dalam agama. Ya, dalam agama, mereka penjenayah sekalipun mereka digelar ustaz dan lebai, serta memakai serban dan jubah. Malah, penyebar hadis palsu lebih besar jenayahnya daripada penyebar wang palsu.
Bulan Rajab
Masuk sahaja bulan Rajab, banyak diuar-uarkan tentang kelebihan amalan-amalan tertentu. Yang paling banyak tersebar melalui email-email, dan banyak ditulis di laman-laman web dan blog ialah kelebihan puasa bulan Rajab.
Ada hadis tentang puasa sehari pada bulan Rajab akan menjanjikan syurga tertinggi iaitu Firdaus. Puasa dua hari pada bulan Rajab akan mendapat kemuliaan dari sisi Allah. Puasa tiga hari pula, kelebihannya akan dgali parit yang panjang yang menghalangnya daripada neraka. Puasa pada 27 Rajab sama seperti pahala puasa selama 5 tahun. Dan banyak lagi hadis-hadis yang tersebar tentang kelebihan puasa bulan Rajab.
Malangnya, tidak ada satu hadis pun yang sahih mahupun hasan tentang kelebihan berpuasa pada bulan Rajab. Kesmuanya samada terlalu dhaif atau palsu.
Kata Ibn Taimiyyah, “Tentang puasa Rajab secara khusus, hadis-hadis tentangnya semuanya dhaif, malahan palsu. Ulama tidak berpegang kepadanya langsung. Ia (hadis-hadis itu) juga bukan dari kategori hadis-hadis dhaif yang boleh diriwayatkan dalam fadhail a’maal. Malahan secara umumnya, ia adalah dari kategori hadis-hadis maudhu’ dan palsu”. (Majmuk fatawa 25/290)
Ibn al-Qayyim berkata, “Setiap hadis yang menyebut tentang puasa Rejab dan solat pada sesetengah malam, maka ia adalah dusta yang direka-reka”. (Al-Manar Al-Munif 96)
Kata Ibn Hajar al-Asqalani, “Tidak warid pada kelebihan bulan Rajab, juga pada puasa Rajab dan puasa hari tertentu pada bulan Rajab, juga pada qiyamullail pada sesetengah malamnya satu hadis pun yang sahih dan boleh dibuat hujah”. (Tabyin al-‘Ajab: 11).
Oleh yang demikian, usahlah terpedaya dengan hadis-hadis ciplak yang menjanjikan pelbagai kelebihan palsu. Ia bukanlah janji daripada Allah dan RasulNya Sallallahu Alaihi Wasallam.
Tetapi ia bukan bererti tidak boleh berpuasa bulan Rajab. Bagi orang yang biasa berpuasa sunat Isnin dan Khamis, atau puasa hari-hari 13, 14, dan 15, berpuasalah seperti biasa seperti pada bulan-bulan lain. Semoga amalan yang ikhlas dan bertepatan dengan Sunnah diterima Allah Taala.
Wallahu A’lam.
Leave a reply to Filfilani Cancel reply